Isnin, 25 Julai 2022

DI SEBALIK NAMA - Nazir Razak


Buku ini merupakan terjemahan daripada buku What's In a Name. Hamba percaya kebanyakan pembaca lebih terdorong untuk mengetahui tentang kisah 1MDB memandangkan penulis mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas perdana menteri berkenaan.

Tetapi buku ini sebenarnya lebih daripada itu dan kisah 1MDB hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan hidup penulis yang secara tiba-tiba terheret sama dalam hal berkenaan. Tan Sri Nazir Razak adalah bekas CEO dan pengerusi kepada salah sebuah institusi kewangan yang terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu CIMB. Kita barangkali menyangka bahawa kedudukan tinggi yang beliau perolehi adalah kerana kedudukan beliau sebagai anak kepada Tun Razak, bekas perdana menteri Malaysia yang kedua atau juga adik kepada seorang bekas perdana menteri.

Walaupun dilahirkan di atas dulang emas, perjalanan karier beliau tidaklah seindah yang kita bayangkan. Beliau barangkali boleh mendapat keistiewaan sekiranya berkhidmat di sektor kerajaan, tetapi berkhidmat di sektor swasta tidak memungkinkan beliau mendapat sebarang keistimewaan berdasarkan kedudukan beliau. 

Buku ini adalah lebih kepada kisah beliau membina CIMB daripada sebuah bank yang kecil sehingga menjadi seperti sekarang. Sejak daripada mula bertugas, beliau bekerja keras bersama-sama rakan sepasukan untuk memajukan bank berkenaan. Bekerja melebihi masa, terpaksa bertugas pada hari cuti umum mahupun terpaksa mengorbankan percutian yang telah dirancangkan, beliau adalah sama seperti kakitangan yang lain.

Namun sedikit demi sedikit beliau membina karier beliau sehingga berjaya sampai ke puncak. Dalam penceritaan kisah beliau bersama CIMB kita bukan hanya dihidangkan dengan kisah usaha keras, cabaran, rintangan dan pahit maung membina jenama bank berkenaan tetapi juga turut merangkumi kepada pemikiran dan idea beliau dalam memajukan institusi perbankan serta Malaysia itu sendiri.

Beliau sentiasa berfikir tentang nilai-nilai yang telah ditanamkan oleh Tun Razak dan berusaha untuk mengekalkan nilai berkenaan. Kerana itu apabila beliau menyedari ada yang tidak kena dengan 1MDB, beliau mula membuka langkah. Mungkin kita akan terperanjat apabila melihat beliau antara individu yang membongkar penyelewengan dalam skandal terbesar negara di alaf ini. Beliau melakukannya bukannya kerana mahu menjatuhkan atau memalukan abangnya tetapi kerana mahu menjaga nama baik keluarga serta nilai-nilai yang telah ditanamkan ayahandanya. Cuma apa yang dikesalkan ialah beliau yang ketika itu menjawat jawatan Pengerusi CIMB, seolah dipaksa meninggalkan institusi yang beliau sendiri bina kerana terpalit sama dengan isu berkenaan. 

Buku ini agak tebal namun memberikan manfaat bagi mereka yang suka mengkaji akan gaya pemikiran orang-orang yang berjaya khususnya strategi dalam membina empayar perniagaan, perbankan dan pelaburan. Kisah bagaimana CIMB bekerja keras untuk muncul di antara bank terbesar negara amatlah mengujakan. 


Sokong saya sebagai penulis dengan membeli buku ini!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...