Selasa, 28 Jun 2022

RANTAU 1 MUARA - A. Fuadi


 

Ini adalah bahagian akhir daripada trilogi Negeri 5 Menara. Negeri 5 Menara dan bahagian keduanya, Ranah 3 Warna ada diterbitkan dalam edisi bahasa Melayu. Hamba menunggu-nunggu Rantau 1 Muara ada dijual di Malaysia, namun ia tidak menjadi kenyataan. Ranah 3 Warna hamba membacanya pada tahun 2013, tahun yang sama Rantau 1 Muara diterbitkan. Hanya pada tahun ini sahaja hamba berpeluang membacanya. Itupun dalam bahasa Indonesia dan bentuk e-book. Bermakna telah 9 tahun berlalu hingga hamba hampir terlupa isi kandungan novel sebelumnya. Apabila membaca dalam bahasa Indonesia, hamba perlu rajin sedikit untuk menyemak erti beberapa perkataan menggunakan kamus. Mujurlah kekerapan membaca novel tulisan Tere Liye berjaya meminimumkan semakan ini apabila terdapat beberapa perkataan yang sering ditemui lewat bacaan tulisan penulis tersebut.

Latar masa novel ini bermula ketika dunia dilanda krisis ekonomi yang disebabkan oleh penyangak matawang. Hamba amat mengingati akan waktu berkenaan kerana di saat itu juga hamba telahpun bergraduasi dan begitu susah untuk mendapatkan pekerjaan. Begitu jugalah halnya dengan watak utamanya, Alif Fikri yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan walaupun mempunyai kelulusan yang mencukupi. Tika ini juga Indonesia berhadapan dengan krisis kepimpinan serta kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan rejim Pak Harto. Jika kita patah semula ke waktu ini hamba yakin bahawa rakyat Malaysia juga berhadapan dengan perkara yang hampir sama melibatkan dua orang pemimpin - Mahathir dan Anwar!

Alif akhirnya berjaya menjadi seorang wartawan di majalah Derap, sebuah majalah yang dikira agresif, non partisan serta hanya berpegang kepada berita yang benar dan sahih. Dalam bab-bab berkenaan kerjaya Alif sebagai seorang wartawan, pembaca akan dihidangkan dengan liku-liku serta pahit maung mereka yang bertugas di dalam aliran ini. Disiplin mereka berbeza dengan pekerjaan yang lain. Di sini tiada beza daripada segi layanan dan keistimewaan, termasuklah ketua mereka sendiri yang akan sama beratur ketika mengambil makanan. Di Derap jugalah kemudiannya yang akan mempertemukan Alif dan Dinara yang lama kemudiannya akan bersatu dalam ikatan pernikahan.

Alif berhasil mendapat biasiswa Fulbright dan berpeluang belajar di Amerika. Tinggal di luar negara, pembaca akan dipaparkan tentang semangat kekitaan dan saling menjaga sesama anak bangsa. Alif berkenalan dengan beberapa individu asal Indonesia di Amerika yang kemudiannya akan menjadi teman rapat yang dianggap seperti keluarga terutamanya watak Mas Garuda. 

Ketika inilah Alif membuat keputusan untuk melamar Dinara. Tugas seterusnya untuk menambat hati bapa Dinara akan memperlihatkan kita kecerdikan dan kepintaran Alif untuk menawan hati bakal bapa mertuanya dan seterusnya memberikan persetujuan akan lamaran beliau.

Pelayaran hidup antara Alif dan Dinara di Amerika adalah antara bahagian penting dalam novel ini. Sambil belajar mereka bekerja. Hinggalah akhirnya mereka berdua berjaya mendapatkan pekerjaan di sebuah agensi berita ternama di sana. Ketika di sana mereka menyaksikan tragedi 9/11 bahkan berkeliaran di merata klinik dan rumah sakit bagi mencari Mas Garuda yang hilang sejak detik itu. Mas Garuda tidak lagi ditemui selepas itu!

Mempunyai pekerjaan yang baik serta pendapatan yang lumayan membuatkan Alif tidak terfikir untuk pulang ke Indonesia buat selamanya. Berbanding dnegan Dinara, beliau sudah mula mahu menamatkan perjalanan mereka di Indonesia. Di sinilah timbulnya dilema. Perbincangan, pertengkaran, perbahasan berlaku tentang isu mahu pulang atau kekal ini. Akhirnya satu keputusan diambil - mereka akan pulang. Tidak semudah itu apabila tiba-tiba datang pula tawaran baharu daripada agensi berita British yang akan memberikan mereka tawaran pekerjaan yang lebih lumayan. Akhirnya keputusan yang jitu dibuat, mereka tetap akan pulang.

Satu pintu tertutup dan satu lagi pintu terbuka. Mereka mendapat perkhabaran rezeki yang tidak disangka-sangka. Apa dia? anda perlu membacanya sendiri.

Sama seperti dua buku yang sebelum ini, perjalanan hidup Alif banyak dipengaruhi oleh pepatah Arab yang dipelajarinya di Pondok Madani seperti  man jadda wajada, man shabira dzafira, man sara 'ala darbi washala, man yazra' yahsud  dan lain-lain. Kesemua pepatah ini adalah motivasi dalam kehidupan manusia untuk memberikan semangat kepada mereka untuk mencapai kejayaan. 

Lega rasanya dapat membaca kesudahan trilogi ini walaupun mengambil masa yang bertahun-tahun lamanya. Betullah kata pepatah itu - man sara 'ala darbi washala!!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...