Jumaat, 21 Januari 2022

CERITA LEE INAS #1 MERIAH SUASANA - Lee Inas

Gambar kredit RKKM

 

Buku ini adalah naskhah kartun tempatan yang agak terkini berada di pasaran. Diterbitkan oleh Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM), adalah diharapkan RKKM akan lebih giat menerbit dan mempromosikan karya-karya tempatan. RKKM dilihat agak aktif dan bersungguh-sungguh untuk mempromosikan karya tempatan. Premis mereka bukan hanya sekadar galeri pameran, tetapi juga aktif melaksanakan kelas-kelas lukisan serta webinar yang menampilkan ramai kartunis sebagai tetamu.

Cerita Lee Inas ini cukup simple. Ia adalah kisah permulaan terbinanya sebuah rumah tangga antara seorang jejaka dan wanita yang diminatinya yang diwakili oleh watak Budin dan Milah. Kisah mereka ini lebih banyak ditampilkan melalui lukisan ilustrasi berbanding tulisan. Tulisan atau penceritaannya cukup ringkas. Maka gambar telah memainkan peranan untuk menerangkan keadaan yang sedang berlaku.

Kisah ini sebenarnya menampilkan adat istiadat dan budaya Melayu khususnya kawasan kampung dan desa. Seorang jejaka yang tertarik dengan seorang wanita, melahirkan hasratnya kepada orang tua yang kemudiannya mengutus seorang wakil bagi tujuan merisik. Merisik adalah adat orang Melayu bagi melihat akan keadaan seorang wanita, sama ada beliau sesuai untuk si jejaka, statusnya bujang atau janda atau lebih bahaya jika tidak mengetahui si wanita adalah isteri orang. Merisik juga membolehkan wakil melihat lebih dekat akan peribadi dan tingkah laku seorang wanita. Perkara ini penting agar calon yang dipilih serasi dengan si jejaka. Proses ini bukan sahaja bagi menilai seorang wanita tetapi juga untuk mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku kemudian nanti memandangkan kurangnya maklumat atau pengetahuan tentang si wanita.

Ia seterusnya diikti dengan proses biasa seperti bertunang, akad nikah dan kenduri kahwin. Kesemuanya dipersembahkan dengan lukisan kartun yang kemas, cantik, bermaklumat beserta dengan kepelbagaian karakter. Lee Inas sebenarnya mempromosikan budaya Melayu yang cukup kaya dengan adab sopan di dalam permulaan membina sebuah rumah tangga. Ia tidak mempromosikan budaya dating dan berpasangan bahkan melalui proses yang cukup sopan serta memelihara adab dan kemuliaan diri.

Namun saya perhatikan beberapa lakaran yang sama boleh ditemui di beberapa muka surat yang berbeza. Ia seperti aktiviti copy and paste, dengan penggunaan komputer, maka beberapa lukisan dikerat, potong dan kemudian dicantumkan semula dengan lukisan atau watak lain. Walaupun ia tidak mencacatkan cerita dan persembahannya, kerana penggunaan aktiviti kerat dan cantum ini dilakukan dengan cukup kreatif dan kena dengan tempatnya, sebagai pembaca dan peminat, kita tentunya mahu melihat lukisan yang segar daripada pelukis.

Beberapa lukisan di dalam buku ini juga sebenarnya pernah tampil di media elektronik seperti di laman FB Lee Inas' Langkawi Illustrated yang memaparkan ilustrasi suasana kampung.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...