Sabtu, 27 November 2021

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET


 

Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang lain daripada yang lain. Kulit depan mereka adalah sekeping kad lenticular yang memaparkan imej 3D Dukun Petai yang dikelilingi oleh pelbagai jembalang. Watak Dukun Petai berkenaan juga adalah satu tribute buat kartunis Petai yang telah meninggalkan kita semua beberapa bulan yang lalu.

Bila membicarakan jenaka tentang hantu, ilmu hitam dan sebagainya yang bersesuaian dengan tema, pada awalnya hamba menjangkakan persembahan para kartunis, daripada segi ideanya, lebih kurang sama sahaja dengan karya-karya hantu yang pernah hamba baca sebelum ini. Namun agak memeranjatkan apabila idea mereka untuk edisi ini nampak segar dan mantap. Boleh rujuk karya seperti Aliow dengan Food Trail, Rambai dengan Malam Itu....Malam Puaka!!, Lambok dengan Pasar Setan dan lain-lain. Karya Aliow yang paling best bagi hamba daripada segi idea dan jalan ceritanya, sama seperti siri Twilight Zone.

Seperti terbitan yang lalu, karya-karya baharu masih dipersembahkan dengan beberapa karya lama yang dipetik daripada Ujang isu 50 dan 51 serta Apo? isu 50 dan 51. Hamba rasa edisi bumper ini sudah boleh berdiri dengan sendiri tanpa perlukan pengisian karya-karya lama. Tapi mungkin juga penerbit masih mahu pembaca mengingati karya-karya lama ini atau juga sekiranya ia dipenuhi dengan kartun-kartun baharu maka penerbit akan terbeban untuk membayar honorarium kartunis.

Hamba mengharapkan majalah ini dapat muncul setiap bulan secara berkala seperti dahulu dan tidak lagi muncul sekali sekala.

Legasi kartun tanah air harus terus hidup!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...