Isnin, 16 Mei 2022

KAPAL TERAKHIR DI DUNIA : EPISOD I - Teme Abdullah


Sewaktu Pesta Buku Selangor tahun lalu, hamba melihat beberapa reruai memberikan tawaran harga istimewa untuk kesemua tiga buah buku dalam siri ini. Hamba membuat perbandingan harga yang ditawarkan oleh reruai ini beserta dengan saguhati yang mereka tawarkan. Tidak memadai dengan harga di reruai ini, hamba lihat pula harga yang ditawarkan oleh penjual atas talian melalui platform Shopee. Akhirnya hamba mendapat seorang penjual yang memberikan harga yang kompetitif dan lebih baik daripada penjual di pesta buku. Hamba juga tidak dikenakan caj penghantaran. Justeru kesemua buku Teme Abdullah ini tidak hamba beli di pesta buku sebaliknya dengan penjual diatas talian. Tidak terhad kepada buku ini sahaja, sebenarnya hamba membuat semakan silang dengan hampir kesemua buku yang hamba beli.

Memandangkan siri ini mengandungi tiga buah buku, untuk keseronokan membacanya, kita harus membacanya secara berterusan. Tidak boleh jeda yang terlalu lama antara satu buku dengan buku yang lain. Ia akan menyebabkan kita terlupa akan kisah yang sebelumnya. Atau boleh sahaja mood kita lari ke laut. Justeru hamba perlu mencari satu masa yang sesuai. Sukar untuk hamba melakukannya pada hari-hari bekerja biasa.

Akhirnya hamba mendapat kesempatan itu. Pulang daripada cuti Aidilfitri, hamba melakukan kerja luar di negeri Kelantan. Perjalanan menggunakan kenderaan jabatan membolehkan hamba menggunakan masa bermusafir yang panjang untuk menghabiskan bacaan kesemua tiga buku ini.

Dunia telah mengalami serangan tahi bintang yang maha hebat sehingga mengakibatkan kemusnahan dunia 571 tahun yang lalu. Dunia menjadi beracun dan bertoksid. Debu-debu tahi bintang menyelubungi bumi sehingga menhalang cahaya matahari daripada muncul. Manusia telah sempat membina sebuah kapal yang maha besar bagi menempatkan saki baki yang ada. Tiada lagi manusia yang hidup di daratan. Kesemua yang ada hidup di dalam kapal besar yang dinamakan Bokor ini.

Kapal besar ini mempunyai kasta kehidupan. Ada manusia yang tinggal di Aras Lantai, Aras Tengah dan Aras Atas. Aras tengah adalah kelompok manusia yang dikuarantin kerana penyakit yang mereka hadapi atau warisi semenjak bumi menjadi beracun. Mereka dibahagikan pula kepada tiga sektior - biru, hijau dan kuning. Masyarakat Sektor Biru bertindak sebagai pemburu di laut yang membekalkan hidupan laut atau sumber protein buat penghuni kapal. Penghuni Sektor Hijau menjalankan aktiviti penternakan manakala penghuni Sektor Kuning adalah mereka yang menjaga jentera kapal ini. Aras Tengah adalah aras untuk memulihkan manusia sakit daripada mana-mana tiga sektor ini sebelum boleh dibawa ke Aras Atas. Hanya mereka yang terpilih sahaja dapat dibawa naik.

Buku bahagian pertama ini memberikan tumpuan kepada masyarakat di Sektor biru terutamanya keluarga Vuk, seorang pemburu yang handal walaupun telah kehilangan sebelah tangan dan buta sebelah mata. Beliau mempunyai seorang anak lelaki, Aria dalam lingkungan 15 tahun dan Ana, 5 tahun. Ana agak rentan keadaan kesihatannya. Berkudis, gatal serata badan, mmepunyai tulang yang lembut sehingga tidak mampu untuk berdiri sendiri tanpa perlu berpaut kepada sesiapa.

Vuk yang telah kematian isteri tidak berapa menghiraukan kedua anaknya itu. Dalam beberapa peristiwa, penulis memperlihatkan layanan buruk Vuk kepada anak-anaknya. Perbuatan Vuk itu juga telah dimaklumi oleh para jiran.

Aria pula, walaupun merupakan anak seorang yang disanjung di sektornya, tidaklah kelihatan gah di kalangan rakan pemburu yang lain. Aria digambarkan sering menajdi mangsa bulian Koba (anak Chif Biru) dan rakannya Maru, si kaki bodek.

Masyarakat di sini mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat. Mereka yang membuat kesalahan akan dipenalti dengan penalti yang paling berat adalah dihapuskan terus.

Vuk dan rakan-rakan pemburunya telah berjaya menangkap ikan paus, haiwan yang kali terakhir ditangkap adalah 10 tahun yang lalu. Bukanlah mudah untuk menangkap seekor paus kerana para pemburu terpaksa bertarung dengan jerung untuk mendapatkannya. Mengikut peraturan Bokor, para pemburu ini boleh mendapat sebahagian besar atau 2/3 hasil tangkapan ikan paus. Kekecohan timbul apabila bahagian mereka tiba-tiba dikurangkan.

Satu hari, Vuk secara sembunyi telah mmebawa pulang bekalan makanan yang berupa ikan mentah dan disembunyikan dirumahnya. Perbuatan berkenaan adalah merupakan satu kesalahan besar. Aria yang mempunyai kesetiaan terhadap Bokor telah melaporkan hal tersebut kepada pihak atasan yang menyebabkan askar memburu bapanya. Vuk telah menghilangkan diri!

Bokor ini adalah nama untuk kapal berkenaan. Tetapi ia seperti dianggap sebagai dewa ataupun tuhan. Tuan Yang Suci, gelaran untuk hierarki tertinggi di dalam kapal ini dikatakan boleh mendapat ilham secara terus daripada Bokor. Sementara itu kelompok manusia yang tinggal di Aras Atas digelar manusia suci. Suci dalam konteks ini bermaksud bahawa darah mereka ini tidak berpenyakit tidak seperti mereka yang berada di Aras Lantai. Masyarakat di bawah ini amat menyanjungi para manusia suci yang dikatakan sanggup berkorban diri dengan tinggal di bahagian atas kapal yang dikatakan lebih mudah terdedah dengan penyakit memandangkan dinding bahagian mereka yang paling nipis serta lebih terdedah kepada udara yang kotor termasuk serangan mugor. Tugas mempertahankan kapal terletak di bahu mereka yang tinggal di Aras Atas. Kerana itu penghuni Aras Lantai amat menghargai pengorbanan mereka.

Kerana masalah tertentu di Bokor, kepimpinan kapal serta para ketua sektor telah bersetuju untuk melakukan dokking. Dokking adalah aktiviti mengambil air daripada saluran bawah tanah berhampiran daratan yang turut menawarkan satu tempat buat wakil setiap sektor. Para dokker ini akan keluar dalam masa yang lama untuk melakukan aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu Vuk telah ditemukan mati di dalam mesin pengisar ikan Sektor Biru. Ada yang mengatakan Vuk tertekan kerana kesalahan mencuri yang dihadapinya. Tidak kurang yang mengatakan Vuk dibunuh berdasarkan keadaan mayat yang meragukan. Persoalan timbul tentang siapa pembunuh Vuk. Aria turut dipersalahkan kerana beliaulah yang melaporkan hal kecurian yang dilakukan Vuk. Akibatnya Ana mula menjauhi Aria sekaligus membangkitkan kesesalan dalam dirinya.

Vuk sepatutnya menjadi dokker mewakili sektor biru. Dengan kematian Vuk, Chif Biru telah membuat satu keputusan mengejut dengan memilih Aria. Pemilihan Aria menimbulkan banyak rasa tidak puas hati terutamanya daripada Koba yang turut menyimpan hasrat untuk mmenjadi seorang dokker. Aria yang pada mulanya menolak, memikirkan semula tawaran berkenaan mengenangkan faedah ubat-ubatan dan makanan yang akan diperlehi oleh adiknya Ana.

Aria akan mewakili Sektor Biru sebagai dokker!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...