Isnin, 9 Mei 2022

IAKAH SALMAH - Ahmad Rashid Talu


 

Karya seperti buku ini mungkin antara sebilangan kecil karya lama yang masih lagi diterbitkan serta sampai kepada pembaca hari ini. Seharusnya sekalung penghargaan diberikan kepada pihak penerbit yang menerbitkan semula karya-karya seperti ini.

Iakah Salmah tulisan Ahmad Rashid Talu ditulis sekitar tahun 20-30an, sebelum zaman perang dunia lagi. Agak sukar juga untuk saya membayangkan keadaan pada zaman itu. Justeru di setiap penceritaan, saya hanya boleh membayangkan keadaan masyarakatnya sama dengan era 50 atau 60an seperti yang boleh dilihat pada filem-filem lama. Tapi saya yakin bahawa cara pemakaian serta keadaan pada era 20an tentunya jauh berbeza dengan era 50 dan 60an.

Jalan cerita buku ini sebenarnya mudah sahaja. Perbuatan Bakar yang membantu Salmah yang kemalangan di hadapan rumah beliau telah disalah ertikan oleh Malikun, bakal bapa mertua Bakar. Bakar telah diusir keluar dari rumah dan membawa diri ke Singapura. Apabila keadaan sebenar telah diterangkan oleh Salmah, maka menyesallah Malikun dan bermulalah kisah pencarian Bakar untuk memujuknya pulang. 

Ahmad Rashid Talu juga membawa pembaca ke masa lalu, sebelum kisah Bakar membantu Salmah, dengan menceritakan kisah bagaimana bapa Salmah, Hussain,  berkahwin dengan ibunya dan kemudian meninggalkannya berbelas tahun tanpa khabar berita. Namun bukanlah tujuan penulis untuk menunjukkan penderitaan Salmah atau ibunya sepanjang ketiadaan Hussain. Salmah sepanjang itu tumbuh baik dan menjadi seorang anak yang cerdik.

Salmah di dalam penceritaan ini hanyalah seorang anak gadis kira-kira 15 tahun, telah lulus junior cambridge. Walaupun begitu beliau adalah seorang gadis yang bijak, petah bercakap dan dapat memberikan idea-idea yang bernas. Salmah juga dapat bercakap tentang hal agama dengan baik. Jika diteliti akan pandangan beliau tentang kemajuan orang Melayu, kelihatan pemikiran beliau terlalu matang berbanding dengan usianya. Dapat kita rumuskan bahawa Salmah sebenarnya membawa pemikiran Kaum Muda (sila rujuk sejarah tentang Kaum Muda dan Kaum Tua) yang mahukan kemajuan pada pemikiran dan hidup orang Melayu. Kaum Tua pula boleh diwakili oleh watak Malikun yang dilihat agak konservatif.

Kisah Iakah Salmah seolah-olah diceritakan oleh pena, dakwat dan kertas. Ahmad Rashid kadangkala menulis cukup pendek untuk sesuatu bab, dan adakalanya amat panjang. Bahasa yang digunakan tentulah sesuai dengan era berkenaan yang kadangkala hamba sendiri terpaksa membacanya dua kali bagi memahamkan perkara yang hendak disampaikan. Tapi dapat hamba katakan bahawa karya ini boleh dikatakan genius jika difikirkan tentang zaman ianya ditulis yang tentunya segala sumber maklumat serta perhubungan tidak seperti hari ini. Pembaca akan dibawa merayau oleh Ahmad Rashid di Selangor, Pulau Pinang, Singapura dan Kelantan.

Kisah ini bukan sahaja berakhir dengan happy ending dengan kembalinya Bakar. Tetapi Bakar dapat berkahwin dengan Nahariah dan Salmah juga berkahwin dengan Zainin, adik Bakar. Seperti yang disebutkan di awal tadi, Salmah hanyalah seorang gadis berusia 15 tahun. Justeru diperlihatkan bahawa di zaman ini perkahwinan dalam usia muda bukanlah satu isu besar. Kesemua watak ini kemudiannya mengeluarkan catatan mereka yang kemudiannya disatukan sehingga menjadi kisah Iakah Salmah ini.

Mungkin generasi hari ini tidak dapat mengikuti dengan baik rentak penulisan era 20an, tetapi buku ini amat bernilai untuk dibaca dan hayati isi kandungannya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...