Selasa, 16 Ogos 2022

ANDING AYANGAN III, HIKAYAT 1 - Ramlee Awang Murshid


 

Novel ini hamba beli secara pra tempah. Tetapi walaupun memperolehinya awal, hamba seperti tidak bernafsu hendak menyentuhnya. Ia terdapar di dalam bilik hamba beberapa bulan, hinggakan ada beberapa objek lain yang sedikit demi sedikit berada di atasnya hingga menjadikannya tenggelam di atas lantai. Terasa begitu malas hendak membacanya lantara novel yang pertama dan yang kedua sudah terlalu lama dibaca dan semakin pudar dari ingatan.

Walaupun Ramlee menasihatkan pembaca untuk fokus, ternyata setelah hilang dari ingatan memori penceritaan buku pertama dan kedua, memang sukar untuk memberikan perhatian dengan baik. Kadangkala tertanya tanya dari mana dan siapa pula watak ini. Anding Ayangan hamba membacanya pada 2017 dan Anding Ayangan II pula pada 2020. Dan sekarang adalah tahun 2022, manalah hamba nak ingat penceritaan yang lalu. Tambahan pula dalam usia begini. Ramlee tidak menghasilkan siri Anding ini secara berturut-turut. Selepas Anding Ayangan, ia tidak diikuti dengan bahagian kedua, sebaliknya dengan beberapa novel lain. Walaupun ini adalah strategi Ramlee, ia mengganggu rentak pembacaan hamba.

Meneruskan frustasi novel 1 dan novel 2, novel ini juga masing belum menuju ke noktah terakhirnya. Maka para peminat akan terpaksa mengorek lagi poket mereka untuk mengetahui akan kesudahan cerita. Penggunaan bahasa daerah masih lagi dilakukan seperti novel-novel yang lalu. Cuma kali ini sudah tidak ada lagi glosari makna perkataan. Mungkin Ramlee mengharapkan pembaca untuk mencari maknanya dengan membuka semula novel lama atau guna sahaja tuan haji Google. Perkataan bahasa daerah ini umumnya sering digunakan di dalam novel ini seperti kalimah rungkui, pingkul, kidum dan lain-lain. Sekali dua sedap juga membacanya, lama kelamaan menyampahlah pula.

Furqan Ayyubi aka Betatar masih lagi berada di hospitak jiwa bersama Pak Hashim dan mereka akhirnya berjaya melepaskan diri dan berjaya masuk kembali ke dunia dongeng Anding Ayangan. Kemunculan watak Dr. Irfan sebagai pakar sakit jiwa akan membuatkan pembaca tertanya-tanya akan personaliti sebenar beliau. Watak ini kekal misteri sehingga ke akhir novel (satu strategi untuk anda membeli novel akan datang.) Kembali ke dunia Anding, Furqan ayyubi akan berganding dengan Pak Tua aka Saifuddin Jalis aka Laksamanan Sunan bagi menentang Raja Daulah dan mendapatkan kembali kemerdekaan Anding seterusnya menguasai Ayangan.

Masuknya watak Laksamanan Sunan ke dalam Siri Anding Ayangan merupakan satu crossover dalam novel-novel RAM. Saifuddin Jalis telah mengembara 200 tahun ke hadapan, ke sebuah tanah yang jauh dari Acheh seterusnya menambahkan lagi kekarutan dalam cerita.

Sementara itu di dunia nyata, watak Mutajassad, yang dinyatakan sebagai makhluk asing dari planet lain aka alien tetapi boleh masuk ke dalam batang tubuh orang lain, sudah seperti hantu pula lakunya. Seorang yang gilakan kuasa, beliau akan berusaha masuk ke dalam tubuh mana-mana manusia yang mempunyai kuasa. Dia mahu memerintah manusia. Kalau diikutkan, nampaknya Mutajassad ini mempunyai taste yang tinggi untuk berkuasa, tetapi RAM hanya bagi peluang beliau masuk ke dalam jasad-jasad pemimpin kecil bertaraf ADUN sahaja. Ketua Menteri pun tak lepas lagi apatah lagi sampai ke peringkat jawatan Perdana Menteri. Kegilaan Mutajassad telah menyembabkan ramai nyawa terbunuh dalam keadaan yang mengerikan sekaligus mengundang campur tangan pihak polis. Dalam novel ini pengelibatan pihak polis lebih menyerlah berbanding novel-novel Anding sebelumnya.

RAM suruh kita fokus kerana kisah Anding Ayangan bukan hanya berlaku pada masa sekarang, sudahlah masa sekarang, dibahagikan pula kepada dua dimensi yang berbeza. Kisah ini juga mencakupi peristiwa beberapa ratus tahun sebelumnya seolah-olah flashback  atau imbas balik tentang jalur peristiwa yang membawa kepada permasalahan pada hari ini.

Peristiwa masa lalu menceritakan tentang usaha Mutajassad yang tidak pernah jemu mahu menawan Anding. Usaha beliau, walaupun sering menggunakan beberapa jasad orang lain, terus sahaja menemui kegagalan. Usahkan hendak melawan secara berhadapan, hendak melepasi tembok bertampik sahaja beliau tidak mampu. Pengikut beliau yang melepasi garisan had tembok sahaja akan bertukar hancur menjadi debu. Zaman lalu ini juga akan menyorot kisah asal usul kehadiran Laksamana Sunan di bumi Anding yang dibawa bersama oleh Raja Suir Sang Ekong lewat pertempuran mereka di lautan.

Terllau banyak keajaiban di dalam kisah Anding ini. Ada keajaiban yang dikaitkan dengan agama. Contohnya keajaiban tembok bertampik yang diperkayakan dengan bacaan Al-Quran sehingga mampu menahan daripada serangan musuh. Kalau hamba komen lebih-lebih tentunya peminat RAM akan marah. Tentunya akan ada yang menjawab 'tidak mustahil boleh berlaku dengan kuasa Allah!'. Jika kita dok main kuasa Allah tentunya tiada yang mustahil bagi-Nya. Tetapi agama kita bukanlah mempromosikan keajaiban. Dalam banyak hal hamba suka melihat akan sejarah hidup Nabi kita sendiri, para sahabat, khalifah serta pemerintah dan kerajaan Islam selepasnya. Nabi kita dalam perang Uhud mendapat kecederaan yang teruk sekali. Ramai sahabat tumpas. Tidakkah Nabi sebagai orang yang mulia ini berdoa kepada Allah. Sudah tentu Nabi kita juga berdoa tetapi tidaklah bermaksud apabila musuh menyerang maka tiba-tiba mereka terpelanting sendiri kerana melanggar sebuah tembok halimunan. Kerajaan Islam juga banyak yang tewas. Adakah para pemimpin mereka kurang takwanya? Anding ini sebagai sebuah kawasan kecil tetapi pertahanan ghaibnya mak datuk ampuh sekali.

Hamba juga nak menarik perhatian kepada satu para di muka surat 503 yang berbunyi;

Saifudin harus memenuhi janjinya. Walhal dia belum berasa lapar. Tapi elok begitu - makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Seperti amalan Rasulullah SAW.

Perkara yang melibatkan Nabi ini kita jangan buat main. Takut nanti dianggap berdusta ke atas Nabi. Kita lihat pernyataan 'makan sebelum lapar '. Yang hamba tahu ialah makan apabila lapar. Kalau sebelum lapar maknanya kenyang lagi. Hamba percaya RAM mungkin merujuk kepada satu sabda seperti berikut;-

(نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع)

"Kami adalah satu kaum yang tidak makan sehinggalah kami lapar dan apabila kami makan (kami tidak makan) sehingga kenyang"

Hamba merujuk kepada beberapa laman web hadith. Ada yang mengatakan bahawa ini adalah hadith daif dan ada yang mengatakan bahawa ini bukan hadith dan tidak tercatat di dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. WalLahuaalam. Jadi pernyataan RAM di atas melalui novel ini pertamanya adalah tidak selaras dengan matan asal justeru menyalahi untuk mengatakan ia adalah amalan Nabi. Dan yang kedua jika ia selaras dengan matan sekalipun, ia masih tertakluk dengan sahih atau tidaknya ia datang daripada Nabi. Namun, jika kita menerima ia sebagai perkataan yang tidak disandarkan kepada Nabi pula, ia adalah satu nasihat yang baik bertujuan menjaga tubuh badan.

Novel ini bersambung lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...