Selasa, 28 Jun 2022

NABILA - Alifah Jali


 

Nabila, seorang anak kecil berusia 12 tahun. Dia bijak dan cerdik. Dia pandai memasak seperti ibunya. Nabila bercita-cita untuk menjadi seorang tukang masak. Dia sentiasa berfikir, mengapa perlu dia ke sekolah untuk belajar jikalau dia hanya mahu menjadi seorang tukang masak. 

Nabila juga tidak meminati sains kerana merasakan ia satu matapelajaran yang susah. Dia juga tidak minat dengan aktiviti sukan kerana merasakan badannya yang gempal tidak sesuai untuk melakukan aktiviti tersebut. Namun akhirnya Nabila sedar akan kepentingan persekolahan, dia ada bakat dalam sukan dan dia mula meminati sains, lebih-lebih lagi apabila sains boleh dikaitkan dengan hobinya memasak.

Buku ini diselang selikan dengan lakaran dan ilustrasi yang cantik serta sedap mata memandang. Tidak ketinggalan beberapa resepi adik Nabila yang ditulis dengan cara yang amat menghiburkan. Ehh anda boleh mencuba resepi masakan yang adik Nabila tuliskan tau! Dapatkan Nabila untuk menghasilkan masakan menarik buat keluarga anda! Hubungi nombor 017-3952676.


RANTAU 1 MUARA - A. Fuadi


 

Ini adalah bahagian akhir daripada trilogi Negeri 5 Menara. Negeri 5 Menara dan bahagian keduanya, Ranah 3 Warna ada diterbitkan dalam edisi bahasa Melayu. Hamba menunggu-nunggu Rantau 1 Muara ada dijual di Malaysia, namun ia tidak menjadi kenyataan. Ranah 3 Warna hamba membacanya pada tahun 2013, tahun yang sama Rantau 1 Muara diterbitkan. Hanya pada tahun ini sahaja hamba berpeluang membacanya. Itupun dalam bahasa Indonesia dan bentuk e-book. Bermakna telah 9 tahun berlalu hingga hamba hampir terlupa isi kandungan novel sebelumnya. Apabila membaca dalam bahasa Indonesia, hamba perlu rajin sedikit untuk menyemak erti beberapa perkataan menggunakan kamus. Mujurlah kekerapan membaca novel tulisan Tere Liye berjaya meminimumkan semakan ini apabila terdapat beberapa perkataan yang sering ditemui lewat bacaan tulisan penulis tersebut.

Latar masa novel ini bermula ketika dunia dilanda krisis ekonomi yang disebabkan oleh penyangak matawang. Hamba amat mengingati akan waktu berkenaan kerana di saat itu juga hamba telahpun bergraduasi dan begitu susah untuk mendapatkan pekerjaan. Begitu jugalah halnya dengan watak utamanya, Alif Fikri yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan walaupun mempunyai kelulusan yang mencukupi. Tika ini juga Indonesia berhadapan dengan krisis kepimpinan serta kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan rejim Pak Harto. Jika kita patah semula ke waktu ini hamba yakin bahawa rakyat Malaysia juga berhadapan dengan perkara yang hampir sama melibatkan dua orang pemimpin - Mahathir dan Anwar!

Alif akhirnya berjaya menjadi seorang wartawan di majalah Derap, sebuah majalah yang dikira agresif, non partisan serta hanya berpegang kepada berita yang benar dan sahih. Dalam bab-bab berkenaan kerjaya Alif sebagai seorang wartawan, pembaca akan dihidangkan dengan liku-liku serta pahit maung mereka yang bertugas di dalam aliran ini. Disiplin mereka berbeza dengan pekerjaan yang lain. Di sini tiada beza daripada segi layanan dan keistimewaan, termasuklah ketua mereka sendiri yang akan sama beratur ketika mengambil makanan. Di Derap jugalah kemudiannya yang akan mempertemukan Alif dan Dinara yang lama kemudiannya akan bersatu dalam ikatan pernikahan.

Alif berhasil mendapat biasiswa Fulbright dan berpeluang belajar di Amerika. Tinggal di luar negara, pembaca akan dipaparkan tentang semangat kekitaan dan saling menjaga sesama anak bangsa. Alif berkenalan dengan beberapa individu asal Indonesia di Amerika yang kemudiannya akan menjadi teman rapat yang dianggap seperti keluarga terutamanya watak Mas Garuda. 

Ketika inilah Alif membuat keputusan untuk melamar Dinara. Tugas seterusnya untuk menambat hati bapa Dinara akan memperlihatkan kita kecerdikan dan kepintaran Alif untuk menawan hati bakal bapa mertuanya dan seterusnya memberikan persetujuan akan lamaran beliau.

Pelayaran hidup antara Alif dan Dinara di Amerika adalah antara bahagian penting dalam novel ini. Sambil belajar mereka bekerja. Hinggalah akhirnya mereka berdua berjaya mendapatkan pekerjaan di sebuah agensi berita ternama di sana. Ketika di sana mereka menyaksikan tragedi 9/11 bahkan berkeliaran di merata klinik dan rumah sakit bagi mencari Mas Garuda yang hilang sejak detik itu. Mas Garuda tidak lagi ditemui selepas itu!

Mempunyai pekerjaan yang baik serta pendapatan yang lumayan membuatkan Alif tidak terfikir untuk pulang ke Indonesia buat selamanya. Berbanding dnegan Dinara, beliau sudah mula mahu menamatkan perjalanan mereka di Indonesia. Di sinilah timbulnya dilema. Perbincangan, pertengkaran, perbahasan berlaku tentang isu mahu pulang atau kekal ini. Akhirnya satu keputusan diambil - mereka akan pulang. Tidak semudah itu apabila tiba-tiba datang pula tawaran baharu daripada agensi berita British yang akan memberikan mereka tawaran pekerjaan yang lebih lumayan. Akhirnya keputusan yang jitu dibuat, mereka tetap akan pulang.

Satu pintu tertutup dan satu lagi pintu terbuka. Mereka mendapat perkhabaran rezeki yang tidak disangka-sangka. Apa dia? anda perlu membacanya sendiri.

Sama seperti dua buku yang sebelum ini, perjalanan hidup Alif banyak dipengaruhi oleh pepatah Arab yang dipelajarinya di Pondok Madani seperti  man jadda wajada, man shabira dzafira, man sara 'ala darbi washala, man yazra' yahsud  dan lain-lain. Kesemua pepatah ini adalah motivasi dalam kehidupan manusia untuk memberikan semangat kepada mereka untuk mencapai kejayaan. 

Lega rasanya dapat membaca kesudahan trilogi ini walaupun mengambil masa yang bertahun-tahun lamanya. Betullah kata pepatah itu - man sara 'ala darbi washala!!!!


Ahad, 26 Jun 2022

UNBOX - Ariff Adly


 

Hamba membaca UNBOX edisi  kulit keras PBAKL 2022,

Seperti mana  kebanyakan buku terbita FIXI yang lain, buku ini juga diletakkan label 'untuk pembaca matang' di hujung atas sebelah kanan muka kulitnya. Ini kerana terdapatnya bahasa carutan di banyak tempat. Label sebegini mungkin kurang tepat. Hamba percaya bahawa kebanyakan pembaca adalah matang belaka. Yang tidak matang sebenarnya adalah penulis yang menggunakan bahasa kesat di dalam penulisannya dengan berleluasa. Penulis sebeginilah yang belum mencapai tahap mumaiyiz. Mumaiyiz bermakna orang yang telah boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Maka jika seseorang tidak tahu apa yang baik dan yang buruk dalam tulisannya, maka dia belumlah lagi matang. Hamba menerima bahawa dalam kehidupan dunia realiti, manusia terkadang mencarut di dalam perbualan hariannya. Ada kalanya ia telah mencapai tahap 'zikir seharian' yang membasahi lidahnya. Sesiapapun yang menjadi penulis seharusnya ingat, apa yang kita tulis akan kekal sampai bila-bila selagi naskhah cetakannya masih ada di muka bumi. Ia akan dibaca oleh satu jumlah manusia yang kita sendiri tidak tahu bilangannya. Apa yang kita hidangkan boleh mempengaruhi pemikiran manusia secara bawah sedar. Apabila dalam sesuatu naskhah, carutan yang sama diulang berkali-kali, ia akan tertanam di dalam minda pembaca. Beliau memang tidak akan menggunakannya, tetapi pada suatu masa dan keadaan yang tidak dijangka, carutan hasil asuhan sang penulis mungkin akan keluar juga. Sang penulis mungkin tidak setuju dengan hamba. Tak apalah, kita ambil yang mudah sahaja - rasanya ada pahala tidak apabila kita menuliskan carutan sebegitu? Hidup kita ini nak kumpulkan apa, pahala atau sebaliknya? Tepuk dada tanyalah iman!

Istilah unbox ini amat kerap digunakan dalam dekad ini. Terutama sejak manusia mulai pandai membeli belah di atas talian dan mempunyai keinginan untuk menunjuk apa yang mereka beli kepada orang ramai. Dari segi pemilihan tajuk, penulis telah berjaya menarik minat ramai. Perkataan Unbox digandingkan dengan lukisan wajah manusia yang seolah dikelar-kelar dengan objek yang tajam akan membuatkan pembaca tertanya-tanya tentang isi kandungannya. Hamba pada mulanya menyangkakan ia adalah sebuah kisah misteri penyiasatan. Ternyata Unbox lebih kepada sebuah kisah seram.

Adam telah membeli sebuah kotak misteri daripada sebuah laman gelap (dark web) dan mengajak rakan-rakan beliau Sid, Iqbal, Nadia dan Dira untuk sama-sama melihat acara buka kotak ini. Kotak ini dibeli tanpa mengetahui apa isi kandungannya. Ia dilakukan kerana ingin merasai sesuatu yang menerujakan sekiranya terjumpa barang-barang yang pelik dan misteri. Kotak berkenaan mengandungi beberapa barangan yang tidak dapat dihuraikan kepelikannya oleh mereka yang terdiri daripada sebuah anak patung seperti patung vodoo beserta paku dan sebuah rangkaikata dalam basa Inggeris, syiling lama yang juga diiringi dengan sehelai kertas mengandungi rangkaikata yang menimbulkan tanda tanya, serta beberapa barangan lain yang kelihatan seperti tulang atau gigi, kepingan syiling lama yang terukir star of David dan sebagainya.

Semenjak penemuan barangan di dalam kotak berkenaan, kesemua mereka mulai mengalami pengalam,an yang menakutkan. Ini kerana sifat ingin tahu (kejahilan) terhadap barangan berkenaan. Maka ada yang mencuba guna patung vodoo serta syiling berkenaan, bagi melihat adakah ianya boleh mencapai hajat penggunanya. Walaupun hajat penggunanya tercapai, tetapi nyata harga yang perlu dibayar oleh mereka amatlah tinggi - kesemua mereka dikejar oleh maut! 

Apabila satu demi satu masalah muncul, maka kesemua mereka berpakat untuk mencari penyelesaian. Namun tidak ada satu penyelesaian pun untuk mencari perawat Islam bagi membantu. Mereka hanya berusaha mencari penyelesaian dengan membuat research  di laman-laman web.

Kesemua watak remaja yang ditampilkan mengamalkan hidup yang bebas. Mereka boleh berkunjung ke rumah lelaki atau perempuan dengan bebas lampas. Mereka minum minuman keras, menghisap ganja, ada yang berzina dan pastinya tak bersolat. Hanya apabila kedaan semakin mencengkam, adalah satu dua watak yang mula mengenali semula tikar sembahyang. Walaupun watak-watak ini sekadar sebuah penceritaan, tetapi gaya hidup sebegini lebih menakutkan hamba berbanding elemen seram di dalam buku ini. 

Walaupun elemen seram di dalam Unbox tidaklah begitu seram buat hamba, tetapi dari sudut plot dan penceritaan, ia agak teratur dan mudah difahami. Kisah sebegini sememangnya sukar untuk dicatatkan di atas kertas, tetapi mungkin nampak impaknya jika ia berbentuk lakonan. Mungkin juga kerana ini hantu urban, bukan hantu kampung seperti dalam buku Tamar Jalis atau Tok Awang Ngah, maka keseramannya tidak begitu mencengkam. Namun hamba percaya ada pembaca yang lebih menyukai rasa seram yang ringan berbanding keseraman yang akan menghalang mereka bangun ke bilik air pada waktu malam.

Mesejnya mudah - tak usahlah cuba-cuba untuk melakukan sesuatu yang mengarut!

 

Ahad, 19 Jun 2022

SagaraS - Tere Liye


 

Setelah beberapa kali tampil dengan spin off  siri ini, akhirnya Tere Liye menyambung kembali kisah petualangan Raib, Seli dan Ali. Dalam siri yang terakhir, Ali telah kehilangan kuasa dunia paralelnya dan pembaca tentunya tertanya-tanya bagaimana beliau akan bertarung nanti. Tere Liye kali ini menampilkan Ali sebagai seorang petarung yang menggunakan sebuah sut khas yang mempunyai kuasa tempur pelbagai klan termasuk trik pemusnah Si Tanpa Mahkota.

Kembara kali ini ternyata lebih keren. Ali yang sejak dahulu cuba membongkar asal usul keluarganya akhirnya telah menemui satu jalan yang akan membawanya ke arah tersebut. Soal keluarga Ali ini sememangnya sejak dahulu menjadi satu misteri kepada para pembaca. Setelah melalui pelbagai siri buku, akhirnya Tere Liye akan membawa kita membongkar rahsia keluarga Ali.

Berdasarkan kotak hitam sebuah kapal yang karam di mana ibu dan bapa Ali dikatakan terkorban sewaktu pelayaran tersebut, Ali menyusun langkah untuk mencari sebuah dunia bernama SagaraS. Namun tidak mudah untuk memasuki gerbang SagaraS. Batozar, seorang petarung ampuh dunia paralel sendiri telah gagal dalam puluhan percubaannya sehingga mendatangkan kecacatan yang kekal pada wajahnya. Selain tidak mudah untuk menemui gerbang ini, mereka yang berhasrat mencarunya terpaksa melalui gelombang besar yang memusnahkan, enam tornado yang mematikan, sotong raksasa dan sebagainya. Namun Ali yang sejak mula dikenali sebagai seorang yang genius telah menggunakan kepandaiannya untuk membolehkan beliau menembusi gerbang SagaraS. Pada awalnya Ali hanya pergi sendirian dan tidak memberitahu rakan-rakan beliau. Tetapi Batozar yang menyedari Ali telah mencuri sesuatu miliknya telah menjangka akan tujuan Ali lantas membawa Rais dan Seli bersama. Justeru mereka berempat akan sama-sama mengharungi cabaran kali ini.

Walaupun berjaya sampai di SagaraS, mereka telah dihalang dan diarahkan pulang oleh 13 kesatria SagaraS. Mereka akhirnya memberikan peluang kepada Ali dan rakan-rakannya andainya mereka dapat mengalahkan lima orang kesatria SagaraS.

Ali mengalami kejutan yang pertama apabila menemui kakek Ban, orang yang mengasuhnya sejak lahir sehingga berusia 9 tahun. Kakek Ban yang sebelum ini telah meninggal dunia memaklumkan perkara itu hanyalah sebnuah muslihat. Kakek ban melayani makan minum mereka sepanjang berada di situ.

Mereka terpaksa bertempur dengan pilihan kesatria SagaraS. Pertarungan dengan para kesatria ini nampak sukar namun Tere Liye sentiasa ada sahaja jalan untuk melepaskan para remaja ini. Pembaca akan didedahkan dengan trik trik perlawanan baharu yang tercetus tanpa disedari seperti Seli yang bisa meminjam kekuatan dirinya dari masa hadapan. Setiap kali selepas selesai perlawanan, kakek Ban akan menghidangkan makanan dan bercerita tentang keluarga Ali. Kakek Ban bercerita secara berperingklat-peringkat. Bermakna untuk mengetahui cerita yang lengkap, para remaja ini berserta Batozar harus memenangi semua pertarungan.

Kejutan datang dalam perlawanan terakhir mereka. Ternyata mereka harus menentang kakek Ban yang merupakan kesatria SagaraS nombor 2. Walaupun kelihatan mustahil untuk mengalahkan kakek ban yang dilihat amat perkasa, tetapi seperti biasa - hero mana boleh kalah!

Ibu Ali ternyata masih hidup dan kisahnya telah diceritakan sepanjang perjalanan buku ini. Ibu Ali adalah kesatria SagaraS nombor 1 atau yang paling kuat antara mereka! Kisah pertemuan ini amat ringkas sekali dan hamba menjangkakan kita terpaksa membacanya di buku yang akan datang!

Di hujung buku ini, Tere Liye memberikan beberapa teaser buku yang akan datang. Nampaknya siri Bumi ini tidak akan berakhir dalam masa yang singkat. Entah berapa tahun lagi harus kita lalui!

MUHAMMAD, RIWAYAT HIDUP BERDASARKAN SUMBER TERAWAL - Martin Lings


 

Hamba mula mengenali nama Martin Lings sewaktu membaca buku tulisan Kristiane Backer yang bertajuk Dari MTV Ke Makkah, Islam Mengilhamkan Hidupku. Melalui buku ini juga hamba mula mengenali beberapa nama tokoh Muslim di United Kingdom yang turut membantu Kristiane Backer di dalam mempelajari agama Islam. Hamba mula mencari maklumat nama-nama yang disebutkan ini melalui carian Google. Jelas Muslim di United Kingdom ini tidak kurang hebatnya.

Buku ini merupakan antara karya besar Martin Lings atau Abu Bakar Sirajuddin yang ditulis berdasarkan beberapa sumber besar. Antaranya ialah Kitab Sirah Ibnu Ishaq, At Tabaqat al Kabir ooeh Ibnu Saad, Kitab Al Maghazi oleh Waqidi, Akhbar Makkah oleh al Azraqi, Tarikh ar Rusul wal Muluk oleh Ibnu Jaror at Tabari, Ar Raudul Unuf oleh As Suhaili serta himpunan kitab-kitab hadith yang muktabar.

Buku ini merupakan terjemahan ke dalam bahasa Melayu daripada naskhah berbahasa Inggeris - Muhammad : His Life Based On The Earliest Sources. Ia telah diterjemahkan dengan baik sekali oleh Farhan Affandi dan Al-Mustaqeem M. Radhi. Membaca naskhah bahasa Melayu ini seolah-olah ianya memang asal ditulis di dalam bahasa ibunda kita dan tidak terasa ia terikat dengan bahasa asalnya. Ini menyebabkan pembacaan hamba terasa lancar dan dapat difahami dengan baik.

Martin Lings telah menulis tentang Nabi Muhammad bermula dari masa sebelum kelahiran Baginda lagi sehinggalah ke akhir hayat baginda. Membacanya membuatkan hamba semakin mengenali baginda, susah payah yang Baginda alami ketika membawa risalah Islam dan sebagainya. Dapat dilihat dalam buku ini bahawa dalam kehidupan baginda terdapatnya para sahabat yang kadangkala tidak bersetuju dengan pandangan atau keputusan Baginda. Ia adalah satu cabaran besar buat Baginda demi memastikan keharmonian wujud di antara para sahabat. Perlu diketahui bahawa bangsa Arab ini memiliki semangat kekeluargaan yang tinggi. Mereka akan mengutamakan keluarga atau puak mereka berbanding yang lain. 

Begitu juga dalam hal ehwal baginda bersama-sama dengan isteri Baginda. Dalam beberapa keadaan, dapat dilihat di antara mereka ada yang mencemburui yang lain. Bahkan ada masanya tindakan mereka itu mendapat teguran daripada Allah melalui wahyu. Melalui hal-hal yang berlaku dalam kalangan sahabat atau para ummahat al mukminin ini, kita dapat mempelajari sifat kepimpinan Nabi yang boleh dicontohi oleh kita setiap masa.

Sebenarnya kita memang telah mempelajari tentang Nabi sejak dari kecil lagi. Namun buku ini memberikan lebih perincian yang akan menambahkan lagi kefahaman kita terhadap apa yang telah berlaku dalam hayat RasululLah. Selepas membaca buku ini kita boleh sahaja melanjutkan dengan membaca Ar Raheeq al Makhtum oleh alMubarakfuri.

Buku ini adalah salah satu bacaan yang wajib dibaca oleh kita demi menambahkan lagi pengetahuan kita tentang Nabi kita sendiri. Semoga Allah memberikan rahmat kepada Sheikh Sirajuddin di atas kitab besar beliau yang amat bermanfaat ini.




Selasa, 7 Jun 2022

BERCAKAP DENGAN JUN (Edisi Kombo) - Hasrul Rizwan


Bercakap Dengan Jun Edisi Kombo ini menggabungkan dua buah buku. Buku yang pertama telah terbit pada tahun 2013 di bawah DuBook Press. Kali ini ia terbit di bawah Buku Fixi yang menggabungkan buku pertama dengan buku kedua. Buku kedua adalah sambungan kepada buku pertama dan ia tidak terbit bersendirian melainkan digabungkan dengan yang pertama. Ini bermakna pembaca akan beruntung kerana mendapat dua buah buku sekaligus atau sebuah penceritaan yang lengkap. Pembaca yang baharu, yang belum pernah membaca naskhah buku pertama, akan dapat menikmati penceritaan lebih baik dan lebih segar.

Buku Pertama

Penulis berkisah mengenai seorang pemuda berusia 26 tahun yang kerjanya menyeluk saku atau mencopet. Penceritaan agak teliti dan perlahan - perlahan yang disengajakan kerana hamba merasakan penulis mahu pembaca dapat menyelami watak utamanya dengan baik. Bagaimana beliau menyeluk, bagaimana beliau memerhatikan mangsanya, modus operandinya, perwatakan mangsanya, keadaan sekelingnya, wajah yang sering ditemunya di atas tren dan lain-lain lagi. Penceritaan ini amat penting dan akan pembaca menyedari akan pentingnya segala perincian ini apabila telah membaca buku yang kedua nanti. 

Bahagian awal buku diperincikan daripada waktu beliau bekerja, perjalanan pulang ke destinasinya di Kuang, singgah di Basmallah Bakery yang memperkenalkan kita dengan watak Naurah, sehinggalah pulang ke rumahnya - sebuah kawasan perumahan tinggal yang jauh daripada manusia yang lain bernama Taman Cekur Manis.

Penulis bercerita tentang sebab musabab kenapa watak utama ini tinggal di sana walaupun hanya beliau seorang sahaja penghuni di kawasan itu. Beliau ditemani oleh seekor anjing yang dinamakan Saigon.

Satu hari seorang gadis telah datang ke Cekur Manis kerana mahu melahirkan anak luar nikahnya bersendirian. Dan beliau telah dibidankan oleh lelaki ini. Keesokan paginya beliau hilang begitu sahaja meninggalkan bayi yang baru dilahirkan. Disinilah bermulanya episod baharu bagi lelaki ini. Perjalanan cerita selepas ini adalah tentang beliau dan anak perempuan yang dinamakan Ranum ini.

Kerana Ranum lelaki ini tidak lagi menyeluk saku. Beliau hidup dengan menanam jagung dan lain-lain tanaman dan menjualnya kepada Pak Senik. Perjalanan ceritanya terus kepada enam tahun sesudah kelahiran Ranum. Digambarkan kedua mereka hidup bahagia walaupun serba kekurangan. Lelaki ini menjaga Ranum dengan baik sekali. Pembaca akan dapat melihat betapa eratnya kedua watak ini dan betapa kasihnya beliau kepada Ranum. Hasrul telah berjaya menghidupkan penceritaan dengan amat berkesan sekali.

Sehinggalah pada suatu hari, bapa Naurah yang melihat siaran berita mengenai kehilangan seorang anak perempuan sewaktu bayi menyedari tarikh lahir Ranum sama seperti tarikh lahir anak yang hilang ini. Bermulalah tragedi yang mahu memisahkan kedua insan ini. Ia adalah penceritaan yang amat memilukan dan amat hidup sekali. 

Lelaki itu akhirnya ditembak!

Dalam buku pertama ini Hasrul lansung tidak menyebut watak utamanya walaupun namanya dinyatakan pada tajuk buku. Watak utamanya dalam buku ini adalah seolah seorang pencerita yang menceritakan kisah hidupnya. Beliau menggunakan kata ganti diri saya.


Buku Kedua

Dalam buku ini nama Jun sudah mula digunakan. Jun juga tidak lagi membahasakan dirinya saya di dalam penceritaan sebaliknya menggunaka 'aku'. Jun masih lagi hidup. Kisahnya bermula setelah belasan tahun beliau ditembak. Jun telahpun bebas dari penjara dan memulakan hidup yang baharu. Sambil itu beliau berusaha mencari Ranum yang kini telahpun dewasa. Penceritaan diselang selikan dengan kehidupan Jun sewaktu dipenjara dan konflik yang berlaku di antara beliau dengan beberapa orang tahanan. Konflik yang berlaku di dalam penjara ini akan berlarutan setelah beliau dibebaskan dan sehingga ke penghujung cerita.

Mengesan keberadaan Ranum yang bekerja di sebuah hotel, Jun turut bekerja di sana tanpa memperkenalkan dirinya kepada Ranum. Beliau mahu melindungi Ranum tanpa sedar.

Buku kedua ini sebenarnya lebih ganas daripada buku yang pertama. Ada adegan pergaduhan, pukul memukul dan pembunuhan. Segalanya digambarkan dengan baik sekali oleh penulis sehingga pembaca dapat menggambarkan segala peristiwa yang berlaku dengan baik sekali.

Beberapa persoalan dalam buku yang pertama dijawab melalui buku kedua ini seperti siapa sebenarnya gadis yang melahirkan Ranum, apa akan jadi dengan tiga permata pemberian Pak Senik dan sebagainya.

Tidak mudah untuk Jun kembali bersatu dengan Ranum. Terlalu banyak tragedi yang berlaku dan terlalu banyak pengorbanan yang harus dilakukan. Watak Jun lebih terserlah sebagai seorang yang kering hatinya dan berusaha untuk mempertahan maruah diri dan anaknya. Andai naskhah kedua ini adalah sebuah filem, nescaya ia terlalu ganas untuk ditonton oleh seorang kanak-kanak.

Sebagai seorang penulis yang telahpun mempunyai beberapa buah buku, Hasrul melakukan babak crossover di dalam naskhah pertama dan kedua. Crossover dilakukan dengan watak daripada novel trilogi Murtad. Dalam buku pertama watak kembar di dalam trilogi berkenaan, Adam dan Akhil, ada sewaktu Jun dan Ranum melintas jalan semasa bersiar-siar di Kuala Lumpur. Dalam buku kedua, salah seorang kembar menawarkan pekerjaan buat Jun di kilang kasut mereka di Kedah. Dalam hujung penceritaan, watak Lan Mudoq, anak buah Adam dan Akhil telah membantu Jun untuk menyelamatkan Ranum dan Naurah. Para pengikut Hasrul Rizwan tentunya dapat menangkap babak crossover ini.

Ini adalah buku yang hamba baca sebaik membelinya di PBAKL 2022. Daripada pulang dengan menaiki komuter dan dua hari berikutnya, hamba memberikan kesungguhan untuk menamatkan pembacaan. Ia adalah karya yang baik. Beberapa penceritaan yang nampak sesuai untuk pembaca dewasa hamba rasakan boleh sahaja ditiadakan. Benar ia menyedapkan penceritaan, tapi sebagai seorang bapa, terasa juga serba salah untuk anak hamba menatapnya nanti.

Sebagai seorang yang bekerjaya menjadi penggali kubur, bakat penulisan Hasrul Rizwan adalah luar biasa!

Khamis, 2 Jun 2022

KENITRA DI PBAKL 2022


 
Pesta Buku Antara Bangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL) akan berlansung mulai esok. 3 Jun sehingga 12 Jun 2022. Sesudah dua tahun pesta buku ini tidak diadakan, ianya tentu menjadi satu acara yang amat dinanti-nnatikan oleh para peminat buku tanah air.

Hamba agak teruja apabila penerbit hamba, Adana Publishing akan menyertai acara besar ini dengan berganding dengan Reruai Raushan Press, nombor 4138 yang berada di Dewan Tun Razak, Hall 4. Selain buku KENITRA, beberapa buku lain terbitan Adana seperti Catatan Camelia Irdina, Jarum Yang Halal, Nabila dan Ujian Kendiri akan turut dijual.

Jangan lupa rembat buku KENITRA ya!!

PANDEMIE - Mie

Pandemik Covid-19 tentunya sesuatu yang mengerikan dalam kehidupan realiti. Dalam tempoh hampir tiga tahun ini pelbagai kesulitan yang telah dihadapi oleh masyarakat dunia. Di negara kita pelbagai cara dan metod yang telah digunakan bagi menanganinya. Ini termasuklah pelbagai SOP yang diaplikasikan oleh kerajaan sehingga kadangkala rakyat merasa begitu terbeban.

Golongan kartunis adalah golongan pemerhati yang tajam. Mereka mengulas sesuatu isu itu melalui lakaran mereka yang kadangkala begitu sini dan tajam. Dalam jenaka mereka ada yang ingin mereka sampaikan. Maksud mereka yang tersirat disampaikan dalam cara yang sampai agar yang ditegur tidak terasa terlalu tertekan atau terkilan. Namun yang pasti masyarakat dapat memahaminya dengan baik.

Sepanjang pandemik berkenaan, kartunis Mie melalui Facebook beliau, hampir setiap hari akan menampilkan kartun-kartun situasi semasa masyarakat menghadapi wabak ini. Jadi pembaca harus tahu bahawa tiap lukisan mungkin dihasilkan pada fasa PKP yang berbeza juga SOP yang berlainan. 

Walaupun hamba mengikuti kartun-kartun ini di Facebook, tetapi masih juga mahu memiliki karya-karya berkenaan yang telahpun diterbitkan di dalam sebuah buku. Hamba berpandangan walaupun sekadar satu lukisan kartun, ia juga adalah satu bentuk rakaman sejarah dan boleh kita gunakan sebagai cue card sekiranya ingin bercerita kepada generasi akan datang nanti.

Tidak rugi menatap karya MIe, lukisannya mantap, pandangannya menyengat, boleh membuatkan sesiapa yang berkenaan merasa sentap!

 

BIBI GILL - Tere Liye

Bibi Gill di mata orang lain mungkin tidak lebih daripada seorang petugas kantin di Akademi Bayangan Tingkat Tinggi (ABTT) yang mengawasi mahasiswa bersarapan. Hakikatnya beliau adalah petarung terhebat dunia paralel. Di ABTT beliau melahirkan para pengintai yang hebat. Watak Bibi Gill yang sebelum ini ditemui di dalam siri Bumi yang menampilkan Raib, Seli dan Ali kini mempunyai spin offnya sendiri. Ini adalah kisah Bibi Gill dan siapa beliau yang sebenarnya.

Buku Bibi Gill ini juga adalah lanjutan daripada buku Si Putih di mana dua watak utamanya iaitu Si Putih dan Pak Tua yang berkerusi roda  turut ditampilkan.

Ini adalah kembara Bibi Gil bersama Pak Tua dan Si Putih yang berusaha mencari ibu naga bagi dijadikan haiwan gandingannya. Menjumpai sebuah portal ke Klan Minor Polaris membolehkan mereka menjejaki naga tersebut. Klan berkenaan pula berada di dalam dunia yang mempunyai siklus malam dan siang yang panjang. Semasa musim siang, mereka hidup dalam keadaan aman damai yang membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun apabila siklus malam datang, mereka berada dalam keadaan bahaya apabila menghadapi gangguan binatang-binatang dari luar penempatan mereka.

Haiwan yang mereka hadapi adalah makhluk ganjil yang bersaiz raksasa termasuk haiwan-haiwa purbakala. Dalam tempoh ini, Bibi Gill dan Pak Tua turut sama mempertahankan penempatan tersebut. Bibi Gill tahu pencariannya terhadap ibu naga hampir sampai ke penghujungnya.

Dalam menghadapi kisah petualang yang hebat ini, Tere Liye secara berselang seli menceritakan secara ringkas tentang Bibi Gill semenjak kecil sehinggalah kepada sebab yang menjadikan dirinya seperti hari ini. Bibi Gill lahir di distrik Malam Dan Misterinya, telah sedia mempunyai kemampuan luar biasa yang membolehkan beliau memanipulasikan ais. Namun kebolehannya itu telah mengakibatkan berlakunya tiga tragedi besar dalam hidupnya.

Terdapat satu makhluk hitam yang telah meragut nyawa insan-insan yang beliau sayangi. Maka bertahun-tahun beliau cuba mengatasi masalah ini. Kembara beliau mencari ibu naga adalah kerana beliau percaya dengan gabungan kekuatan beliau dan ibu naga itu nanti akan membolehkan beliau menewaskan si bayang hitam. 

Namun Bibi Gill tidak sedar musuh yang dicarinya adalah diri beliau sendiri!

Tere Liye turut menampilkan satu bab bonus di akhir buku ini yang membayangkan watak Ily yang telah terkorban sewaktu final festival di Klan Matahari beberapa lama sebelum itu berkemungkinan masih hidup. Sungguh pandai Tere Liye mempromosikan bukunya yang akan datang!

 

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...