Isnin, 7 Februari 2022

AJA'IBUL HIND - Buzurg Al-Rahmurmuzi


 

Buku ini adalah terjemahan daripada kitab 'Aja'ib al-Hind Barrihi wa Bahrihi yang bermaksud Kisah-Kisah Ajaib Di Daratan Dan Lautan Hindi oleh Buzurg al-Rahmurmuzi. Usaha penterjemahannya telah dilakukan oleh Arsyad Mokhtar.

Hind atau Hindi di dalam naskhah ini bukanlah merujuk kepada benua India semata-mata. Menurut penterjemah, kalimah Hind ini adalah satu nama umum yang merujuk kepada negara-negara dan pulau-pulau di sekitar Lautan Hindi. Justeru di dalam proses penterjemahan ini, penulis mendapati beberapa buah negara yang disebutkan di dalam kitab ini kebarangkaliannya merujuk kepada beberapa buah negara atau negeri yang terdapat di nusantara ataupun alam Melayu seperti Kedah, Champa, Sumatera dan sebagainya. Didorong oleh maklumat seperti inilah yang menyebabkan penulis berusaha menterjemahkan kitab ini buat tatapan kita semua.

Kisah-kisah yang tercatat di dalam buku ini adalah kumpulan kisah-kisah yang diceritakan kebanyakannya oleh para nakhoda serta pengembara yang pernah menjelajah ke beberapa negeri di sekitar Lautan Hindi kepada pengarangnya. Justeru kisah-kisah ini kebanyakannya tidaklah mempunyai kaitan antara satu sama lain. Ia tidak disusun mengikut tempat, lokasi atau peristiwa tertentu bahkan kelihatan bertaburan tanpa ada satu bentuk susunan yang tetap. Ada kisah yang pendek dan ada juga yang sedikit panjang. Namun hampir kesemua kisah yang dipaparkan adalah ajaib. Walau bagaimanapun dengan beberapa pengetahuan yang boleh diperolehi pada hari ini, sebahagian perkara tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik seperti ikan besar yang boleh mengeluarkan air di atas badannya yang kita ketahui hari ini sebagai ikan paus. Namun banyak juga kisah yang pelik dan ajaib seperti keturunan manusia dan haiwan laut yang membolehkan mereka hidup di dua alam, burung-burung besar yang penterjemah meyakini ianya adalah garuda dan lain-lain lagi.

Antara kisah-kisah ajaib yang boleh pembaca temui adalah seperti kisah manusia yang mempunyai sayap untuk terbang, ular yang menelan gajah, gunung besi berani di China yang boleh menarik kapal-kapal, berhala yang boleh berpindah tempat setiap seribu tahun dan lain-lain lagi.

Apa yang paling 'mahal' pada naskhah ini sebenarnya adalah ulasan penterjemah melalui nota kaki pada kebanyakan muka surat. Nota kaki ini akan menjelaskan beberapa maksud perkataan yang samar, nama-nama negeri yang tidak jelas, nama-nama negeri yang kelihatan seperti berada di alam Melayu, istilah-istilah timbangan dan jarak serta pandangan peribadi penulis mengenai sesuatu perkara berdasarkan kajian dan pengetahuan beliau. Bagi memastikan mutu terjemahan yang baik, penterjemah turut melakukan semakan silang dengan dua buah naskhah lain. Sekiranya terdapat perbezaan, penulis akan mencatatkan di dalam nota kakinya.

Walaupun kebanyakan kisahnya mirip dengan kisah dongeng, tetapi penterjemah meyakini akan kebenarannya dan tidak menganggap ia sebagai satu dongengan. Semua ini hanya akan terjawab apabila anda sendiri menikmati pembacaannya!



Nota - Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Februari 2022 (Jumaat) di bawah ruangan Resensi Gaya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...