Selasa, 7 Jun 2022

BERCAKAP DENGAN JUN (Edisi Kombo) - Hasrul Rizwan


Bercakap Dengan Jun Edisi Kombo ini menggabungkan dua buah buku. Buku yang pertama telah terbit pada tahun 2013 di bawah DuBook Press. Kali ini ia terbit di bawah Buku Fixi yang menggabungkan buku pertama dengan buku kedua. Buku kedua adalah sambungan kepada buku pertama dan ia tidak terbit bersendirian melainkan digabungkan dengan yang pertama. Ini bermakna pembaca akan beruntung kerana mendapat dua buah buku sekaligus atau sebuah penceritaan yang lengkap. Pembaca yang baharu, yang belum pernah membaca naskhah buku pertama, akan dapat menikmati penceritaan lebih baik dan lebih segar.

Buku Pertama

Penulis berkisah mengenai seorang pemuda berusia 26 tahun yang kerjanya menyeluk saku atau mencopet. Penceritaan agak teliti dan perlahan - perlahan yang disengajakan kerana hamba merasakan penulis mahu pembaca dapat menyelami watak utamanya dengan baik. Bagaimana beliau menyeluk, bagaimana beliau memerhatikan mangsanya, modus operandinya, perwatakan mangsanya, keadaan sekelingnya, wajah yang sering ditemunya di atas tren dan lain-lain lagi. Penceritaan ini amat penting dan akan pembaca menyedari akan pentingnya segala perincian ini apabila telah membaca buku yang kedua nanti. 

Bahagian awal buku diperincikan daripada waktu beliau bekerja, perjalanan pulang ke destinasinya di Kuang, singgah di Basmallah Bakery yang memperkenalkan kita dengan watak Naurah, sehinggalah pulang ke rumahnya - sebuah kawasan perumahan tinggal yang jauh daripada manusia yang lain bernama Taman Cekur Manis.

Penulis bercerita tentang sebab musabab kenapa watak utama ini tinggal di sana walaupun hanya beliau seorang sahaja penghuni di kawasan itu. Beliau ditemani oleh seekor anjing yang dinamakan Saigon.

Satu hari seorang gadis telah datang ke Cekur Manis kerana mahu melahirkan anak luar nikahnya bersendirian. Dan beliau telah dibidankan oleh lelaki ini. Keesokan paginya beliau hilang begitu sahaja meninggalkan bayi yang baru dilahirkan. Disinilah bermulanya episod baharu bagi lelaki ini. Perjalanan cerita selepas ini adalah tentang beliau dan anak perempuan yang dinamakan Ranum ini.

Kerana Ranum lelaki ini tidak lagi menyeluk saku. Beliau hidup dengan menanam jagung dan lain-lain tanaman dan menjualnya kepada Pak Senik. Perjalanan ceritanya terus kepada enam tahun sesudah kelahiran Ranum. Digambarkan kedua mereka hidup bahagia walaupun serba kekurangan. Lelaki ini menjaga Ranum dengan baik sekali. Pembaca akan dapat melihat betapa eratnya kedua watak ini dan betapa kasihnya beliau kepada Ranum. Hasrul telah berjaya menghidupkan penceritaan dengan amat berkesan sekali.

Sehinggalah pada suatu hari, bapa Naurah yang melihat siaran berita mengenai kehilangan seorang anak perempuan sewaktu bayi menyedari tarikh lahir Ranum sama seperti tarikh lahir anak yang hilang ini. Bermulalah tragedi yang mahu memisahkan kedua insan ini. Ia adalah penceritaan yang amat memilukan dan amat hidup sekali. 

Lelaki itu akhirnya ditembak!

Dalam buku pertama ini Hasrul lansung tidak menyebut watak utamanya walaupun namanya dinyatakan pada tajuk buku. Watak utamanya dalam buku ini adalah seolah seorang pencerita yang menceritakan kisah hidupnya. Beliau menggunakan kata ganti diri saya.


Buku Kedua

Dalam buku ini nama Jun sudah mula digunakan. Jun juga tidak lagi membahasakan dirinya saya di dalam penceritaan sebaliknya menggunaka 'aku'. Jun masih lagi hidup. Kisahnya bermula setelah belasan tahun beliau ditembak. Jun telahpun bebas dari penjara dan memulakan hidup yang baharu. Sambil itu beliau berusaha mencari Ranum yang kini telahpun dewasa. Penceritaan diselang selikan dengan kehidupan Jun sewaktu dipenjara dan konflik yang berlaku di antara beliau dengan beberapa orang tahanan. Konflik yang berlaku di dalam penjara ini akan berlarutan setelah beliau dibebaskan dan sehingga ke penghujung cerita.

Mengesan keberadaan Ranum yang bekerja di sebuah hotel, Jun turut bekerja di sana tanpa memperkenalkan dirinya kepada Ranum. Beliau mahu melindungi Ranum tanpa sedar.

Buku kedua ini sebenarnya lebih ganas daripada buku yang pertama. Ada adegan pergaduhan, pukul memukul dan pembunuhan. Segalanya digambarkan dengan baik sekali oleh penulis sehingga pembaca dapat menggambarkan segala peristiwa yang berlaku dengan baik sekali.

Beberapa persoalan dalam buku yang pertama dijawab melalui buku kedua ini seperti siapa sebenarnya gadis yang melahirkan Ranum, apa akan jadi dengan tiga permata pemberian Pak Senik dan sebagainya.

Tidak mudah untuk Jun kembali bersatu dengan Ranum. Terlalu banyak tragedi yang berlaku dan terlalu banyak pengorbanan yang harus dilakukan. Watak Jun lebih terserlah sebagai seorang yang kering hatinya dan berusaha untuk mempertahan maruah diri dan anaknya. Andai naskhah kedua ini adalah sebuah filem, nescaya ia terlalu ganas untuk ditonton oleh seorang kanak-kanak.

Sebagai seorang penulis yang telahpun mempunyai beberapa buah buku, Hasrul melakukan babak crossover di dalam naskhah pertama dan kedua. Crossover dilakukan dengan watak daripada novel trilogi Murtad. Dalam buku pertama watak kembar di dalam trilogi berkenaan, Adam dan Akhil, ada sewaktu Jun dan Ranum melintas jalan semasa bersiar-siar di Kuala Lumpur. Dalam buku kedua, salah seorang kembar menawarkan pekerjaan buat Jun di kilang kasut mereka di Kedah. Dalam hujung penceritaan, watak Lan Mudoq, anak buah Adam dan Akhil telah membantu Jun untuk menyelamatkan Ranum dan Naurah. Para pengikut Hasrul Rizwan tentunya dapat menangkap babak crossover ini.

Ini adalah buku yang hamba baca sebaik membelinya di PBAKL 2022. Daripada pulang dengan menaiki komuter dan dua hari berikutnya, hamba memberikan kesungguhan untuk menamatkan pembacaan. Ia adalah karya yang baik. Beberapa penceritaan yang nampak sesuai untuk pembaca dewasa hamba rasakan boleh sahaja ditiadakan. Benar ia menyedapkan penceritaan, tapi sebagai seorang bapa, terasa juga serba salah untuk anak hamba menatapnya nanti.

Sebagai seorang yang bekerjaya menjadi penggali kubur, bakat penulisan Hasrul Rizwan adalah luar biasa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...