Selasa, 22 Februari 2022

FATAH KARTUNIS AKAR TERENGGANU - Sabri Said


 

Bila berbicara tentang kartunis Fatah, peminat kartun tempatan tidak dapat lari daripada mengaitkan beliau dengan watak kartun A. Mamud. Watak A. Mamud, seorang pemuda dari daerah Dungun yang mempunyai penampilan pemuda zaman pop yeh yeh dengan jambul yang panjang, pakaian ala slim fit dengan seluar yang senteng yang dipadankan dengan kasut but hitam berkilat ala Beatles adalah merupakan salah satu watak paling sinonim dan menonjol di dalam majalah Gila-Gila.

A.Mamud yang mempunyai seorang kekasih bernama Jenab atau Jey ini  mempersembahkan bermacam cerita dengan menjadikan Dungun sebagai latar tempatnya. Walaupun kadang-kadang A.Mamud membawakan pelbagai isu atau kejadian semasa, ia dipersembahkan dalam latar masa tahun 60an. Di samping dua watak utama tadi, siri lagak A.Mamud turut diserikan dengan lain-lain watak seperti Maulud, Karim Kunyik dan Mak Jarah.

Fatah Kartunis Akar Terengganu adalah sebuah kisah ringkas tentang Fatah. Hamba mengetahui akan keadaan kartunis ini yang mengidap penyakit saraf sehingga menyebabkan beliau sukar bergerak serta menamatkan terus kebolehannya untuk melukis, tetapi melalui buku ini barulah hamba tahu bahawa beliau telah mula sakit semenjak zaman mudanya lagi. Bahkan sewaktu beliau bersama dengan Gila-Gila sendiri, beliau bertarung dengan penyakit itu bagi menyiapkan karya-karyanya. Walaupun pihak Gila-Gila pernah membiayai pembedahan bagi memulihkan penyakit tersebut, Fatah ternyata tidak sembuh.

Walaupun bapanya merupakan seorang ustaz, tiga orang anak Ustaz Ngah Mohamad daripada sejumlah tujuh orang terlibat dalam bidang yang berkaitan seni. Selain Fatah mereka ialah Manan Ngah, seorang komposer dan Allahyarham Jalil Ngah, seorang pereka pentas yang khidmatnya sering digunakan di dalam konsert konsert besar.

Bakat Fatah di dalam dunia seni adalah semulajadi. Selain daripada melukis, beliau juga boleh memainkan beberapa alat muzik yang dipelajarinya secara kendiri. Walaupun belajar secara kendiri, Fatah dapat memainkan alatan muzik khususnya biola seperti seorang professional. Bahkan ada yang menyamakan gaya permainan beliau seperti Idris Sardi.

Laluan hidup Fatah sebelum bergelar kartunis di Gila-Gila tidaklah mudah. Meninggalkan kampung halamannya menuju Kuala Lumpur secara hiking, Fatah pada mulanya bekerja di sebuah restoran. Tinggal menyewa bersama pelukis seperti Azman Yusuf dan Suhaime Salleh telah membuka ruang untuk beliau melahirkan karyanya. Suhaime Salleh bahkan terkesima melihat komik pertama Fatah yang boleh disifatkan seperti lahir daripada pelukis yang telah berpengalaman. Komik awal Fatah turut dipaparkan lewat buku ini. Harus hamba akui bahawa pandangan Suhaime itu ada benarnya apabila melihat stroke lukisan serta gaya panel dan rekaletak beliau.

Fatah bukan asalnya seorang kartunis. Melalui Gila-Gila beliau perlu beralih daripada seorang pelukis komik dan ilustrasi kepada seorang pelukis kartun. Sedikit demi sedikit beliau mampu melakukannya sehinggalah beliau berjaya mendapatkan gayanya yang tersendiri. Siri Lagak A.Mamud tambah mengutuhkan kedudukan Fatah di arena kartun tanah air.

Sebagai anak Terengganu, beliau banyak mempromosikan negerinya secara tidak lansung. Tidak hanya mempromosikan Dungun melalui A.Mamud, beliau juga mempromosikan budaya masyarakat Terengganu seperti aktiviti orang kampung, main peteri, rodat, wayang kulit dan sebagainya. Beliau juga banyak memaparkan perihal masyarakat setempat di tahun 60an. Secara tidak lansung lukisan beliau juga adalah satu bentuk rakaman sejarah dan budaya tempatan melalui wadah kartun.

Tidak ramai yang tahu, selain melukis komik dan kartun, Fatah juga ahli dalam seni catan. Lukisan beliau walaupun tidak banyak dihasilkan lantaran penyakitnya itu amatlah bermutu dan pernah dibeli oleh Sultan, para pemimpin dan juga selebriti. Fatah juga pernah menghasilkan lukisan untuk Search bagi album Fenomena.

Setelah sekian lama melukis dalam kepayahan, Fatah tidak lagi mampu berkarya. Tahun 2004 beliau menggantung berus buat selamanya dan terpaksa kembali ke kampung halamannya di Terengganu. Beliau dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibunya. Kematian ibu Fatah pada tahun 2017 benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap beliau yang menyebabkan hidupnya berasa kosong.

Penerbitan buku ini sesungguhnya adalah satu bentuk tribute kepada seorang kartunis yang pernah mewarnai dunia kartun tanah air. Agak malang kerana tiada anugerah yang pernah diberikan kepada kartunis ini walaupun kartunnya banyak mengangkat nama negeri kelahirannya Terengganu. Sementara nafasnya masih berhembus maka pihak-pihak yang berkenaan masih berkesempatan untuk menghargai beliau. Janganlah apabila telah tiada nanti, barulah nak diberikan anugerah-anugerah yang besar. Ketika itu ia telah tidak berguna lagi!


Nota - Ulasan ini telah tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia, Jumaat 18 Februari 2022.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...