Rabu, 5 Januari 2022

ULTRA QALIF : BUMPER MISTERI KUARA - Bophairy


Ultra Qalif adalah salah satu siri komik yang mengutarakan superhero tempatan sebagai watak utamanya. Membaca bagaimana seorang remaja bernama Qalif yang mendapat kuasa sebagai Ultra Qalif akan membuatkan mereka yang membaca komik atau menonton filem berkaitan superhero barat melihat pelukis Bophairy mencampurkan beberapa elemen tersebut di dalam penceritaan Ultra Qalif. Qalif yang merupakan seorang remaja, bertubuh agak lemah dan ada sakit seolah watak Peter Parker. Topeng yang akhirnya memberi kuasa kepada Qalif seolah adegan daripada filem The Mask. Raut topengnya juga seperti wajah Ultraman. Warna biru pada tubuh Ultra Qalif adalah seperti watak Avatar.dan lain-lain lagi.

Ultra Qalif yang mengambil elemen tempatan sebenarnya tampil lebih sopan dan beradab berbanding dengan superhero orang putih. Sifat kekeluargaan, persahabatan serta hidup sebagai seorang Muslim menjadi tunjang peribadi Ultra Qalif. 

Edisi bumper ini memuatkan tiga siri awal komiknya. Ia menceritakan asal usul Ultra Qalif dan seterusnya perbalahan dengan kumpulan kongsi gelap yang membawa kepada permusuhan yang berpanjangan. Tambah merancakkan cerita apabila watak Mus sebagai penjahat, adalah juga adik seperguruan kepada datuk Qalif. Hamba tidak pernah membaca siri Ultra Qalif sebelum ini. Tetapi edisi bumper yang berakhir sampai siri ketiga ini telah menimbulkan persoalan yang menyebabkan kita perlu mencari sambungannya. Pandai betul Komik-M cari duit!

Satu perkara yang istimewa di dalam edisi ini adalah penampilan komik khas oleh Ben Wong bertajuk Ultra Qalif Ex. Di sini Ben Wong melukis semula Ultra Qalif mengikut gaya dan penceritaan beliau sendiri. Jika dibuat perbandingan, nyata karya Ben Wong mempunyai persembahan yang lebih menarik daripada pelukis asalnya. Ini dapat dilihat daripada gaya lukisan serta teknik pewarnaan Ben. Bahkan watak Ultra Qalif juga tampil dengan lebih berwibawa.

Apa yang menariknya watak Ultra Qalif ini juga pernah dibuat crossover dengan beberapa komik lain di bawak Komik -M. Nampaknya Komik-M juga mempunyai universenya yang tersendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...