Jumaat, 31 Disember 2021

SATU HARI DI SEKINCHAN




Kebiasaannya pada setiap kali cuti sekolah bulan Disember, hamba dan keluarga akan pergi bercuti ke lokasi di luar negeri Selangor. Namun disebabkan keadaan pandemik yang masih belum benar-benar reda, ada anak yang masih lagi berada di kampus dan kekangan masa, maka hamba beralih citarasa untuk melancong ke tempat yang begitu hampir dengan lokasi kediaman hamba - Sekinchan!
 

Walaupun Sekinchan amat hampir dengan kediaman hamba, hamba tidak pernah menjadikannya sebagai satu tempat untuk dilawati. Kebiasaannya hamba berada di Sekinchan hanya sekadar lalu dalam perjalanan ke tempat lain, lalu untuk menghantar anak ke asrama atau menghadiri majlis kenduri yang diadakan di sana. Tetapi hamba tahu di Sekinchan, juga lokasi berhampirannya, mempunyai suasana kampung yang indah terutamanya pem,andangan sawah-sawah padi yang terbentang luas.

Jadi ke manakah hala tuju hamba di Sekinchan ini?

Tidaklah hamba dan keluarga keluar awal-awal pagi dari rumah. Bahkan hamba sempat pergi berjogging terlebih dahulu di sebelah pagi, bersarapan dan barulah keluar dalam waktu menghampiri tengahari. Lokasi yang pertama kami tujui adalah Sekinchan Coconut Farm.

Hamba pernah lihat satu video seorang yang pernah melawat ke tempat ini. Di dalam video, ia nampak menarik dan kelihatan tempat itu agak luas. 

Kawasan kebun kelapa ini terletak di sekitar sawah padi yang terbentang. Menggunakan waze, aplikasi ini membawa hamba melalui jalan-jalan dalam melintasi kawasan kampung, sawah padi dan tali air yang luas. Pemandangan yang disajikan amatlah indah. Kadang-kadang boleh terjumpa sekawanan burung bangau sama ada di sawah ataupun di tepi tali air. 

Tiada tempat meletak kereta yang disediakan. Pengunjung terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan di sebelah luar kebun yang hanya menyediakan ruang tanah yang sedikit memandangkan jalan yang kecil serta diapit oleh parit.

Di bahagian hadapan pengunjung akan disambut oleh deretan kedai yang menjual makanan dan minuman diikuti oleh barisan meja dan kerusi yang diletakkan di antara pepohonan kelapa yang ditanam secara lurus.



Pengunjung boleh menikmati air kelapa segar daripada kebun ini sendiri serta lain-lain makanan. Pengusaha kebun bertindak bijak dengan menyediakan beberapa prop yang boleh digunakan untuk bergambar. 


Tidak jauh dari lokasi kebun ini terletak sebuah kedai yang dekorasinya menyamai kedai runcit Cina pada masa lalu. Dinamakan Ah Ma House, kedai yang dirasmikan pembukannya oleh Sultan Selangor ini sememangnya menggamit memori. 

Di bahagian luar kedai pengunjung disambut dengan sebuah skuter lama yang diletakkan di sebelah pintu masuk. Seorang wanita berada di satu sudut sedang memasak kuih kapit secara lansung untuk dijual. Memasuki ruang dalam, mata akan terpaku melihat balang-balang yang berisi gula-gula dan jajan yang saya biasa lihat ketika kecil dahulu. Di belakang balang ini seorang wanita menjual gula-gula kapas yang boleh dibentuk dalam pelbagai corak yang boleh dipilih.


Selain daripada penjualan serta dekorasi kedai yang amat antik, beberapa barangan lama turut dipamerkan seperti televisyen, telefon, alat penimbang, dapur dan banyak lagi barangan lama yang akan membawa anda ke zaman silam. Kedai ini amat tersusun, bersih serta sedap mata memandang. Ia amat sesuai untuk mengembalikan semula nostalgia lama anda. Hanya mainan 'tikam-tikam' sahaja yang tidak kelihatan di rak jualan!




Selesai di kedai Ah Ma, kami beralih pula ke Laman Tebu Aidil. Laman Tebu Aidil lebih kurang sama sahaja konsepnya dengan kebun kelapa Sekinchan. Bezanya pokok kelapa digantikan dengan pepohon tebu. Memandangkan sudah waktu tengahari, maka sedang eloklah untuk kami menjamu selera di sini. Pilih sahaja juadah yang anda mahukan dan kemudiannya bawalah makan di meja yang disediakan di celah-celah rimbunan pohon tebu. Kalau dah berada di kebun tebu, takkanlah tak rasa air tebu kan!



Selepas melayan perut dan bergambar di Laman Tebu, kami bergerak ke Ban Kenal. Ban Kenal merupakan sebuah kawasan di tepi sawah yang menyajikan pemandangan sawah yang menarik dan lokasi untuk bergambar. Sebenarnya sewaktu kami pergi, musim menuai sedang berlansung. Banyak sawah yang dilalui menunjukkan pohon padi yang telah tinggal tunggulnya sahaja. Hanya sedikit kawasan sawah yang masih belum di tuai yang menyajikan pemandangan padi yang sedang menguning.


Berhenti solat sebentar, kami kemudiannya menyambung perjalanan melawat Muzium Padi. Muzium Padi ini sebenarnya berada di dalam sebuah kilang beras yang juga dikelilingi oleh sawah padi. Pengunjung dikenakan tiket berharga RM5 untuk melawat galerinya. Walau bagaimanapun pengunjung turut diberikan sampel beras yang dihasilkan oleh kilang ini sebaik selesai membayar harga tiket. Jadi hamba percaya duit RM5 itu adalah harga kepada beras berkenaan.

Pengunjung akan diberikan taklimat ringkas mengenai penanaman padi di Sekinchan serta produk beras yang dihasilkan oleh kilang berkenaan. Usai taklimat, pengunjung boleh melihat beberapa peralatan lama yang berkaitan dengan penanaman padi. Di akhir sekali kita akan melalui kedai kilang tersebut yang menjual produk mereka. Mereka turut mengadakan jualan makanan yang berasaskan kepada beras.





Hari sudah hampir petang apabila kami selesai mengitari Muzium Padi ini. Lantas hamba memutuskan untuk pulang sahaja ke rumah. Dalam perjalanan pulang kami singgah di Restoran Mee Udang Banjir Kuala Selangor. Harga boleh tahan dan makanan pun menyelerakan. Tengoklah udang yang beratur dalam mangkuk seperti dalam gambar di bawah ini!




tempat menarik di sekinchan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...