Rabu, 2 Mac 2022

SATU HARI DI DABONG

 


Melihat satu posting di Facebook mengenai Train To Dabong, saya terus menyarankan kepada Presiden Kelab Sukan & Kebajikan jabatan – KESUKEB, untuk membuat tinjauan dan mengatur satu lawatan ke sana.

Satu recce team sejumlah 5 orang telah mula mengatur langkah, membuat tinjauan dan mengatur perancangan. Mereka pulang dengan gembira dan begitu teruja menceritakan pengalaman mereka ke sana.

Lantas saya mengarahkan agar terus ditetapkan tarikh pemergian dan iklan segera disiarkan untuk makluman ahli kelab. Tidak disangka-sangka, iklan yang disiarkan mendapat perhatian. Ramai yang berminat untuk turut serta. Saya menetapkan bahawa lawatan ini tidak boleh melebihi 20 orang. Ini untuk memudahkan urusan dan memudahkan urusetia untuk mengatur para peserta.

Pada awalnya, tarikh yang dirancang adalah pada 28 Januari 2022. Malangnya tiket keretapi pada Tarikh berkenaan telahpun penuh memandangkan ramai yang ingin pulang ke kampung kerana cuti tahun baru cina. Akhirnya urusetia telah menganjakkan Tarikh pemergian seminggu lebih awal iaitu pada malam 21 Januari.

Pemergian hamba bersama ahli kelab kali ini sebenarnya tidaklah begitu menggembirakan. Hati terasa tidak tenteram mengenangkan bonda yang baru sahaja dimasukkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan. Sambil bermusafir, hati sentiasa teringatkan beliau dan mulut sering berdoa agar bonda baik-baik sahaja.

Perjalanan kami akan bermula dari Stesen Keretapi Sungai Buloh. Kedudukannya yang dekat dengan pejabat agak memudahkan kami. Saya boleh bersiap untuk solat terlebih dahulu di pejabat sebelum bertolak. Kami semua berkumpul di pejabat sebelum bertolak ke stesen dengan bas.

Ini kali pertama saya menaiki keretapi ETS. Ia sebuah rangkaian keretapi yang selesa, mengingatkan keretapi yang pernah saya naiki di Maghribi dan Sepanyol. Hampir separuh daripada gerabak berkenaan ditempati oleh ahli KESUKEB menjadikan suasana agak riuh dengan perbualan dan gurau senda masing-masing.

Tidak menunggu lama, saya mengajak beberapa rakan untuk menikmati makan malam di kafe keretapi. Hati teringin untuk mencuba lasagna tetapi terpaksa digantikan dengan nasi goreng nenas apabila ia kehabisan bekalan. Makanan yang ada adalah dalam bentuk sejuk beku yang akan dipanaskan menggunakan ketuhar setelah dipesan pelanggan. Walaupun boleh membawa makanan ke tempat duduk, saya memilih untuk makan di meja kecil berhadapan kaunter jualan.

Perjalanan dalam keretapi ini mempunyai banyak masa yang amat rugi jika hanya dihabiskan dengan berbual dan bermain telefon. Justeru saya telah bersedia dengan membawa sebuah komik yang tebal. Saya tidak membawa buku seperti biasa kerana memikirkan adalah lebih mudah untuk saya membaca komik. Sekiranya pembacaan saya terganggu disebabkan ada yang ingin berbual atau terpaksa menundakan bacaan, sekurang-kurangnya ia tidak terlalu mengganggu pembacaan. Berbanding jika membaca sebuah buku atau novel, apabila sampai ke bahagian yang penting atau yang suspen dalam novel, masa itulah ada yang mahu berbual ataupun keretapi telah tiba ke destinasi.

Saya percaya bahawa program ini mendapat sambutan hangat para ahli bukan sahaja kerana destinasi yang akan ditujui adalah amat menarik, bahkan rata-rata mereka merasa teruja untuk menaiki sleeper train! Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menaiki keretapi yang mempunyai tempat tidur. Sebelum ini Di Maghribi dan Sepanyol, saya hanya bermusafir pada waktu malam dengan duduk di kerusi penumpang biasa sahaja. Justeru mempunyai ‘katil sendiri’ di atas keretapi, tentunya sesuatu yang menerujakan.

Untuk meneruskan perjalanan ke Pantai Timur, kita perlu bertukar keretapi di stesen Gemas. Keretapi menuju ke Pantai Timur sebenarnya tidaklah semewah keretapi ETS. Ia adalah keretapi lama. Gerabak tempat tidurnya dihiasi dengan langsir berwarna coklat cerah. Berpandukan pengalaman recce team sebelum ini, kami telah menempah tempat tidur bahagian bawah. Ini memandangkan katil bahagian bawah lebih memberikan keselesaan kepada penumpang.berbanding di sebelah atas.

Pegawai saya encik Hafizullah menyemburkan cecair pembasmi kuman ke atas tilam sebelum saya mula berehat. Tempat tidurnya sederhana, sebuah katil yang dilengkapi dengan bantal, selimut dan lampu peribadi. Langsir yang disediakan sudah memadai untuk melindungi privasi penumpang. Di luar keadaan begitu gelap, tidak memungkinkan penumpang untuk menikmati sebarang pemandangan. Apa yang boleh dilakukan hanyalah merehatkan diri dan bersedia untuk tidur.

BismilLah, dalam goyangan gerabak keretapi diri mula belayar ke alam mimpi.

 

Keretapi berhenti di sebuah stesen yang saya tidak ingat Namanya apabila waktu Subuh tiba. Tandas di dalam keretapi ini begitu kecil dan tidak berapa selesa berbanding dengan tandas di keretapi ETS. Tetapi itu tidak menghalang saya untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk. Walaupun tandas ini tidak sesuai untuk mandi, ada juga penumpang yang berbuat demikian hingga menyebabkan air melipah ke luar bilik air. Saya kira pekerja pembersihan sudah sedia maklum akan kelakuan penumpang kerana kelibat mereka dengan mop sentiasa kelihatan di antara gerabak.

Tidak seperti keretapi ETS, tiada ruang untuk solat di keretapi ini. Para penumpang solat di tempat masing-masing secara duduk. Berpandukan aplikasi kiblat di telefon bimbit, saya menentukan arah sebelum mula melaksanakan fardhu Subuh.

Secara sedikit demi sedikit pemandangan di luar keretapi mula kelihatan. Di luar hanyalah hutan dan sekali sekala kelihatan penempatan penduduk kampung apabila keretapi melintasi kawasan yang mempunyai penduduk atau berhenti di stesen tertentu. Cahaya matahari kelihatan indah menerangi kehijauan hutan.




Pagi itu saya bersarapan di kafe keretapi. Sebelum itu saya telahpun siap bertukar pakaian dengan mengenakan t’shirt khas rombongan yang berwarna biru, mempunyai gambar kepala keretapi yang tercatat ‘train to Dabong’. Walaupun sekadar roti bakar yang dipadankan dengan teh o kosong, sarapan di atas keretapi sambil melihat pemandangan di luar begitu menyelerakan.

Sewaktu recce team mmebuat tinjauan dahulu, keretapi apabila tiba di stesen Gua Musang akan berhenti agak lama sehingga membolehkan penumpang turun menikmati keindahan di sekitar stesen sambil mengambil gambar. Tetapi kali itu ia tidak berhenti lama dan tidak memungkinkan penumpang untuk turun. Keberadaan keretapi di stesen Gua Musang menandakan bahawa destinasi yang ditujui sudah tidak jauh lagi.

“Dabong, Dabong!!” teriak pemeriksa tiket keretapi dari gerabak ke gerabak sewaktu keretapi semakin menghampiri stesen berkenaan. Saya dan kawan-kawan telahpun bersedia menyiapkan beg masing-masing dan berasa tidak sabar untuk turun.

Akhirnya kami tiba juga di stesen Dabong. Stesennya kecil sahaja sesuai dengan keberadaannya di sebuah kawasan pedalaman. Mungkin orang dahulu juga tidak menjangka bahawa satu hari nanti stesen ini akan menjadi tumpuan pelancong yang mahu menikmati keindahan alam sekitar di kawasan itu khususnya para hikers.



Ramai juga yang turun di stesen berkenaan. Nampaknya bukan hanya kami yang melancong ke daerah ini. Belum lagi menuju ke destinasi lawatan, kawan-kawan begitu gembira mengambil gambar di sekitar stesen termasuk dengan keretapi yang membawa kami. Baru pagi itu saya dapat melihat nama lokomotif yang membawa kami – Badang!

Kenderaan yang kami sewa dengan pemandunya telahpun sedia menanti, dua buah MPV dan sebuah van buruk. Ramai yang awal-awal telah memilih untuk menaiki MPV. Maka saya dan peserta lelaki yang lain pun naiklah van putih buruk ini yang dikemudi oleh lelaki yang bernama Wan. Sebelum menaiki van, sarapan yang telah ditempah awal telahpun siap di bahagi-bahagikan.

Kenderaan dari stesen berkenaan melalui jalan yang agak sempit, di apit oleh pelbagai bentuk bangunan menuju ke destinasi pertama kami – Gua Ikan. Di Dabong ini sebenarnya terdapat banyak lagi gua. Namun gua ikan adalah antara gua yang agak mudah untuk dilawati serta tidak dikenakan bayaran. Gua lain mungkin terletak agak ke dalam hutan dan memerlukan sedikit masa ataupun memerlukan khidmat pengiring.

Kawasan di sekitar Gua Ikan amat terjaga. Ia lengkap dengan kemudahan meletak kereta serta tandas. Tong sampah turut disediakan. Dari tempat meletak kereta kita akan berjakan sedikit menuju ke Kawasan gua.

Semakin menghampiri destinasi, mata akan dijamu dengan pemandangan sebuah bukit batu yang tinggi. Di bawahnya ada gua yang begitu luas bukaannya dengan aliran air sungai yang jernih mengalir dari dalam gua ke luar. Di luar gua, ada sebuah batu besar umpama pulau kecil yang terletak di dalam sungai. Di situlah saya duduk sambil menikmati sarapan pagi. Rupanya pek-pek sarapan yang berada di dalam plastic itu mempunyai hidangan yang berbeza. Saya mendapat nasi kerabu berlaukkan ayam bakar yang masih panas lagi. Makanan yang sedap dan dinikmati persekitaran yang menakjubkan begitu membuka selera.



Saya menyusuri air sungai yang cetek dari pulau berkenaan dan masuk ke dalam Kawasan gua. Orang sudah mula ramai dan semuanya sibuk merakam keindahan gua itu. Tanah di dalam gua terasa lembap dan ada bahagian tanahnya yang licin. Sebahagian besar Kawasan hadapan gua diterangi oleh cahaya matahari yang dapat masuk. Gua ini kelihatan memanjang ke belakang dan boleh dilihat mulut gua di Kawasan yang satu lagi. Tetapi persekitaran sebelum sampai ke mulut gua yang kedua kelihatan gelap dan Wan tidak membenarkan kami pergi.

Keadaan persekitaran gua amatlah menakjubkan dengan stalagtit dan stalagmit serta formasi batu-batu yang kadangkala membentuk seperti sesuatu objek. Menurut Wan, pada zaman Jepun, penduduk kampung pernah menjadikan Gua Ikan sebagai tempat berlindung.

Selesai menikmati keindahan Gua Ikan, kami menuju ke Madrasah Tarbiah Al-Aulad Sungai Kenerong, iaitu sebuah institusi pondok yang ada di sini. Kedatangan ke sini adalah kerana recce team telah membuat sedikit kutipan untuk disumbangkan ke pondok ini. Sebaik sampai ke kawasan ini, mata akan dijamu dengan pemandangan deretan beberapa buah pondok daripada papan yang berdiri di tepi jalan. Tidak jauh di hadapan berdiri sebuah bangunan masjid yang kelihatan masih dalam pembinaan. Membelok ke kiri, kenderaan membawa kami ke satu Kawasan tepi sungai yang mempunyai pemandangan yang menakjubkan.




Sungai Kenerong amat indah sekali. Sungainya lebar dan berbatu, arusnya deras dan airnya jernih. Terdapat sebuah surau yang kelihatan unik dibina di tepi sungai ini. Sungguh, hamba sehingga kini masih lagi terpesona dengan keindahan alam di tepi Sungai Kenerong ini.

Menurut seorang ustaz yang kami temui, pelajar di sini pada waktu lapang akan membantu membina masjid yang kami lihat sebelum itu. Mereka banyak menggunakan batu-batu sungai di situ. Kelihatan juga beberapa bangunan yang belum siap dibina yang dikatakan akan dijadikan chalet buat para pengunjung. Bangunan itu juga dibina secara berdikit oleh pelajar pondok.

Mengendalikan ATV di Jelawang adalah pengalaman pertama hamba. Memandangkan jumlah kami yang ramai dan ATV yang sedikit, maka kami agak banyak membuang masa di sini kerana terpaksa menunggu giliran.

Aspek keselamatan amat dititikberatkan oleh pengusaha ATV. Setiap kumpulan akan disertai oleh kakitangan mereka bagi menunjuk jalan serta mengawasi aktiviti peserta agar tidak terdedah kepada bahaya. Jalan yang dilalui agak mencabar termasuk melalui jalan yang berlumpur serta merentasi sungai.

Walaupun terletak di kawasan luar bandar, kelibat warung yang menjual makanan kelihatan agak banyak. Antara menu yang terkenal di daerah ini adalah mee udang banjir. Udangnya pula besar-besar dan memuaskan hati pelanggan.



Hari telahpun beranjak petang dan kami menuju ke destinasi terakhir kami iaitu Taman Negeri Gunung Stong. Ada sebuah kawasan tinjau yang hampir siap dibina sebelum sampai ke destinasi. Ia menghidangkan pemandangan indah Gunung Stong yang memperlihatkan juraian air terjun Jelawang. Air terjun ini merupakan air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara.

Ada sedikit bayaran yang dikenakan buat pengunjung ke kawasan ini. Walaupun boleh sahaja mandi di kawasan bawah, saya dan rakan-rakan memutuskan untuk memanjat naik sedikit sehingga tiba di kawasan yang membolehkan kami melihat air terjun dengan jelas. Terdapat beberapa chalet yang dibina mengikut senibina Melayu. Tetapi kesemuanya nampak seperti lama tidak berpenghuni, tidak terurus dan kelihatan menyeramkan.






Air sungainya terasa amat dingin sekali dan saya tidak mampu untuk berlama-lama berendam di dalamnya. Saya kemudiannya turun untuk membersihkan diri di bilik mandi awam yang disediakan dan seterusnya melaksanakan solat secara jamak di surau.

Keretapi kami adalah pada jam 11 malam nanti. Masa agak panjang sebelum menuju ke angka tersebut. Mujurlah salah seorang peserta mempunyai nenek yang tinggal di daerah ini. Adat bertamu ke rumah orang Melayu, tuan rumah menjamu kami dengan masakan gulai patin tempoyak yang kesedapannya tidak terkata.



Masuk sahaja ke dalam keretapi pada malam itu, saya tidak melakukan apa-apa lagi. Memasuki sahaja tempat tidur, saya letakkan barang sebaiknya, berlunjur, doa dan tidur…..tak mahu fikirkan apa, otak dan badan dah penat. Cuma mahu tidur.

……..tapi diganggu juga dengan pemeriksa tiket……..


tempat menarik di Dabong

itinerari lawatan ke Dabong

2 ulasan:

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...