Rabu, 18 Mei 2022

KAPAL TERAKHIR DI DUNIA : EPISOD III - Teme Abdullah


 

Hampir separuh daripada permulaan installasi ketiga siri novel ini diperuntukkan bagi memberikan jawapan terhadap segala persoalan yang timbul di minda pembaca sewaktu membaca episod I dan episod II. Jawapan ini diberikan dengan menggunakan teknik penceritaan secara imbas kembali dari sudut pandangan watak-watak lain terhadap peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku di dalam kedua-dua episod berkenaan. Pembaca akan mengetahui siapa sebenarnya Vuk, kenapa beliau kelihatan seperti tidak menghiraukan anaknya, apa sebenarnya muslihat para manusia suci terhadap manusia di Aras Lantai, kenapa Doha wakil Sektor Kuning tiba-tiba memberontak sewaktu dokking dan sebagainya. Sebagai pembaca, hamba amat berpuas hati dengan cara atau teknik penulis menghuraikan persoalan yang berlegar di minda pembaca ini. Ia nampak kreatif, pemahaman yang jelas serta tidak membosankan walaupun beliau mengulang semula beberapa peristiwa yang sama.

Dalam installasi ketiga ini juga pembaca akan mengenali dan mengetahui tentang Pakatan Matahari serta kegiatan mereka untuk menjatuhkan para manusia suci. Beberapa penghuni dari Aras Lantai sudah mengetahui akan hakikat sebenar bahawa bumi telahpun pulih dan mereka selama ini ditipu hidup-hidup oleh manusia suci. Mereka mula mengatur langkah untuk melakukan 'rampasan kuasa'. Di sini pembaca akan terkesima apabila melihat beberapa watak yang kelihatan antagonis dalam dua installasi terawal, rupanya adalah tonggak penting Pakatan Matahari. Begitu juga ada juga yang kelihatan baik pada mulanya, rupanya adalah pengkhianat kepada sebuah perjuangan. Watak Niha yang dilihat seperti orang tidak waras sebelum ini telah disingkapkan akan hakikat sebenar kejadian yang telah menimpa diri beliau.

Aria pula menghadapi kekacauan jiwa. Semakin banyak yang beliau ketahui tentang kehidupan manusia Aras Atas, semakin beliau sedar bahawa manusia seperti beliau di Aras Lantai hanya digunakan sebagai alat untuk kemudahan manusia suci ini sahaja. Bahkan lebih hina apabila manusia di Aras Lantai hanya dianggap dan dpanggil dengan panggilan kambing sahaja.

Kemuncak kemarahan Aria adalah apabila dibawa ke bilik rahsia Tuan Yang Suci dan diperlihatkan dengan tubuh ayahnya yang telah diawet dan dijadikan koleksi khas Tuan Yang Suci. Tuan Yang Suci telah dibunuh Aria di hadapan Waris Pertama dan Waris Kedua. Aria seterusnya telah ditahan.

Hamba pada mulanya menjangkakan akan berlaku peristiwa yang lebih menarik melibatkan Aria sehingga membawa kepada pengggulingan kumpulan manusia suci ini. Tetapi itu tidak berlaku. Novel ini kemudiannya dibawa ke 6 tahun mendatang di mana keadaan masih lagi sama di mana penghuni di Aras Lantai masih lagi tidak mengetahui hakikat keadaan bumi yang sebenarnya. Namun watak Ana telah ditampilkan sebagai gadis dewasa yang sihat dan layak untuk menjadi seorang pemburu. Beberapa bayangan diberikan oleh penulis menggambarkan bahawa Pakatan Matahari masih lagi hidup dan sedang berusaha untuk bangkit dengan beberapa usaha dilakukan bagi memulihkan kembali ingatan manusia yang berasal dari Aras Lantai tetapi kini berada di Aras Atas. Sebuah catatan yang ditulis Aria menggunakan darah pada sebuah buku pula telah berada di Sektor Kuning menjadikan Chif Kuning mula berfikir tentang sesuatu.

Kisah ini tidak berakhir dengan happily ever after. Persoalan baharu pula yang ditimbulkan oleh penulis dan tiada jawapannya. Tidak jelas sama ada akan ada installasi keempat. Yang penting - hamba benci dengan cerita tergantung sebegini!
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...