Khamis, 25 Ogos 2022

BAHASA KENALAN CINTA - Abang Median Sharifah Abdullah


 

Novel ini merupakan cenderamata yang hamba terima daripada Pustaka Miri, Sarawak sewaktu hamba dan team Adana Publishing mengadakan promosi buku-buku kami sempena Program Galakan Membaca yang telah dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN N.73 Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. Perpustakaan Miri adalah agensi kerajaan negeri yang pertama memberikan kami peluang untuk mempromosikan buku-buku terbitan Adana Publishing. YB Datuk Sebastian juga amat mesra dan memberikan sokongan penuh terhadap usaha kami ini.

Bahasa Kenalan Cinta adalah himpunan 13 buah cerpen karangan Abang Median Sharifah Abdullah yang juga merupakan seorang guru. Kesemua cerpen ini lebih menjurus kepada kehidupan remaja dan alam persekolahan. Pelbagai isu yang dibawakan oleh Abang Median seperti kemiskinan, kesusahan hidup, kepercayaan tahyul, autisme dan lain-lain lagi. Beliau banyak berkisah tentang perhubungan antara murid dan guru. Dalam hal ini ada guru yang begitu gigih mengajar serta tabah dalam memberikan perkhidmatan. Agak mengejutkan apabila ada juga kisah-kisah yang memaparkan sikap segelintir guru yang memandang hina akan anak muridnya yang miskin sehingga dipanggil busuk, buaya pun tidak ada selera dengannya dan pelbagai lagi. Ada juga guru yang tidak dapat memahami masalah anak-anak yang mengalami autisme, guru yang hanya mahu mengajar kelas pelajar yang cerdik sahaja dan guru yang tidak menyokong usaha guru yang lain. Hamba percaya segala yang diadun di dalam naskhah ini, walaupun bersifat fiksyen, tidak dapat tidak pastinya hasil daripada pengalaman beliau yang luas sebagai seorang guru.

Kesemua cerpen ini juga berlatarbelakangkan negeri Sarawak dengan watak-wataknya terdiri daripada pelbagai etnik yang ada di sana. Kebanyakan kisahnya berlaku di kawasan pedalaman di mana perhubungan adalah begitu sukar dan guru memainkan peranan yang amat besar untuk menarik anak-anak yang berada di pedalaman ini untuk suka kepada pelajaran. 

Nampaknya buku ini sesuai untuk anak hamba yang bakal menjadi seorang guru - bahkan yang telah lama menjadi guru juga patut membacanya.


Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...