Isnin, 7 Februari 2022

NOSTALGIA DAN DIN DON - Don


 

Kartun adalah satu wadah penyampaian maksud ataupun kisah dengan menggunakan lakaran-lakaran yang biasanya kelihatan lucu.

Majalah Gila-Gila yang mula terbit pada tanggal 1April 1978 telah melahirkan begitu ramai kartunis tempatan sehingga terdapat di kalangan mereka yang mempunyai kualiti setaraf kartunis antarabangsa.

Nama Saadon Ishak ataupun Don sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama ini masyhur dengan kartunnya seperti Dan Din Don, Pendekar Mato Tige, Apak dan lain-lain lagi. Maskot Gila-Gila yang amat dominan iaitu Professor Serba Tau juga adalah air tangan kartunis ini.

Nostalgia Dan Din Don adalah kompilasi karya beliau yang pernah tersiar di dalam majalah Gila-Gila. Tidak hanya menampilkan karya yang terpilih, setiap kartun asal ini diperkuatkan dengan teks penceritaan dan anekdot yang panjang. Teks penceritaan ini adalah satu unsur baharu yang tidak pernah disiarkan sebelum ini.

Dan Din Don adalah kisah tiga orang budak kampung yang ditampilkan dalam keadaan 'boleng' atau tidak berpakaian. Watak Don adalah merujuk kepada kartunisnya sendiri. Manakala watak Dan dan Din adalah rakan kepada beliau.

Latar tempatnya adalah sekitar Kampung Luat di Lenggong, Perak sekitar tahun 60an. Justeru Don menampilkan persekitaran sebuah kampung Melayu dengan keindahan rumah tradisional Melayu dan halamannya yang indah, persekitaran kampung dengan pemandangan sungai, kebun, bendang dan gunung ganang. Penceritaan begini adalah mirip kepada sebuah autobiografi di dalam penulisan,

Kisah-kisah yang ditampilkan adalah satu catatan sejarah secara tidak lansung. Ia adalah gambaran kehidupan masyarakat di tahun 60an dengan kanak-kanak bebas bereksperimen dengan kehidupan mereka. Ia adalah satu latihan secara tidak lansung di dalam membina hidup berdikari. Kisah-kisah yang ditampilkan juga memperlihatkan kecerdikan anak-anak masa itu yang ditampilkan dengan gaya yang lucu.

Naskhah ini telah diberikan prakatanya oleh Prof. Dr. Muliyadi Mahamood, seorang kartunis yang amat berjaya di dalam bidang akademik. Beliau telah menulis secara ringkas dan ilmiah perihal kartunis Don dan karyanya yang melibatkan perihal diri, masyarakat dan budaya.

Selain paparan koleksi kartun Dan Din Don, buku ini juga menampilkan beberapa penceritaan dan gambar ekslusif yang tidak pernah didedahkan sebelum ini. Agak menarik apabila Don menceritakan secara ringkas akan pengelibatannya dengan jemaah Al-Arqam sehingga pernah di interogasi di Bukit Aman!

Naskhah Dan Din Don ini tidak hanya muncul sebagai satu bentuk hiburan santai tetapi juga adalah satu catatan sejarah yang dirakam dalam bentuk lukisan.


Nota - Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Februari 2022 (Jumaat) di bawah ruangan Resensi Gaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...