Ahad, 12 Disember 2021

DAUN PAKU UNGU : KEMBARA MARISAH - Oli Baharom


 "Saya nak minta tuan baca novel ini dan buat ulasan. Penulisnya adalah kawan saya", kata pegawai hamba yang bernama Suria pada suatu pagi. Naskhah berkenaan hamba sambut dan membeleknya. Ia agak tebal. Penulisnya tidak hamba kenali dan kali pertama melihat namanya. Ia diterbitkan pertama kali pada Oktober 2021. Nampaknya novel di tangan hamba ini masih panas lagi. Novel ini nampaknya diterbitkan oleh penulisnya sendiri. Menerbitkan novel sendiri pastinya bukan sesuatu yang mudah. Pastinya sang penulis telah benar-benar bersedia dan berani menghadapi segala kemungkinan.

"Insya Allah saya akan baca. Tapi saya minta sedikit waktu memandangkan ada beberapa buku lagi yang 'beratur' menunggu untuk dibaca". Suria tersenyum dan memberikan kebebasan untuk hamba memilih masa bagi memulakan pembacaan naskhah ini.

Membaca bab yang pertama sahaja sudah memberikan bayangan kepada hamba bahawa penulis novel ini bukanlah calang-calang orangnya. Susunan ayat dan gaya bahasa yang digunakan membuatkan hamba merasakan seolah-olah sedang membaca karya-karya sastera penulis 80an yang terkenal dengan gaya penulisan yang menggunakan susunan ayat dan gaya bahasa yang menarik.

Bap pertama ini juga berjaya memperkenalkan watak utamanya yang bernama Marisah dengan lengkap sekali. Dapat difahami bawa watak ini adalah seorang yang pendiam, tidak banyak bersosial tetapi mempunyai sifat mengambil berat yang tinggi. Sifatnya yang pendiam ini banyak dipengaruhi oleh pengamalam beliau yang membesar tanpa keluarga di sisi.

Novel ini adalah kisah kembara ke dimensi yang berlainan. Tidak ada sebarang mesin yang terlibat. Alat perantaranya adalah sehelai daun paku yang berwarna ungu. Daun paku yang dibawa semasa tidur ini adalah kunci untuk membawa pemegangnya mengembara ke dimensi lain atau lebih tepatnya Tanah Mawlah. 

Dimensi lain ini adalah umpama kehidupan pada zaman lampau, manusia yang tinggal di kota tanpa sebarang peralatan moden. Orang-orangnya bertutur dalam bahasa Melayu, berpakaian seperti orang Melayu, ada yang beragama Islam dan ada yang tidak. 

Orang seperti Marisah digelar musafir mimpi, satu fenomena yang tidak asing di Tanah Mawlah. Mereka yang tiba akan terdampar di Padang Takdir sebelum boleh meneruskan perjalanan ke Kota Dua Marhalah. Musafir mimpi hanya boleh berada di dunia ini selama tiga hari sahaja dan akan kembali ke dunia asal selepas tamat tempoh tersebut. Dan apabila kembali, jarak masa yang mereka tinggalkan sewaktu mula tidur dahulu hanyalah satu minit sahaja! Walau bagaimanapun, apa yang berlaku kepada mereka sewaktu di dimensi lain ini seperti kecederaan akan tetap dibawa ke dunia asal.

Agak malang kerana Marisah tiba sewaktu Kota Dua Marhalah di ambang peperangan dengan Tentera Selatan. Tentera Selatan pula telah mendapat kekuatan yang berganda hasil gabungan dengan tentera Kota Marwan yang diperolehi melalui cara yang amat keji. Jadi sepanjang tiga hari itu Marisah berada dalam keadaan seperti seorang pelarian bersama dengan Amar, pemuda yang ditemuinya di Padang Takdir sewaktu beliau sedang dikejar oleh tentera selatan.

Dari sini kisah mula berkembang dengan penceritaan watak-watak lain seperti konflik yang berlaku terhadap raja Rustam, pemerintah Kota Marwan, Keadaan Kota Dua Marhalah dan penghuninya, watak Burkan sebagai ketua tentera selatan yang ada hubung kait dengan Amar, kembar Amar yang bernama Azizi serta ibu mereka berdua yang bernama Bainun -  juga seorang musafir mimpi.

Selain daripada konflik yang dihadapi oleh Marisah di Tanah Mawlah, beliau juga berhadapan dengan satu lagi permasalahan yang melibatkan jiran beliau, Ain yang selalu menjadi mangsa dera suaminya. Sifat prihatin Marisah ini membuatkan beliau cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Ain.

Tempoh Marisah di Tanah Mawlah tamat apabila hampir sahaja sebilah pedang menamatkan nyawanya. Kepulangan beliau membuatkannya selalu berfikir akan nasib Amar yang telahpun cedera dipanah sebelum beliau kembali ke dunia nyata. Ini membuatkan Marisah bertekad mahu mencari lagi daun paku ungu bagi membolehkannya kembali lagi. Ketika inilah penulis memunculkan watak Azizi, kembar Amar yang berada di dunia nyata yang akan menyebabkan punggung pembaca panas menanti apa yang akan berlaku seterusnya.

Novel ini menjadi panjang kerana hamba lihat penulisnya begitu teliti di dalam penulisan dan mahu setiap persoalan di kepala pembaca akan terjawab. Ini dapat hamba rasakan apabila beberapa persoalan yang timbul di kepala akan ada jawapan di mukasurat yang mendatang.

Cuma satu persoalan timbul tidak berjawab apabila Marisa berjaya membawa Ain menjadi seorang musafir mimpi. Ain yang hampir maut didera suaminya telah dibawa ke Tanah Mawlah bagi menyelamatkan nyawanya. Marisah mahu Ain kekal di situ dan bagi membolehkan Ain kekal, beliau harus berkahwin dengan orang di sana. Persoalan hamba ialah ketika itu Ain masih lagi menjadi isteri Farid dan hamba tidak berjumpa sekiranya Farid ada melafazkan talak. Jika ada sekalipun, Ain masih lagi terikat dengan tempoh edah. Begitu juga sekiranya pernikahan Ain dileraikan secara fasakh, namun tidak disebutkan di novel ini. Hamba timbulkan perkara ini kerana dikatakan penghuni Kota Dua Marhalah amat kuat mengamalkan sunah dan ajaran agama. Jadi adakah sah pernikahan Ain ini?

Novel ini adalah sebuah karya bermutu yang amat esuai untuk bacan umum. Untuk mendapatkannya pembaca boleh menghubungi alamat e-mel daunpakuungu@gmail.com.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...