Sabtu, 1 Januari 2022

MEMORI BUKAN MEMOIR : 20 BULAN REFORMASI PENDIDIKAN - Maszlee Malik


YB Dr Maszle Malik merupakan seorang ahli politik serta ahli akademik yang mempunyai minat yang tinggi terhadap sastera. Justeru tidak hairanlah gaya buku ini disusun dari segi bahasanya, amatlah tinggi dan menunjukkan tahap keilmuan beliau. Kita kadang-kadang akan terjumpa dengan beberapa istilah yang jarang didengari atau yang baharu sahaja diperkenalkan oleh DBP seperti kalimah kuncitara yang merujuk kepada istilah lockdown.

Buku ini agak tebal dan jenuh juga hamba membacanya. Sepertimana tajuknya yang tertulis 20 Bulan Reformasi Pendidikan, ia memang sebenarnya hanya kisah tentang reformasi pendidikan yang diusahakan oleh YB Maszlee sewaktu menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Sekiranya pembaca membayangkan beliau akan berkisah tentang dunia politik atau tentang partinya BERSATU, ini bukanlah bukunya. Hamba juga percaya bahawa kebanyakan pembaca ingin mengetahui akan sebab musabab 'terkeluarnya' Dr Maszlee daripada liga apabila tiba-tiba sahaja meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Perkara ini juga hanya disentuh secara sepintas lalu sahaja oleh Dr Maszlee dan masih akan menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pengikut arena politik tempatan. Ia sekaligus menunjukkan seolah isu berkenaan tidak penting untuk dibicarakan secara terperinci oleh penulisnya. Walaupun Dr Maszlee kerap menggunakan istilah 'diminta untuk memulangkan jawatan', hamba percaya istilah yang tepatnya masih dipecat!

Terdapat empat tajuk besar di dalam buku ini dan di bawah tajuk-tajuk besar ini terdapat tajuk-tajuk kecil serta pembahagian khusus mengikut kategori yang ingin dibicarakan. Contohnya dalam tajuk bahagian dua - Pendidikan Anak-Anak - di bawahnya di bahagikan kepada tiga bahagian iaitu murid, guru dan sekolah. Di bawah tiga bahagian tadi pula terdapat beberapa tajuk kecil yang membicarakan dengan lebih terperinci akan pembahagian tersebut.

Banyak yang dibicarakan oleh Dr Maszlee. Ternyata dalam tempoh 20 bulan ini banyak perkara besar yang telah dirancangkan oleh beliau. Usahlah anda berfikir tentang perkara kasut hitam yang sebenarnya hanya hangat di kalangan warga internet yang menganggap isu berkenaan besar sangat. Dalam buku ini Dr Maszlee tak ambil pot lansung akan perkara ini. 

Walau bagaimanapun Dr Maszlee banyak melahirkan kehampaannya dalam hampir kesemua perancangan yang disebutkan. Kehampaannya apabila kerajaan baharu yang mengambil alih tidak meneruskan perkara yang telah beliau dan kementerian rancangkan. Hamba rasa Dr Maszlee harus menyalahkan PM ketika itu sendiri. Kerajaan yang mengambil alih selepas itu terhasil daripada peristiwa perletakan jawatan Perdana Menteri. Memanglah 'Langkah Sheraton' itu ada. Tetapi perletakan jawatan itulah yang memudahkan segalanya untuk parti lawan. Lagipun insan yang mengambil jawatan Dr Maszlee sebelum pertukaran kerajaan itu juga hamba percaya tidak meneruskan kebanyakan yang telah Dr Maszlee rancangkan.

Buku ini sebenarnya bukanlah sebuah naskhah yang menyeronokkan untuk dibaca. Seperti yang hamba tuliskan di atas tadi, ia benar-benar tentang apa yang telah dibuat oleh Dr Maszlee sepanjang menjadi Menteri Pendidikan. Membaca naskhah ini umpama membaca sebuah buku laporan atau report card sebuah kementerian. Penggunaan dakwat biru pada sesetengah tajuk, graf dan jadual di sana sini, memang tak ubah seperti membaca sebuah buku laporan.

Walau apapun, buku ini amat relevan dengan seorang pendidik. Segala yang telah dirancangkan oleh Dr Maszlee ini masih lagi relevan untuk dilaksanakan. Kebanyakan tulisan ini amat berguna untuk para pendidik untuk dijadikan panduan di dalam pekerjaan mereka. Hamba sendiri bercadang untuk menyuruh anak hamba yang sedang menuntut di IPG untuk membacanya.

Dr Maszlee, walaupun telah bergelar ahli politik, perwatakan beliau lebih sesuai sebagai ahli akademik. Walau siapapun yang memegang kerajaan, Dr Maszlee adalah satu aset yang perlu diambil kira dalam membuat perancangan untuk pendidikan negara!


1 ulasan:

  1. Review yang ikhlas dan menarik.. Rasa teruja untuk memiliki buku ini.

    BalasPadam

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...