Sabtu, 12 Mac 2022

DARAH DI TANDUO 2 - Dhuha Steffa

 



Dhuha Steffa pernah hadir dengan novelnya Darah Di Tanduo pada tahun 2020. Novel berkenaan memaparkan tentang peristiwa pencerobohan Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara yang disorot melalui kaca mata penduduk tempatan yang mengalami sendiri peristiwa tersebut.

Kehadiran novel berkenaan telah menarik perhatian beberapa pihak terutamanya anggota keselamatan yang berada di medan pertempuran berkenaan, lantas tampil ingin berkongsi cerita. Dhuha Steffa telah berjaya menemu bual beberapa individu penting yang menjadi tulang belakang pertahanan negara sehingga lahirlah Darah Di Tanduo 2.

Ternyata buku ke dua ini memberikan perasaan cemas dan tegang kepada pembaca. Pembaca akan diheret sama ke medan pertempuran dan merasai sendiri saat-saat getir dan cemas yang dirasai oleh anggota keselamatan. Ia dibauri dengan rasa rindu kepada keluarga, kasihkan negara dan tanah air serta mahukan rakyat negara ini hidup dalam aman dan sentosa.

Pihak keselamatan sebenarnya telahpun mengambil tindakan sebaik mendapat maklumat kedatangan kumpulan ini. Melalui rundingan pertama yang berlangsung melalui telefon, Datu Agbimuddin Kiram yang juga dikenali sebagai Datu Kuing telah memaklumkan bahawa mereka datang secara aman, bukan untuk berperang dan atas jemputan daripada seorang besar tempatan yang berjawatan tinggi. Maklumat ini tentunya akan membuatkan para pembaca berteka teki akan siapa yang dimaksudkan oleh Datu Kuing ini. Persoalan ini terus kekal misteri yang langsung tidak diungkapkan sehingga ke akhir buku.

Pihak polis dan tentera telah sama-sama memainkan peranan dan kerjasama yang erat di dalam operasi ini. Bahkan ada di kalangan pegawai veteran yang sanggup merisikokan diri mereka untuk membantu membuat pengintipan seperti yang diperlihatkan oleh Dato’ Abd. Rashid Harun, veteran VAT69.

Rundingan demi rundingan yang dijalankan nyata tidak memberikan sebarang impak yang positif. Selama berminggu itu juga pasukan keselamatan kekal berada dalam keadaan bersedia di pos mereka, tanpa kemudahan tempat rehat yang sempurna apatah lagi kemudahan untuk membersihkan diri.

Akhirnya pertempuran tidak dapat dielakkan. Beberapa orang anggota keselamatan telah gugur ketika mempertahankan negara. Kematian anggota ini memberikan kesan yang mendalam kepada rakan mereka yang lain. Kesedihan nyata agak sukar dibendung. Namun semangat semakin membara untuk menewaskan musuh. Dalam bab ini, Dhuha Steffa turut menyorot pengalaman mereka yang membantu menguruskan jenazah pejuang negara yang gugur. Ternyata amat sukar dan berat untuk menguruskan jenazah rakan sendiri. Dhuha turut memaparkan gambaran sebuah tempat pertempuran yang berlaku di sebuah rumah. Keadaannya amat mengerikan dengan percikan darah di sana sini hingga mencapai puncak siling. Satu perkara biadap yang dilakukan oleh pengganas ini ialah apabila mereka menjamu selera menjamah mee segera sambil duduk di atas jenazah perwira negara!

Darah Di Tanduo 2 turut memaparkan sifat kepimpinan yang ada pada seorang ketua terhadap anak buahnya. Menyedari akan operasi ini adalah antara hidup dan mati, seorang ketua diperlihatkan amat mengambil berat akan kebajikan anak buah mereka terutamanya daripada segi emosi dan mental. Ketika ini emosi dan mental mereka perlu stabil. Sebarang kelalaian akibat ketidak stabilan ini boleh menyebabkan bencana seandainya tidak ditangani dengan baik.

Buku ini turut memaparkan beberapa gambar ekslusif milik pegawai yang terlibat yang berkemungkinan belum pernah dipaparkan di mana-mana media. Sesungguhnya buku ini bukan hanya sarat dengan maklumat tetapi menyedarkan kita betapa tingginya pengorbanan anggota keselamatan untuk mempertahankan negara dan betapa pentingnya sebuah keamanan!


Nota - Ulasan ini telah tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia, Jumaat 11 Mac 2022.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...