Ahad, 26 Jun 2022

UNBOX - Ariff Adly


 

Hamba membaca UNBOX edisi  kulit keras PBAKL 2022,

Seperti mana  kebanyakan buku terbita FIXI yang lain, buku ini juga diletakkan label 'untuk pembaca matang' di hujung atas sebelah kanan muka kulitnya. Ini kerana terdapatnya bahasa carutan di banyak tempat. Label sebegini mungkin kurang tepat. Hamba percaya bahawa kebanyakan pembaca adalah matang belaka. Yang tidak matang sebenarnya adalah penulis yang menggunakan bahasa kesat di dalam penulisannya dengan berleluasa. Penulis sebeginilah yang belum mencapai tahap mumaiyiz. Mumaiyiz bermakna orang yang telah boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Maka jika seseorang tidak tahu apa yang baik dan yang buruk dalam tulisannya, maka dia belumlah lagi matang. Hamba menerima bahawa dalam kehidupan dunia realiti, manusia terkadang mencarut di dalam perbualan hariannya. Ada kalanya ia telah mencapai tahap 'zikir seharian' yang membasahi lidahnya. Sesiapapun yang menjadi penulis seharusnya ingat, apa yang kita tulis akan kekal sampai bila-bila selagi naskhah cetakannya masih ada di muka bumi. Ia akan dibaca oleh satu jumlah manusia yang kita sendiri tidak tahu bilangannya. Apa yang kita hidangkan boleh mempengaruhi pemikiran manusia secara bawah sedar. Apabila dalam sesuatu naskhah, carutan yang sama diulang berkali-kali, ia akan tertanam di dalam minda pembaca. Beliau memang tidak akan menggunakannya, tetapi pada suatu masa dan keadaan yang tidak dijangka, carutan hasil asuhan sang penulis mungkin akan keluar juga. Sang penulis mungkin tidak setuju dengan hamba. Tak apalah, kita ambil yang mudah sahaja - rasanya ada pahala tidak apabila kita menuliskan carutan sebegitu? Hidup kita ini nak kumpulkan apa, pahala atau sebaliknya? Tepuk dada tanyalah iman!

Istilah unbox ini amat kerap digunakan dalam dekad ini. Terutama sejak manusia mulai pandai membeli belah di atas talian dan mempunyai keinginan untuk menunjuk apa yang mereka beli kepada orang ramai. Dari segi pemilihan tajuk, penulis telah berjaya menarik minat ramai. Perkataan Unbox digandingkan dengan lukisan wajah manusia yang seolah dikelar-kelar dengan objek yang tajam akan membuatkan pembaca tertanya-tanya tentang isi kandungannya. Hamba pada mulanya menyangkakan ia adalah sebuah kisah misteri penyiasatan. Ternyata Unbox lebih kepada sebuah kisah seram.

Adam telah membeli sebuah kotak misteri daripada sebuah laman gelap (dark web) dan mengajak rakan-rakan beliau Sid, Iqbal, Nadia dan Dira untuk sama-sama melihat acara buka kotak ini. Kotak ini dibeli tanpa mengetahui apa isi kandungannya. Ia dilakukan kerana ingin merasai sesuatu yang menerujakan sekiranya terjumpa barang-barang yang pelik dan misteri. Kotak berkenaan mengandungi beberapa barangan yang tidak dapat dihuraikan kepelikannya oleh mereka yang terdiri daripada sebuah anak patung seperti patung vodoo beserta paku dan sebuah rangkaikata dalam basa Inggeris, syiling lama yang juga diiringi dengan sehelai kertas mengandungi rangkaikata yang menimbulkan tanda tanya, serta beberapa barangan lain yang kelihatan seperti tulang atau gigi, kepingan syiling lama yang terukir star of David dan sebagainya.

Semenjak penemuan barangan di dalam kotak berkenaan, kesemua mereka mulai mengalami pengalam,an yang menakutkan. Ini kerana sifat ingin tahu (kejahilan) terhadap barangan berkenaan. Maka ada yang mencuba guna patung vodoo serta syiling berkenaan, bagi melihat adakah ianya boleh mencapai hajat penggunanya. Walaupun hajat penggunanya tercapai, tetapi nyata harga yang perlu dibayar oleh mereka amatlah tinggi - kesemua mereka dikejar oleh maut! 

Apabila satu demi satu masalah muncul, maka kesemua mereka berpakat untuk mencari penyelesaian. Namun tidak ada satu penyelesaian pun untuk mencari perawat Islam bagi membantu. Mereka hanya berusaha mencari penyelesaian dengan membuat research  di laman-laman web.

Kesemua watak remaja yang ditampilkan mengamalkan hidup yang bebas. Mereka boleh berkunjung ke rumah lelaki atau perempuan dengan bebas lampas. Mereka minum minuman keras, menghisap ganja, ada yang berzina dan pastinya tak bersolat. Hanya apabila kedaan semakin mencengkam, adalah satu dua watak yang mula mengenali semula tikar sembahyang. Walaupun watak-watak ini sekadar sebuah penceritaan, tetapi gaya hidup sebegini lebih menakutkan hamba berbanding elemen seram di dalam buku ini. 

Walaupun elemen seram di dalam Unbox tidaklah begitu seram buat hamba, tetapi dari sudut plot dan penceritaan, ia agak teratur dan mudah difahami. Kisah sebegini sememangnya sukar untuk dicatatkan di atas kertas, tetapi mungkin nampak impaknya jika ia berbentuk lakonan. Mungkin juga kerana ini hantu urban, bukan hantu kampung seperti dalam buku Tamar Jalis atau Tok Awang Ngah, maka keseramannya tidak begitu mencengkam. Namun hamba percaya ada pembaca yang lebih menyukai rasa seram yang ringan berbanding keseraman yang akan menghalang mereka bangun ke bilik air pada waktu malam.

Mesejnya mudah - tak usahlah cuba-cuba untuk melakukan sesuatu yang mengarut!

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...