Rabu, 5 Januari 2022

LAWAK BUDAK SEKOLAH : BUMPER PERHIMPUNAN - Poyo


 

Sempena musim cuti persekolahan ini, walaupun tinggal beberapa hari sahaja lagi nak habis, apa kata kita baca sedikit bacaan yang ringan tetapi menghiburkan, menggunakan bahasa Melayu yang baik serta mempunyai elemen nasihat dan perbuatan yang baik.

Lawak Budak Sekolah (LBS): Bumper Perhimpunan adalah himpunan  komik daripada tajuk yang sama dari isu nombor 1 sehingga ke nombor 3. Untuk pengetahuan pembaca, kartunis Poyo telahpun kembali ke rahmatulLah pada tahun 2017. Almarhum hanya sempat menghasilkan LBS hingga isu yang keempat sahaja. Selepas itu LBS diteruskan oleh kartunis lain seperti kartunis Froggypapa yang juga rakan rapat almarhum.

Sebagai peminat dunia kartun tempatan, para peminatnya tentu tidak dapat lari daripada membandingkan LBS dengan satu lagi siri yang hampir serupa iaitu 'Lawak Kampus' (LK) oleh Keith. Walau bagaimanapun, kedua-dua kartunis ini mempunyai gaya lukisan dan persembahan mereka yang tersendiri. LBS lebih nampak ciri tempatannya berbanding LK. LK menampilkan persembahan dalam kartun lerang yang mempunyai empat panel yang seragam. Manakala kartunis Poyo di dalam LBS menampilkan kartun semuka yang mempunyai tiga hingga ke lima panel dengan saiz yang berbeza. 

Terlebih dahulu watak-watak yang sering muncul diperkenalkan pada awal komik. Namun yang selalu mendominasi penceritaan adalah watak Ahmad Saiful dan Abu Jimi. Setiap watak ini mempunyai perwatakan yang berbeza yang akan menjadikan penceritaan lebih menarik lagi.



Walaupun kartun adalah satu bahan jenaka hiburan, namun dalam beberapa hal para pelukis perlu juga mengetahui beberapa pengetahuan asas. Contohnya di dalam kartun di atas diceritakan tentang bapa Lee Chong Beng yang dikenakan tindakan disiplin kerana memecahkan tingkap kapal selam sehingga menyebabkan kematian krewnya. Pertamanya kita tidak jelas tentang jenis kapal selam yang dibincangkan. sekiranya kapal selam ini adalah jenis besar seperti yang digunakan oleh tentera, maka ia sebenarnya tidak mempunyai tingkap! Kapal selam yang bertingkap hanyalah daripada jenis kecil yang biasanya digunakan dalam operasi menyelamat atau pemburuan harta karun dasar laut. Watak Lee Chong Beng juga hanya muncul sekali di dalam antologi ini.



Disebabkan oleh Covid-19, semua pusat pengajian terpaksa mengubah cara pembelajaran mereka dengan menggunakan kaedah atas talian. Satu kartun Poyo menarik perhatian hamba kerana ia ada kena mengena dengan PdPR ini sedangkan kartun ini telah dibuat bertahun-tahun sebelum pandemik ini melanda lagi. Justeru dalam situasi hari ini situasi seperti di dalam kartun di atas mungkin tidak menjadi satu jenaka lagi.

Sebagai bonus, komik bumper ini telah memberikan satu komik baharu bertajuk 'Abang F : Legasi Poyo'. Ia berkenaan kisah Froggypapa yang diberikan tanggungjawab untuk menyambung semula komik LBS ini. Selain itu sebuah lagi bonus merupakan sebuah cerpen bertajuk 'Mana Papa' oleh Ilmar Imia.

Penyambungan komik LBS oleh Froggypapa mempunyai kebaikan buat keluarga almarhum Poyo kerana ini membolehkan mereka memperolehi royalti, sekaligus memberikan manfaat kepada keluarga almarhum. Ia juga menunjukkan rasa prihatin dan tanggungjawab syarikat penerbitan ke atas seseorang yang pernah berkarya (dibaca berjasa) dengan mereka. 

Kita doakan agar almarhum Poyo diampunkan Allah akan segala dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...