Khamis, 25 Ogos 2022

HARIMAU-HARIMAU - Mochtar Lubis


 

Membaca tulisan Pak Mochtar ini (juga karyanya yang hamba ulas sebelum ini - Senja Di Jakarta), hamba melihat penggunaan Bahasa Melayunya amat mirip dengan penggunaan kita di Malaysia. Pak Mochtar menggunakan bahasa Melayu yang standard, tidak begitu bercampur baur dengan istilah yang hanya digunakan di Indonesia. Berbanding dengan beberapa karya penulis Indonesia hari ini yang apabila hamba baca, hamba terpaksa beberapa kali menggunakan kamus atas talian untuk mencari maknanya. Apapun, kekerapan mencari makna perkataan ini bukanlah satu halangan ataupun kekurangan. Sekurang-kurangnya hamba dapat menambah serba sedikit perbendaharaan kata dalam bahasa berkenaan.

Harimau Harimau adalah kisah tujuh orang lelaki yang masuk ke hutan bagi mencari damar. Tiga orang lelaki berumur dan selebihnya orang muda. Pak Haji adalah seorang lelaki yang pada masa mudanya telah banyak merantau ke negeri orang, justeru amat luas pengalamannya. Wak Katok pula terkenal sebagai seorang lelaki mistik, jaguh persilatan dan lama menuntut ilmu perbomohan. Beliau membawa selaras senapang dan merasakan dirinya pemimpin dalam kumpulan itu. Pak Balam adalah seorang lelaki yang pernah berjuang pada zaman-zaman pemberontakan. Yang lain adalah Buyung, satu-satunya yang masih bujang, Talib, Sanip dan Sutan. Kesemua pemuda ini berusia dalam lingkungan 20an.

Jauhnya tempat mereka mencari hasil hutan dengan kampung mereka adalah selama tujuh hari perjalanan. Di tempat mereka mencari hasil hutan terdapat huma kepunyaan Wak Hitam, juga seorang lelaki mistik yang dianggap oleh Wak Katok sebagai gurunya. Wak Hitam mempunyai sebuah pondok di situ. Di pondok Wak Hitam inilah kesemua lelaki bertujuh ini menumpang tidur.

Wak Hitam dalam hidupnya telah mengahwini banyak perempuan yang kesemuanya perawan sewaktu dinikahi. Dalam setiap waktu beliau akan mengekalkan empat orang isteri. Salah seorang isteri beliau akan dibawa bersamanya ke huma itu setiap kali beliau ke sana. Kali ini beliau membawa isterinya yang paling muda bernama Siti Rubiyah.

Siti Rubiyah adalah godaan besar bagi kesemua tujuh lelaki ini. Ada yang tidak rasa apa-apa dan ada pula yang tergelincir lebih jauh lagi. Walaupun unsur 'dewasa' dalam naskhah ini tidak sebanyak Senja Di Jakarta, tetapi hamba yang membacanyapun terasa malu juga. Tetapi naskhah ini memang hebat jalan penceritaannya. Hamba terasa seperti melihat sebuah filem sedang ditayangkan.

Konflik sebenarnya dan yang terbesarnya adalah sewaktu kesemua mereka ini dalam perjalanan pulang ke kampung. Pak Balam telah diserang oleh harimau sewaktu sedang qadha hajat sehingga mendatangkan kecederaan yang parah di betisnya. Pak Balam merasakan ini semua adalah disebabkan oleh dosa-dosa besar yang pernah beliau lakukan. Pak Balam menceritakan tentang dosa-dosa yang pernah beliau lakukan dan bertaubat. Semasa bercerita tentang dosa beliau itu juga, Pak Balam turut menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh Wak Katok sehingga membuatkan lelaki itu merasa malu. (Pernah timbul niat dalam diri Wak Katok untuk membunuh kesemua mereka yang ada untuk mengelakkan rahsianya daripada terbongkar kepada orang ramai).

Pak Balam mendesak orang lain menceritakan dosa mereka juga dan seterusnya bertaubat. Beliau percaya harimau berkenaan dikirim oleh Tuhan kerana dosa-dosa mereka. Orang lain mula serba salah. Mereka masing-masing ada dosa yang dilakukan. Wak Katok mendesak mereka bercerita akan dosa mereka lantara rahsia dirinya sendiri telah terdedah. Wak Katok bahkan mengancam akan menembak mati mereka yang enggan dengan senapangnya.

Talib kemudiannya mati diserang harimau sewaktu tersisih daripada rombongan kerana membuang air kecil. Sutan juga turut mati kemudiaannya. Pak Balam yang sudah parah dan membusuk lukanya juga akhirnya meninggal dunia. Kini yang tinggal hanyalah Wak Katok, Pak Haji, Buyung dan Sanip. Ketika ini Wak Katok telah menjadi watak hitam. Beliau hanya memikirkan tentang survival dirinya sahaja. Sebenarnya Wak Katok merasa takut akan harimau, namun disembunyikannya. Dia tidak mahu ketokohannya sebagai seorang dukun besar tercalar.

Hingga sampai satu ketika ketegangan melanda menyebabkan Wak Katok menghalau tiga orang yang lain. Walaupun beredar meninggalkan Wak Katok, tetapi ketiganya kemudian kembali secara senyap-senyap bagi menumpaskan Wak Katok. Mereka mahu merampas senapang yang ada padanya kerana mereka tahu tanpa senapang adalah sukar untuk menewaskan harimau.

Dalam operasi ini, walaupun senapang telah berjaya dirampas tetapi mereka membayarnya dengan harga yang tinggi apabila Pak Haji terkorban. Sebelum pergi Pak Haji sempat meninggalkan pesanan agar mereka membunuh harimau yang ada di jiwa mereka terlebih dahulu.

Kini tinggal tiga orang yang tersisa dan bagaimanakah nasib mereka kemudian?



Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...