Ahad, 17 Julai 2022

AYAH - Andrea Hirata


 

Pada peringkat awal pembacaan novel ini, saya tertanya-tanya kenapa tajuk ayah yang digunakan. Tidak kelihatan watak kukuh seorang ayah yang boleh digunakan dengan tajuk novel. Kecuali watak Amirza, ayah kepada Amiru yang amat suka mendengar radio. Tetapi hamba masih tidak merasakan bahawa watak Amirza merupakan ayah yang dimaksudkan oleh tajuk novel. Kisah yang dipersembahkan hanya berlegar kepada persekitaran kehidupan beberapa orang kanak-kanak di Pulau Belitung. (Satu perkara yang hamba gemari ialah Andrea Hirata dalam novel-novel beliau yang hamba baca setakat ini memfokuskan sekitar Pulau Bangka dan Pulau Belitung sebagai latar tempat yang utama penulisan beliau.)

Tetapi kisah ini sebenarnya mengambil masa yang amat panjang. Dari zaman kanak-kanak yang berada di sekolah rendah (sekolah dasar), memasuki sekolah menengah, remaja hinggalah ke masa dewasa. Akhirnya dapat dilihat bahawa fokus utamanya adalah kepada watak Sabari, seorang anak yang begitu cemerlang dalam pelajaran Bahasa Indonesia. Sabari juga gemar berpuisi sama seperti bapanya yang juga seorang guru Bahasa Indonesia.

Sabari jatuh hati kepada Marlena, gadis yang pada mulanya dikenali sewaktu beliau merampas kertas jawapan Sabari untuk meniru jawapannya. Pembaca akan dihidangkan dengan pelbagai usaha Sabari untuk menarik hati Marlena dari zaman sekolah menengah sehinggalah tamat dan Sabari sanggup bekerja di kilang milik bapa Marlena. Di samping itu kita akan rasa terhibur dengan keletah dua rakan rapat Sabari yang lucu tetapi amat setia dalam persahabatan. Sekali sekala ada bab yang menceritakan tentang watak Amiru yang pada mulanya menimbulkan rasa keliru kepada hamba kerana tidak dapat melihat kaitannya dengan Sabari. Ia hanya terjawab di akhir cerita nanti yang mungkin memeranjatkan pembaca.

Marlena yang cuba dipikat oleh Sabari sebenarnya lansung tidak meminati lelaki tersebut. Marlena seorang gadis yang bebas kehidupan dan gaya pergaulannya. Tetapi apapun yang Marlena lakukan sekali kali tidak mengubah cinta Sabari kepadanya. Sabari akhirnya berjaya menikahi Marlena. Namun sepanjang pernikahan itu cuma empat kali sahaja Marlena tinggal bersamanya. Walau bagaimanapun Allah telah mengurniakan seorang anak lelaki kepada mereka yang mereka gelar Zorro.

Marlena akhirnya meninggalkan Sabari dan memohon untuk berpisah melalui penguasa agama. Zorro dipelihara sendiri oleh Sabari. Episod Sabari memelihara Zorro dengan penuh kasih sayang inilah yang menjawab tentang siapa Ayah yang dimaksudkan oleh tajuk novel ini. Kasih sayang Sabari terhadap Zorro amat agung. Walaupun hidup susah, Sabari menjaga Zorro dengan nyawanya. Hinggalah satu hari Zorro telah dilarikan oleh Marlena. Hidup Sabari mula berubah.

Sabari nyata amat sukar untuk menerima hakikat bahawa Zorro kini tidak lagi bersamanya. Sabari menderita sehingga hidup tidak terurus sebagai gelandangan dan hampir menjadi gila. Tidak mahu membiarkan Sabari menjadi gila, dua sahabat karibnya Ukun dan Tamat berusaha mencari Marlena dan Zorro di serata pelosok Sumatera. Mereka bertekad mahu membawa Zorro pulang demi memastikan Sabari tidak menjadi gila.

Hamba tidak mahu menulis kesudahannya. Anda perlu membaca kisah ini. Andrea Hirata memang pakar membelai dan merusuhkan jiwa pembaca!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...