Rabu, 3 Ogos 2022

MUZIUM MISTERI - KK Ng


 

KK Ng adalah nama baharu buat hamba. Tetapi melihat kepada ringkasan biodata beliau di buku ini menunjukkan bahawa beliau bukanlah pemain baharu dalam dunia komik. Beliau pernah menghasilkan beberapa karya dan ada yang pernah mendapat anugerah di Taiwan. Mungkin disebabkan beliau berkarya dengan menggunakan bahasa cina menyebabkan nama beliau tidak hamba kenali. Sewajarnya beliau memperbanyakkan karya di dalam bahasa Melayu apatah lagi beliau adalah seorang anak Malaysia. Lagipun karya komik ini juga boleh dibuat terjemahan ke dalam bahasa lain tanpa menjejaskan perjalanan cerita asal mahupun lukisannya.

Cerita komik ini mudah dan dapat difahami dengan baik. Mengisahkan seorang profesor bernama Jojo yang mahu mengubah dirinya menjadi jelita selama-lamanya telah dipengaruhi secara minda oleh Medusa untuk mencuri sebuah permata yang boleh mencapai cita-cita tersebut. Satu pameran patung-patung mistos Yunani di sebuah muzium yang turut mempamerkan permata berkenaan telah memulakan episod mendebarkan komik ini.

Medusa hanya mempergunakan Jojo untuk tujuan peribadinya. Patung-patung di muzium menjadi hidup dan menimbulkan huru hara. Terasa idea patung hidup ini seperti filem Night At The Museum pula. Maka huru hara yang berlaku kemudian ini ditangani pula oleh hero kita yang bernama Adi. Lanjutnya tak perlulah hamba ceritakan, sudah tentu hero akan jadi juara.

Gaya persembahan KK Ng sarat dengan gaya manhwa atau gaya komik China dan Hong Kong. Tiada elemen tempatan yang ditampilkan. Di samping komik, buku ini turut menampilkan beberapa fakta ringkas tentang muzium dan jenis-jenisnya, beberapa figura mitos Yunani, batu-batu permata yang dikatakan mempunyai sumpahan dan beberapa lakaran watak di dalam komik ini.


Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...