Sabtu, 5 Mac 2022

ENSIKLOPEDIA HAJI & UMRAH - Syeikh Mahmud Al-Misri


 

Buku ini hamba beli di pameran Big Bad Wolf lama dahulu. Jikalau tidak silap itu kali pertama pameran buku berkenaan memasukkan buku-buku di dalam bahasa Melayu di rak pamerannya. Sebelum daripada itu mereka lebih banyak menjual buku-buku di dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun hamba perhatikan ketika itu harga buku-buku tempatan masih belum dapat menandingi harga buku-buku luar negara walaupun ia telahpun dijual dengan harga diskaun.

Buku ini jikalau mengikut harga asalnya ialah RM59.90. Pameran berkenaan menjualnya dengan harga RM22 sahaja, lebiha daripada separuh harga murahnya. Ketika itu agak mengambil masa juga hamba berfikir untuk membeli buku ini. Akhirnya hamba ambil juga kerana hamba percaya hamba akan memerlukan buku ini apabila tiba masa akan melaksanakan ibadat haji atau umrah nanti.

Buku terjemahan ini dinamakan sebagai Eksiklopedia haji dan umrah. Tajuk asalnya jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu adalah Fatwa-Fatwa Haji Dan Umrah - Penerangan Lengkap Ibadah Haji Dan Umrah فتاوى الحج والعمرة (شرح كامل لمناسك الحج والعمرة) ). Justeru ia adalah himpunan fatwa daripada persoalan orang ramai mengenai ibadah haji dan umrah. Ia tidak pun disusun mengikut format sebuah ensiklopedia. Jadi hamba merasakan adalah lebih baik tajuk buku ini diterjemahkan kekal seperti tajuk asal.

Memandangkan ia adalah sebuah himpunan fatwa, maka buku ini tidaklah mengajar tentang haji dan umrah itu secara lansung dari awal hingga akhir. Namun pelaksanaan ibadah ini ada dijelaskan serba sedikit di awal buku. Segala fatwa adalah beradasarkan persoalan orang ramai yang lazim timbul ketika mengerjakan ibadah ini. Permasalahan yang timbul ini adalah amat berguna untuk pengetahuan kita memandangkan ia sering terjadi dan akan menimbulkan permasalahan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu tentangnya.

Segala permasalahan akan dijawab berdasarkan amalan haji dan umrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang kebiasaannya akan diiringi oleh dalil-dalil sama ada daripada Al=Quran, hadith, athar ataupun kata-kata dan perlakuan sahabat. Terdapat juga jawapan untuk persoalan perkara baharu yang tidak ada pada zaman Nabi seperti penggunaan telefon bimbit sebagai rujukan untuk bacaan doa atau membaca Al=Quran, bertawaf atau bersaei di tingkat atas masjid dan sebagainya. Juga diterangkan beberapa amalan bidaah yang ada dilakukan oloeh segelintir jemaah. namun agak malang bagi edisi terjemahan ini, dalil yang berupa hadith jarang dituliskan matannya yang di dalam bahasa Arab. Hanya terjemahan terus ke dalam bahasa Melayu sahaja yang dipaparkan. Berkemungkinan pihak berkenaan tidak mahu menjadikan buku ini terlalu tebal, walLahu aalam. Namun untuk membawakan matan di dalam bahasa Arab adalah lebih baik untuk ruuukan dan hafalan.

Selain daripada tulisan yang melibatkan ibadah haji dan umrah, buku ini turut memaparkan perkara-perkara lain yang mempunyai kaitan dengan ibadah ini seperti tentang keutamaan air zam zam, keutamaan 10 Zulhijjah atas bulan yang lain, keutamaan Kota Makkah dan lain-lain.

Walaupun buku ini disusun berdasarkan soalan berkaitan pelaksanaan ibadah umrah dan haji, pembaca akan mendapat manfaat yang besar kerana penerangannya yang detail akan membolehkan kita memahami cara pelaksanaan ibadah ini dengan betul. Walaupun kadang-kadang terdapat persoalan yang hampir sama, ia tetap dijawab dengan sempurna dan diterangkan dengan sebaiknya oleh penulis.

Buku ini adalah buku yang perlu ada dalam simpanan di rumah kita bagi panduan pelaksanaan ibadah haji dan umrah yang sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...