Rabu, 12 Januari 2022

JACK MA PENGASAS DAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF ALIBABA GROUP - Chen Wei


 

Nama tokoh ini tidak harus diperkenalkan lagi. Buku ini adalah kisah tentang Jack Ma daripada kacamata pembantu peribadi beliau, Chen Wei. Buku ini adalah terjemahan berdasarkan naskhah asal di dalam bahasa Cina. Walaupun mutu terjemahannya adalah baik, lantaran ia diterbitkan di bawah ITBM, hamba tidak dapat mengikuti perjalanan buku ini dengan baik. Amat terasa bahawa buku ini bukan orang Melayu yang melakukan terjemahannya. Entah kenapa hamba rasa kaku, amat malas untuk meneruskan bacaan. Walaupun buku ini tidaklah setebal mana, lebih dua minggu juga hamba ambil masa untuk menamatkannya. Cuba lihat satu contoh ayat  di bawah tajuk kecil 'Bermain Silap Mata', 'Beliau amat suka meminati Lu Louis Chen.....' terasa agak ganjil membaca ayat ' amat suka meminati'. Tetapi disebabkan hamba dah mula membaca, maka paksa jugalah diri untuk menghabiskan bacaan.

Jack Ma bermula sebagai seorang guru bahasa Inggeris. Kegigihan beliau mempelajari bahasa ini pernah hamba baca di internet dahulu. Perkara ini tidak diceritakan di dalam buku ini. Chen Wei bermula sebagai murid kelas bahasa Inggeris yang diajar oleh Jack Ma dan isterinya. Corak pengajaran Jack yang santai membuatkan pelajar amat senang dan berasa selesa dengan kelas beliau.

Jack Ma adalah seorang yang berpandangan jauh. Beliau merasakan internet boleh menjadi suatu yang besar satu hari nanti. Namun tidak mudah untuk beliau memulakan syarikat pertamanya pada waktu itu. Selain apa yang ingin dibawa oleh Jack Ma adalah sesuatu yang baharu, beliau juga menghadapi masalah untuk mendapatkan pembiayaan. Namun insan ini cukup keras berusaha untuk merealisasikan impiannya.

Chen Wei menceritakan kepada kita akan susah payah Jack Ma menubuhkan syarikatnya. Walaupun Jack Ma nampak akan kelebihan internet, beliau bukanlah kaki komputer. Jack Ma tidak tahupun untuk membuat apa-apa program komputer. Beliau bukan seperti Bill Gates atau Steve Jobs. Tetapi otak beliau sebenarnya sudah cukup untuk beliau membina sebuah pasukan yang mantap.

Disamping kisah Jack Ma membina perniagannya, Chen Wei turut menyentuh hubungan Jack dengan orang-orang tertentu seperti rakan-rakan pengasas bersama, selebriti, tokoh beladiri, pemimpin dunia dan lain-lain lagi. Dalam pertemuan-pertemuan itu Chen Wei menyampaikan kata-kata, falsafah serta pandangan Jack Ma terhadap sesuatu. Keberanian membuat keputusan adalah satu ciri yang ada pada beliau yang seharusnya ada pada setia pemimpin.

Banyak disentuh di dalam buku ini mengenai hubungan Jack Ma dengan para pekerja beliau. Para pekerja dianggap seperti keluarga. Pekerja yang cemerlang akan diberikan ganjaran yang setimpal. Jelas para pekerja juga amat sayangkan Jack. Peluang bertemu muka dengan Jack apatah lagi bergambar adalah satu kesempatan yang amat besar buat mereka. Secara tidak lansung buku ini akan mengajar para pemimpin cara berinteraksi dengan pekerja versi Jack Ma yang boleh dicontohi dalam beberapa perkara. Hubungan yang akrab inilah yang membawa kepada kejayaan syarikat apabila semuanya bersatu untuk memajukan bukan melingkupkan!

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...