Isnin, 16 Mei 2022

WIRA KERA - KEMBARA KE UTARA - Hafiz Ismail


Dekat setahun hamba menunggu sambungan komik ini. Hamba tidak tahu adakah lambatnya keluar sambungan komik ini sebahagian daripada strategi pemasaran Komik-M? Hal ini juga berlaku terhadap satu lagi komik yang hamba agak muak menunggu sambungannya - Silat Boy karya Ben Wong. Sepatutnya dua atau tiga bulan sekali dah boleh keluarkan siri yang baharu. Satu tahun itu terlalu lama brader. Nak lupa pula dengan kisah pada siri yang pertama.

Kara dan Omar telah memulakan pengembaraan mereka ke Pulau Langkasuri. Omar begitu bersabar dengan perangai Kara. Kara seperti lansung tidak membantu Omar terutamanya dalam hal mencari makanan. Dalam perjalanan mereka telah sampai ke sebuah kampung. Anak dara kepada Orang Kaya Nadim telahpun diculik oleh sekumpulan orang jahat. Orang Kaya Nadim telah mengeluarkan tawaran, barangsiapa yang berjaya menyelamatkan anaknya akan dikahwinkan dengan puterinya itu.

Ternyata tawaran tersebut telah mendapat sambutan. Penjahat yang telah menculik anak Orang Kaya berkenaan adalah merupakan orang jadian. Yang cuba menyelamatkan juga adalah manusia jadian. Jadi berlakulah pertempuran sesama makhluk jadian ini. Seperti yang boleh dijangka, tiada makhluk yang berjaya menewaskan makhluk penculik yang menyerupai kerbau ini. Perlu hero juga masuk campur. Tak perlu dikisahkan dengan panjang lebar, hero ataupun si Kara akhirnya menang. Si Kara inipun bukanlah makhluk yang cerdik. Beliau ingatkan bahawa 'kahwin' itu adalah ganjaran berbentuk harta, maka diminta Orang Kaya itu segera memberikannya 'kahwin'!

Sementara itu Omar yang ditinggalkan Kara menyangkakan Kara tidak lagi mahu bersamanya. Lantas Omar meneruskan pengembaraan secara sendirian. Di pertengahan jalan Omar pula bertemu sekumpulan orang jahat. Orang-orang jahat ini juga boleh bertukar kepada makhluk lain. Letih juga hidup dalam zaman ini ya, semuanya makhluk dua alam! Omar bernasib baik kerana beliau dibantu oleh seorang pemuda gemuk yang boleh berubah kepada panda! Jikalau kita mengikuti perjalanan Journey To The East, watak panda ini tiada. Yang ada hanyalah watak babi. Jadi nak menonjolkan babi di kisah yang berlaku di alam Melayu ini tidaklah manis, maka ditukar oleh pelukis kepada panda. Logiknya manusia di alam Melayu lansung tidak mengenali haiwan Panda yang hidup di negara China. Suhu untuk panda hidup memang tak sesuai dengan cuaca di Tanah Melayu. Orang Melayu memang tak kenal dengan panda. Tetapi memandangkan ini hanyalah sebuah cerita karut, maka pembaca pandai-pandailah sendiri untuk mencernakan maklumat ini.

Tatkala abang panda hampir tewas, maka Kara muncul dan menyapu habis semua penjahat. Tak payahlah hamba nak tulis panjang-panjang tentang kisah perlawana mereka kan. Installasi kedua ini memang hanya banyak babak pertempuran. Perlawanan Kara bersama para crook ini telah mencetuskan permusuhan dengan satu pihak yang hanya akan dapat kita baca mungkin setahun lagi. Jadi pengembaraan Omar dan Kara akan diteruskan dengan kali ini abang panda dah masuk geng. Jumpalah setahun lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...