Isnin, 22 Ogos 2022

SENJA DI JAKARTA - Mochtar Lubis


 

Ini adalah kisah penghuni kota Jakarta yang rencam sekitar tahun-tahun awal selepas merdeka (Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945). Walaupun segala peristiwa yang berlaku berlatarmasakan waktu itu, tetapi hamba serasa ia seperti isu yang berlaku semasa. Dan walaupun ia berlaku di Jakarta, apa yang berlaku di sana terasa berlaku juga di sini. 

Mochtar Lubis melukiskan pelbagai watak di dalam novel ini yang mewakili kelas hidup yang berbeza. Isu perebutan kuasa dalam pemerintahan atau politik, korupsi, perzinaan, perbezaan ideologi, salah guna kuasa, penyelewengan, kakitangan kerajaan yang tidak amanah, kemiskinan dan pelbagai lagi isu yang dibawa, membuatkan hamba merasa apa yang berlaku pada hari ini telah berkar umbi sejak dahulu lagi. Ia seakan tidak berkesudahan, bersambung dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Mari kita lihat sevara ringkas beberapa watak yang ada di dalam novel ini.

Saimun dan Itam merupakan orang susah, bekerja mengutip sampah dan tinggal di pondok buruk yang disewa daripada Pak Ijo, orang yang hidupnya susah juga. Walaupun susah, Saimun ada cita-cita untuk maju. Kerana itu dia mahu belajar membawa kenderaan dan mendapatkan lesen. Tapi orang susah juga punya nafsu liar. Beliau membawa Neneng tinggal dikamarnya yang dikongsi dengan Itam. Bukan lagi berkongsi kamar. mereka kini berkongsi Neneng! Neneng akhirnya meninggalkan kamar mereka dan menjadi perempuan jalanan.

Suryono satu watak kumpulan elit, seorang lelaki yang bekerja dengan Kementerian Luar Negeri dan pernah bertugas di New York. Bapanya Raden Kaslan, seorang hartawan dan orang kuat parti. Suryono hudup bebas sampai ibu tirinyapun disapunya sekali. Bapanya Raden Kaslan pun dua kali lima jua. Tidak cukup dengan ibu tirinya, beliau juga berzina dengan Dahlia, isteri Idris, seorang lelaki yang merupakan kakitangan kerajaan yang amanah. Kerana mahu mencari dana buat parti (dan sekaligus mengisi pokjet sendiri) Raden Kaslan dan keluarga haru biru ini menyalahgunakan kedudukan mereka untuk mendirikan syarikat atas angin dan mendapatkan lesen-lesen secara salah dan tidak telus.

Sugeng adalah kakitangan kerajaan di Kementerian Perekonomian. Beliau pada awalnya merupakan seorang yang amanah. Namun kerana tekanan dan desakan daripada isterinya yang mahukan beliau mendapatkan rumah yang lebih selesa memandangkan isterinya sedang berbadan dua, maka beliau mula terlibat dalam aktiviti yang menyalahi peraturan. Bukan sahaja beliau mula jadi tidak amanah, tetapi sudah mula pandai minum dan berzina dengan Dahlia.

Idris adalah contoh kakitangan kerajaan kerajaan yang amanah sehingga ke akhirnya. Tetapi sifat amanahnya tidak disenangi Dahlia kerana Idris tidak dapat mengadakan kemewahan yang dikehendaki. Idris sering bertugas luar, jauh dan memakan masa yang lama. Dahlia menjadi isteri derhaka, tidur dengan orang lain dan menjana kemewahan daripada aktiviti tersebut. 

Suryono, walau mempunyai keperibadian yang jelek, mempunyai sebuah kumpulan diskusi yang sering membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan nasib rakyat, ideologi yang harus menjadi ikutan dan hal ehwal semasa. Di sini pelbagai pandangan tentang komunis, demokrasi dan Islam dibincangkan. Kebanyakan pesertanya nampak intelek dan bijak. Tapi kemudiannya berperangan haram jadah juga.

Watak-watak seperti Raden Kaslan, Halim dan Husin Limbara menunjukkan kebobrokan dan kerakusan dalam politik. Walaupun mendendangkan perjuangan untuk rakyat, mereka mengaut harta negara dan menyalahkan kedudukan mereka untuk kepentingan diri sendiri. Halim yang mereka pergunakan akhbarnya untuk kepentingan parti sebaliknya mempergunakan mereka. Halim ternyata seperti gunting dalam lipatan, pepat di luar rencong di dalam!

Dalam kekecohan politik ini, orang-orang komunis pula mengambil kesempatan. Mereka merancang melakukan demonstrasi dan kekecohan. Rakyat yang perlukan beras, garam dan minyak masak begitu mudah dipengaruhi. Membaca cerita-cerita politik dan ulah orang komunis ini, suasananya tidak jauh berbeza dengan kelakuan politikus hari ini.

Kadangkala naik mual membaca adegan dewasa yang kerap timbul di sana sini. Perzinaan, persundalan berlaku tanpa batas, seolah mereka ini tiada pendidikan agama lansung. Agak sukar untuk mempercayai bahawa semua ini berlatarmasakan masa lalu. Kita mungkin menyangkakan orang dahulu lebih baik akhlaknya daripada kita hari ini. Mungkin dari segi perlakuan dan sikap ada dan nampak perbezaannya, tetapi bila tiba pada nafsu ia sama sahaja. 

Adakah masyarakat hari ini masih sama seperti masyarakat masa lalu?


Sokonglah hamba sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...