Isnin, 9 Mei 2022

PERJUDIAN - S. Othman Kelantan

 


Karya-karya para Sasterawan Negara banyak yang berkisar mengenai kehidupan rakyat dan kesusahan mereka. Kehidupan mereka digambarkan dengan begitu berkesan sehingga para pembaca dapat merasai akan keperitan yang dilalui oleh watak-watak di dalam penceritaan. Selain itu ia juga memberikan gambaran akan keadaan yang dilalui oleh masyarakat pada masa lalu yang mungkin tidak berapa sama dengan keadaan hidup pada hari ini. Karya-karya Datuk A. Samad Said misalnya banyak yang menggambarkan keperitan hidup semasa dan selepas pendudukan Jepun. Ia bukan sekadar penceritaan bahkan merupakan pengalaman yang pernah beliau sendiri lalui secara lansung. Penceritaan ini membolehkan masyarakat yang hari ini hidup dalam aman dan damai mengetahui bahawa pada satu ketika dahulu, rakyat negera ini pernah mengalami satu pengalaman yang amat memeritkan.

Beberapa karya S. Othman Kelantan menggunakan latar tempat negeri kelahiran beliau sendiri sebagai lokasi penceritaan. Dalam karya ini beliau menggambarkan tentang perjuangan seorang rakyat biasa yang diwakili oleh Pak Mat dan keluarganya untuk hidup dengan meneroka hutan. Hutan-hutan diteroka, dibersihkan dan dimajukan dengan aktiviti perladangan. Hutan ini diteroka secara haram tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa. Pak Mat hanya mengikuti langkah sahabatnya Daud dan merasakan perbuatannya meneroka hutan itu tidak akan mendatangkan masalah apa-apa kepadanya.

Perjuangan Pak Mat tidaklah mudah. Anak dan isteri beliau mati ketika Pak Mat masih lagi gigih berusaha mengerjakan tanahnya. Keduanya mati akibat dipatuk ular catraya. Pak Mat akhirnya tinggal berdua dengan anak gadisnya, Siti Sarah.

Masalah mula timbul apabila kerajaan mengeluarkan notis perpindahan kepada kesemua peneroka tanah berkenaan. Pak Mat menjadi gusar. Wakil rakyat yang pada mulanya dilihat boleh menjadi tempat bergantung para peneroka ini akhirnya membiarkan saja mereka terkapai-kapai. Pak Mat sendiri telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap apabila melakukan demonstrasi di hadapan Dewan Undangan Negeri.

Pak Mat hanyalah orang biasa yang lemah, tidak mempunyai kuasa dan tidak dipedulikan sesiapa. Novel ini memberikan pengajaran sinis secara tidak lansung. Orang yang mempunyai kuasa amat mengharapka sokongan rakyat apabila tiba musim pilihanraya. Namun apabila rakyat memerlukan mereka pula, wakil rakyat ini hanya pandai bermain muka dan membelitkan kata-kata sebelum akhirnya meninggalkan orang yang pernah memberikan undi kepadanya.

Orang-orang yang lemah seperti Pak Mat masih ada pada hari ini. Situasinya mungkin berbeza tetapi penderitaannya tetap sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...