Sabtu, 1 Januari 2022

ANAK SEORANG DREBAR - Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir


 

Ini adalah antara buku biografi yang paling menarik pernah hamba baca dan hamba cukup mengesyorkannya kepada pembaca lain. Walaupun ia diterjemahkan daripada naskhah bahasa Inggeris - A Driver's Son, penterjemahnya, Amir Muslim telah dapat menterjemahkannya dengan baik ke bahasa Melayu sehingga hamba dapat merasakan seolah Tan Sri Shamsuddin sendiri yang sedang berbicara.

Tajuk Anak Seorang Drebar bukan sekadar tajuk. Bukan sekadar ayah kepada Tan Sri (dipanggil bapak) adalah seorang drebar, tetapi adalah satu penghargaan kepada ayahnya. Kerana itu cerita bapak banyak disebut di dalam buku ini. Kerana wawasan bapaklah yang begitu mementingkan pendidikan bisa merubah kehidupan keluarga Tan Sri yang begitu susah sewaktu beliau masih kecil.

Hamba menyukai buku ini kerana ia bukan sahaja tentang diri Tan Sri bahkan ia sedikit sebanyak bercerita tentang sejarah negara memandangkan Tan Sri merasai hidup di zaman penjajah British dan pendudukan Jepun. Tan Sri sewaktu zaman Jepun pernah mengintip tentera Jepun yang memancung kepala orang di sebuah lokasi yang hari ini telah dibina sebuah gedung perniagaan! Orang yang akan dipancung terlebih dahulu diarahkan untuk menggali lubang sebelum mereka kemudiannya dipancung dan terus ditanam di dalam lubang itu. Dalam satu sesi persekolahan pula murid di kelas beliau tiba-tiba telah diarahkan keluar dan menaiki sebuah trak yang tidak diketahui ke mana hala tujunya. Apabila trak tersebut berhenti di satu tempat, Tan Sri telah membuat satu keputusan bijak apabila melarikan diri secara senyap-senyap. Ini ternyata apabila mereka yang telah dibawa pergi tiu tidak lagi kembali. Berkemungkinan menjadi buruh membina landasan keretapi maut di Burma. 

Sewaktu Jepun mula mara, bapak sempat membawa majikannya lari ke Singapura. Perjalanan pulang bapak untuk pulang semula ke Kuala Lumpur adalah satu kisah yang menakjubkan. Ia diceritakan oleh Tan Sri dengan panjang lebar di dalam buku ini. Majikan yang bernama Waring itu sebenarnya tidak sempat keluar dari Singapura dan telah menjadi tahanan Jepun. Beliau kemudiannya menjadi buruh pembinaan landasan keretapi maut namun terselamat daripada kematian. Mereka bertemu semula beberapa tahun kemudian selepas perang. Peranan Waring dan adiknya amat penting di dalam pendidikan Tan Sri kemudiannya.

Walaupun bapak hanyalah seorang drebar dan maknya pula tidak bekerja, wawasan mereka cukup tingggi. Mereka sedar bahawa hanya pelajaran sahajalah yang boleh mengubah nasib dan masa depan keluarga mereka. Pernah apabila Tan Sri ponteng sekolah kerana tidak suka dengan pelajaran congak di sekolah, beliau telah dihukum oleh ibunya dengan melucutkan semua pakaian beliau lalu beliau diikat pada sebatang pohon nangka yang mempunyai sarang kerengga di atasnya. Tan Sri menderita kesakitan digigit binatang itu selama lebih kurang 15 minit. Hanya apabila bapak pulanglah, bapak telah melepaskan beliau.

Untuk orang susah seperti Tan Sri belajar di sekolah Inggeris yang elok amatlah sukar. Di sinilah adik Waring telah membantu beliau untuk masuk ke sekolah Inggeris. Dipendekkan cerita Tan Sri telah berjaya melanjutkan pengajian hingga ke England dan pulang sebagai seorang jurutera.

Kisah hidup Tan Sri sebagai seorang jurutera Jabatan Telekom juga amatlah menarik. Setelah sekian lama dengan Telekom, Tan Sri telah membuat satu keputusan besar apabila meletakkan jawatan dan bekerja dengan syarikat swasta - UMW. Padahal ketika itu beliau berada di rank keempat untuk menjadi orang nombor satu Telekom. Tan Sri telah mendapat satu pengalaman baharu apabila menyertai sebuah syarikat swasta. Tiada lagi keselesaan pulang awal seperti sewaktu berkhidmat dengan kerajaan.

Apabila pihak UMW menolak satu cadangan beliau, setelah beliau bersusah payah menyediakannya dengan membuat pelbagai kajian, Tan Sri telah mengambil keputusan drastik untuk meletakkan jawatan. Padahal beliau ketika itu memang tiada perancangan untuk bekerja dengan pihak lain. Usia yang semakin lanjut juga akan menyukarkan mana-mana pihak untuk menerima beliau bekerja.

Namun daripada kesusahan inilah kemudiannya yang melahirkan syarikat SAPURA sebuah syarikat bumiputera berkaitan telekomunikasi yang hingga hari ini masih hidup dan terus teguh.

Banyak perkara yang pembaca boleh pelajari apabila membaca naskhah ini. Selain daripada sejarah, hamba suka membaca gaya pemikiran Tan Sri serta gaya kepimpinan beliau sama ada sewaktu bersama Telekom ataupun semasa memimpin SAPURA. Kerana keperibadian beliaulah ada orang yang sanggup sama berusah membangunkan syarikat walaupun dalam masa yang sama mereka menerima tawaran kerja yang lebih tinggi di tempat lain. Hidup susah dan kemiskinan telah membentuk Tan Sri menjadi seorang yang gigih dan tabah serta mempunyai cara pemikiran yang tersendiri. Sewaktu orang Melayu lebih suka makan gaji dan tidak begitu mahir dalam perniagaan, Tan Sri telah melawan arus dan berusaha gigih untuk memajukan syarikatnya. Apabila membaca kisah Tan Sri menjaga kakitangan SAPURA, hamba yang kini sedang membaca buku tentang Jack Ma juga melihat tokoh berkenaan melakukan perkara yang hampir sama dengan Tan Sri - menjaga kebajikan kakitangan seperti keluarga sendiri.

Ini adalah kisah orang yang berjaya dengan usaha sendiri, amat tidak percaya dengan rasuah dan mementingkan keluarga. Kita boleh belajar banyak perkara daripadanya!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...