Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, di dalam autobiografi beliau yang berjudul Perjalanan Mencari Hikmah menulis, 'Sangat banyak peristiwa penting yang tidak dapat dirakamkan kerana bukan tradisi kita untuk masuk bakul angkat sendiri, tetapi masa sudah jauh berubah, nilai-nilai juga sudah berubah. Perubahan itu telah berlaku dengan cepat. Generasi sekarang tidak tahu bagaimana permukaan Kuala Lumpur pada tahun-tahun sebelum merdeka, malah ada yang tidak tahu bagaimana kita mencapai kemerdekaan, maka banyaklah peristiwa penting yang hilang dan akhirnya kita hanya dapat membacanya daripada tulisan orang lain. Minda kita kembali dijajah, walaupun tubuh kita sudah merdeka.'
Pandangan
Abdullah Hussain telah menjentik hati penulis buku ini untuk menulis kisah
beliau sewaktu menuntut ilmu di Maghribi. Kita biasa mendengar kisah penuntut
kita yang berada di Jordan, Mesir ataupun Arab Saudi. Tetapi amat jarang
mengetahui kisah mereka di Maghribi. Apatah lagi kisah yang berlaku hampir 30
tahun yang lalu. Justeru Kenitra menghidangkan kisah yang begitu berbeza.
Kebiasaannya
sebuah autobiografi akan memaparkan wajah penulisnya. Tetapi buku Kenitra lari
daripada kebiasaan. Kulit mukanya umpama paparan sebuah komik. Ia memaparkan
seorang pendekar Melayu berhadapan dengan empat orang pahlawan Maghribi di
hadapan sebuah kota. Menurut penulis, empat orang pahlawan Maghribi adalah
melambangkan empat tahun tahun yang dilalui penuh cabaran. Manakala kedudukan
pendekar Melayu yang berdiri di hadapan kota melambangkan kota itu telah beliau
kuasai dan harus mempertahankannya. Lukisan oleh pelukis kartun terkemuka tanah
air, Gayour ini sekaligus membangkitkan minat saya untuk mengetahui isi
kandungannya.
Latar peristiwa
buku ini bermula sehari selepas penulis menamatkan persekolahan menengahnya.
Tidak sempat menikmati waktu untuk bersukaria selepas selesai SPM, penulis
terus bekerja di sebuah kafeteria yang berada di dalam sebuah kilang milik
syarikat luar negara. Penulis bekerja di sini selama beberapa bulan sehinggalah
hampir tempoh untuk berangkat ke luar negara.
Mendapat
keputusan yang baik di dalam SPM, penulis telah ditawarkan pengajian untuk
melanjutkan pengajian ke Maghribi. Walaupun ‘tidak ada hati’ untuk belajar di
luar negara, tetapi demi mendapatkan redha kedua orang tua, penulis
memberanikan diri untuk merantau ke tempat yang begitu asing.
Tidak mudah jalan
yang dilalui penulis untuk ke luar negara. Tindakan seorang saudara dekat yang
sepatutnya menjadi penjamin kepada penulis dengan menarik diri di saat akhir
amat mengecewakan beliau. Segala borang yang telah beliau isikan dengan
maklumat penjamin yang hanya tinggal untuk ditandatangani sahaja terpaksa
ditukar baharu. Peristiwa ini adalah satu turning point buat penulis
untuk nekad ke luar negara bagi membuktikan kepada saudara beliau tersebut
bahawa beliau mampu untuk pulang dengan kejayaan.
Penulis perlu
menghadiri satu kursus intensif di dalam bahasa Arab sebelum ke luar negara.
Beliau dihimpunkan bersama-sama dengan para pelajar yang bukan sahaja akan ke
Maghribi tetapi termasuk juga dengan pelajar yang akan ke Jordan dan Mesir.
Agak menerujakan apabila penulis memaklumkan bahawa bekas Menteri Pendidikan
kita YB Maszlee Malik sepatutnya bersama beliau ke Maghribi, tetapi kerana
masalah birokrasi negara penerima, menyebabkan YB Maszlee akhirnya ke Jordan.
Pelbagai
peristiwa yang penulis catatkan sepanjang empat tahun hidup di Maghribi. Hidup
di negara yang agak mundur berbanding Malaysia ketika itu menyebabkan
segala-galanya agak mencabar. Tinggal di negara yang mengalami cuaca empat
musim, penulis mengibaratkan rumahnya umpama sebuah peti ais kerana tidak
mempunyai sistem pemanas udara.
Antara peristiwa
menarik yang penulis paparkan adalah kekerapan pelajar Arab mengadakan tunjuk
perasaan di universiti sehingga mengganggu pelajaran yang sedang berjalan.
Tunjuk perasaan ini juga berlaku semasa hari peperiksaan beliau pada tahun
pertama sehingga hampir digagalkan di dalam peperiksaan oleh pihak universiti.
Selain itu
dipaparkan tentang suasana Ramadhan dan perayaan di sana, budaya masyarakat
Maghribi, makanan, bahasa Darijah, pengajian Al-Quran riwayat Warsy, peristiwa
cubaan membunuh Raja Hassan II dan lain-lain lagi. Sebagai bonus, penulis turut
memasukkan bab kembara beliau ke Sepanyol (Andalusia) dan Kota London.
Gaya penulisan
Mizhar Mazlan yang santai membuatkan pembaca tidak akan merasa jemu.
Penceritaan ini akan di selang selikan dengan beberapa fakta menarik tentang
sesuatu tempat, personaliti atau peristiwa yang berlaku di sebalik sesuatu
cerita.
Pengalaman dan
pengetahuan penulis mengenai Maghribi menjadi begitu berguna apabila sewaktu
Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) yang berlansung di Putrajaya pada tahun
2003, beliau telah dipilih untuk menjadi
liaison officer kepada Raja Muhammad VI, pemerintah Maghribi yang baru
beberapa tahun mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Raja Hassan II.
Buku Kenitra boleh didapati dengan menghubungi Adana Publishing melalui Whatsapp di talian 017 3952676 atau di Shopee - https://shopee.com.my/Kenitra-by-Mizhar-Mazlan-i.358438122.20602175780?sp_atk=90df2f97-300e-470c-8922-495a59c732d6&xptdk=90df2f97-300e-470c-8922-495a59c732d6
Nota : Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia pada Jumaat, 1 April 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan