Ahad, 19 Jun 2022

MUHAMMAD, RIWAYAT HIDUP BERDASARKAN SUMBER TERAWAL - Martin Lings


 

Hamba mula mengenali nama Martin Lings sewaktu membaca buku tulisan Kristiane Backer yang bertajuk Dari MTV Ke Makkah, Islam Mengilhamkan Hidupku. Melalui buku ini juga hamba mula mengenali beberapa nama tokoh Muslim di United Kingdom yang turut membantu Kristiane Backer di dalam mempelajari agama Islam. Hamba mula mencari maklumat nama-nama yang disebutkan ini melalui carian Google. Jelas Muslim di United Kingdom ini tidak kurang hebatnya.

Buku ini merupakan antara karya besar Martin Lings atau Abu Bakar Sirajuddin yang ditulis berdasarkan beberapa sumber besar. Antaranya ialah Kitab Sirah Ibnu Ishaq, At Tabaqat al Kabir ooeh Ibnu Saad, Kitab Al Maghazi oleh Waqidi, Akhbar Makkah oleh al Azraqi, Tarikh ar Rusul wal Muluk oleh Ibnu Jaror at Tabari, Ar Raudul Unuf oleh As Suhaili serta himpunan kitab-kitab hadith yang muktabar.

Buku ini merupakan terjemahan ke dalam bahasa Melayu daripada naskhah berbahasa Inggeris - Muhammad : His Life Based On The Earliest Sources. Ia telah diterjemahkan dengan baik sekali oleh Farhan Affandi dan Al-Mustaqeem M. Radhi. Membaca naskhah bahasa Melayu ini seolah-olah ianya memang asal ditulis di dalam bahasa ibunda kita dan tidak terasa ia terikat dengan bahasa asalnya. Ini menyebabkan pembacaan hamba terasa lancar dan dapat difahami dengan baik.

Martin Lings telah menulis tentang Nabi Muhammad bermula dari masa sebelum kelahiran Baginda lagi sehinggalah ke akhir hayat baginda. Membacanya membuatkan hamba semakin mengenali baginda, susah payah yang Baginda alami ketika membawa risalah Islam dan sebagainya. Dapat dilihat dalam buku ini bahawa dalam kehidupan baginda terdapatnya para sahabat yang kadangkala tidak bersetuju dengan pandangan atau keputusan Baginda. Ia adalah satu cabaran besar buat Baginda demi memastikan keharmonian wujud di antara para sahabat. Perlu diketahui bahawa bangsa Arab ini memiliki semangat kekeluargaan yang tinggi. Mereka akan mengutamakan keluarga atau puak mereka berbanding yang lain. 

Begitu juga dalam hal ehwal baginda bersama-sama dengan isteri Baginda. Dalam beberapa keadaan, dapat dilihat di antara mereka ada yang mencemburui yang lain. Bahkan ada masanya tindakan mereka itu mendapat teguran daripada Allah melalui wahyu. Melalui hal-hal yang berlaku dalam kalangan sahabat atau para ummahat al mukminin ini, kita dapat mempelajari sifat kepimpinan Nabi yang boleh dicontohi oleh kita setiap masa.

Sebenarnya kita memang telah mempelajari tentang Nabi sejak dari kecil lagi. Namun buku ini memberikan lebih perincian yang akan menambahkan lagi kefahaman kita terhadap apa yang telah berlaku dalam hayat RasululLah. Selepas membaca buku ini kita boleh sahaja melanjutkan dengan membaca Ar Raheeq al Makhtum oleh alMubarakfuri.

Buku ini adalah salah satu bacaan yang wajib dibaca oleh kita demi menambahkan lagi pengetahuan kita tentang Nabi kita sendiri. Semoga Allah memberikan rahmat kepada Sheikh Sirajuddin di atas kitab besar beliau yang amat bermanfaat ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...