Isnin, 19 September 2022

MAJALAH GILA-GILA TAHUN 2019 #814 - #824

 Pada tahun 2020 hamba membeli majalah Gila-Gila keluaran tahun 2019 secara sekaligus. Agak sukar untuk membelinya berdikit-dikit mengikut keluaran memandangkan tidak banyak kedai yang menjualnya hari ini. Walaupun dikira ketinggalan kerana tidak membelinya mengikut keluaran terkini, sekurang-kurangnya hamba berpuas hati kerana dapat memiliki koleksi yang lengkap. Dan sejak membeli secara sekaligus di awal tahun 2020 itu, hamba teruskannya di tahun 2021 dan 2022. Jadi majalah yang dikeluarkan pada tahun ini hamba menahan diri daripada membelinya dan akan membelinya secara bundle pada awal tahun hadapan. Majalah keluaran tahun 2019 ini walaupun telah lama membelinya, baru minggu inilah dapat hamba meluangkan masa untuk membacanya secara marathon. seronok juga kerana dapat membaca kisah yang bersiri secara terus tanpa perlu menunggu lama untuk mengetahui kisah sambungannya.

Majalah Gila-Guila tahun 2019 mengandungi 11 keluaran sahaja. Sepatutnya ia mempunyai 12 keluaran dengan hitung panjang satu keluaran sebulan. Tetapi bagi keluaran September dan Oktober ia telah disatukan dalam satu keluaran bernombor #822.

#814

Keluaran sempena tahun baharu 2019, memaparkan watak Jai yang terpaksa jauh duduk dim luar rumah kerana merokok. Ia adalah refleksi kepada peraturan larangan merokok di dalam premis makanan oleh KKM. GG dalam banyak hal, selalu meletakkan isu semasa sebagai persembahan muka kulitnya.

Geromal Mansasau sempena tahun baharu ini juga mencatatkan kejayaan GG yang masih lagi bertahan sehingga ke hari ini.

GG memberikan penghormatan kepada Dato' Azman Yusof dalam keluaran kali ini. Beliau yang merupakan pelukis di-Raja Selangor juga merupakan salah seorang daripada pengasas GG. Beberapa kartun lama beliau turut dipaparkan semula. Antara kartyun lama yang dipaparkan adalah Terkenang Semasa Kecil oleh Nan, Tok Bomoh oleh Zainal Buang Hussein, Legenda Kuih Bakul oleh Reggie Lee dan lain-lain lagi. Rupanya sejarah kuih bakul ini adalah untuk hidangan Dewa Dapur! Tiba-tiba sahaja hamba teringat tentang isu tarian Bon Odori!!!


#815

Kali ini Mishar memberikan penghormatan kepada kartunis Juragan. Kartunis Juragan adalah antara figura yang bersama-sama Mishar membina jenama majalah Batu Api. Juragan juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kartunis awal bagi majalah tersebut. Juragan juga adalah orang kuat di sebalik terbinanya Rumah Kartun dan Komik Malaysia.

Ada kartun Rejabhad tentabng 'Main' Dalam Tentera di mana latihan jasmani tentera dulu-dulu turut meilbatkan permainan tradisional seperti 'laga ayam', 'kejar pukul belakang', 'harimau dengan kambing', belalang-belatuk', 'carry darling' dan lain-lain lagi. Hamba percaya ada di antara nama permainann ini tidak lagi dikenal atau dimainkan pada hari ini.

Ada sebuah kartun oleh Dato' Lat bertajuk 'Tingkatan 3F, 1967...' mengenai kelas beliau semasa tingkatan 3 dengan kisah rakan-rakan beliau yang melucukan.


#816

Kartunis Mie menjadi pilihan Mishar untuk isu ini. Merupakan antara figura awal majalah Batu Api. Mie merupakan seorang yang bijak sejak zaman persekolahannya. Semasa menyumbang untuk Batu Api, beliau masih menuntut di ITM. Beliau kini adalah merupakan seorang arkitek bertauliah dan masih lagi aktif berkartun. Sebyuah kartun Mie berjudul Liku-Liku Ke Kampus turut dipaparkan.

Dalam isu ini disiarkan semula siri Al Kisah maka Tersebutlah oleh kartunis Nan. Meliaht kartun Nan, hamba suka melihat gaya persembahan beliau yang melukis tiap kotak dari sudut pandangan atau perspektif yang berbeza. Ia bukan sahaja menunjukkan gaya kreatif tetapi menjadikan pembaca tidak jemu melihat stroke beliau.

Fatah melalui Malaysia Permai mempersembahkan Main Teri, satu permainan tradisional yang melibatkan persembahan tarian yang diiringi muzik yang dikaitkan dengan penggunaan makhluk halus.

Ada dua kartun Baba Chuah di dalam isu ini bertahuk Banci dan Tanahair. Hamba memang meminati gaya lukisan kartyunis berbangsa Cina ini kerana hasil lukisan beliau yang kemas dan tersendiri. Walaupun bukan berbangsa Melayu, Baba Chuah dapat melukis tentang cerita orang Melayu dengan baik sekali.


#817

GG bilangan #817 ialah GG pada bulan kelahirannya iaitu April. Pada 1 April 2019 GG genap berusia 41 tahun. 41 tahun adalah usia yang amat matang sekiranya ia seorang manusia. Dalam Geromalnya, Mansasau bercerita tentang hayat majalah ini. 

GG kali ini memaparkan muka depan yang lain daripada biasa. Ia adalah poster filem Tiada Tajuk arahan Mawi. Muka depan ini sebenarnya bukanlah sebuah lukisan. ia adalah gambar fotografi yang diberi suntingan seperti cover majalah GG. Walau bagaimanapun tiada keterangan tentang filem ini di dalam majalah.

Kartunis yang menjadi tumpuan kali ini amat bersesuaian dengan sambutan hari ulang tahunnya. Mishar telah memilih kartunis Zanal Buang Hussein (ZBH) yang juga merupakan salah seorang daripada empat pengasas GG.  ZBH amat terkenal dengan lukisannya yang detail dan pakar melukis gambar kereta dan gadis jelita!




#818

Ini GG sempena bulan puasa. Hanya cover depannya sahaja yang bertepatan dengan tema. Persembahan di dalamnya lansung tidak ada kartun mengenai puasa.

Kartunis tumpuan adalah Aza yang terkenal dengan kartun bisunya. Aza kini mempunya galerinya sendiri di Jerantut, Pahang.

Kartun yang paling menarik perhatian hamba pada keluaran ini adalah kartun bisu oleh Jaafar Taib yang bertajuk banduan. Bukan sahaja idea beliau amat menggelikan hati, lukisannya juga amat menarik sekali.






#819

GG keluaran ini adalah edisi Hari Raya. Kalau dahulu, GG keluaran hari raya adalah majalah kartun yang amat di tunggu-tunggu. Ini kerana bagi keluaran hari raya, GG akan tampil dengan isu bumper yang lebih tebal daripada biasa. Biasanya edisi sebegini juga akan menyediakan cenderamata istimewa seperti kad raya, poskad ataupun sampul duit raya. Namun kini GG telah lama tidak keluar dengan isu bumper termasuklah edisi raya ini. Cuma kulit luarnya sahaja yang lebih tebal berbanding keluaran biasa serta sedikit penambahan muka surat, 16 muka lebih daripada biasa.

Kartunis Cabai merupakan penerima Anugerah Kampung Boy 2015. Beliau juga merupakan kartunis wanita yang mendominasi GG sejak sekian lama. Pernah tampil dengan majalah kartun sendiri yang hanya bertahan selama tiga tahun sahaja. Hamba masih ingat Cabai mempunyai kakak yang satu ketika dahulu turut aktif berkartun dengan menggunakan nama Whitesnake. Penyanyi Ajin Black Rose juga adalah saudara kandung beliau.

Berbanding dengan edisi puasa, edisi raya ini menampilkan kartun-kartun bertemakan raya, walaupun ada di antara kartunnya merupakan kartun ulangan. Walaupun begitu terasa persembahan kartun rayanya tidak seperti persembahan di zaman kegemilangannya. Hamba berdoa GG boleh buat satu comeback yang benar-benar ampuh.


#820

GG isu #820 memberikan belasungkawa buat kartunis Zamriabu yang telah kembali ke rahmatulLah pada 30 Jun 2019 di usia 63 tahun. Karya Pak zamri banyak tersiar di permulaan penerbitan GG. Watak-watak kartun beliau simple dan kelakar.

Pak Rossem pula berkisah tentang kunjungan beliau ke Bali bagi melihat perkembangan kartun di sana dan bertemu Jango Pramartha, editor majalah kartun Bali - Bog-Bog.

Akhirnya bagi keluaran 2019 ini ada juga kartun Ujang (walaupun ulangan) yang bertajuk Bomoh. Hamba rasa kartun ini dulu adalah untuk siaran hari raya kerana ada elemen berkenaan di dalam kartun tersebut.



#821

Untuk keluaran tahun 2019 ni, hamba rasa inilah cover yang paling elok sekali selain cover #817. Menggambarkan Malaysia yang meriah dengan warga asing (betulkah??).

Walaupun bulan 8 biasanya GG hadir dengan tema merdeka, hanya ada satu kartun sahaja yang berkaitan dengan meredeka, itupun kartun lama oleh Long yang bertajuk Budaya Rekacipta Dan Rekaciplak Merdeka. Tiada personaliti kartunis yang menjadi tumpuan pada isu ini.

Sejak awal Januari hamba tidak menjumpai sebarang cerpen atau tulisan bersiri menghiasi GG. Tetapi untuk keluaran ini ada dua tulisan bersiri iaitu Awek oleh Matt Romeo dan Lebih Senang Beri Jari Dari Bahu oleh Faisal M.


#822 

Siri kartun Al Kisah Maka Tersebutlah oleh Nan berakhir di keluaran ini. Ia adalah kisah sebuah kampung yang serba kekurangan dan berhasrat memanggil YB agar dapat melihat kesusahan mereka. Untuk menyambut YB mereka telah bergotong royong membuat itu dan ini, memperbaiki segala kerosakan dan membuat jamuan makan sehingga YB merasakan kampung berkenaan berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Akhirnya masalah mereka lansung tidak dapat diselesaikan. Dalam kartun ini ditampilkan watak Sudin, seorang anak muda yang bijak yang pemikirannya berbeza daripada orang kampung yang lain. Kerana kerap berbeza pendapat maka orang kampung tidak begitu gemar dengannya. Tetapi pandangan beliau inilah yang sepatutnya diterima dan diikuti.

Tidak terasa ada keistimewaan pada keluaran ini. Kartun lama yang diulang siarpun ada yang telahpun disiarkan pada satu keluaran di tahun 2019 ini juga seperti kartun bertajuk Judi oleh Juragan. Dan hal pengulangan kartun lama sebanyak dua kali dalam tahun yang sama bukanlah pada kartun ini sahaja tetapi pernah berlaku pada beberapa kartun yang lain.


#823

Andaikata tiada kartun terbaharu daripada kartunis veteran yang menghiasi majalah ini nescaya akan semakin pudarlah sinar GG. Ini kerana kartunis generasi yang baharu masih agak asing lagi buat hamba memandangkan rata-rata mereka tidak mempunyai siri kartun yang boleh dianggap sinonim dengan mereka seperti Atuk oleh Ujang, Dan, Din Don oleh Don atau A.Mamud oleh Fatah. Dalam edisi tahun 2019 ini hamba lihat hanya Cabai satu-satunya kartunis veteran yang konsisten dengan menayangkan Tiga Dara Pingitan berbanding kartunis veteran lain yang hanya muncul sekali sekala dengan karya baharu.

Siri Kepulangan Sofea oleh Juragan berakhir di edisi ini. Sofea ni sebenarnya adalah lelaki yang berperwatakan perempuan. Kerana kejelitaan beliau, ada juga lelaki yang berkenan. Ini sudah kira ada unsur LGBT! Pengakhirannya agak mengejutkan sekaligus menghampakan 'peminat' Sofea. Apa sudah jadi?


#824

GG berdukacita di atas pemergian seorang kartunis veteran - Almarhum Rosdin Sadin yang telah meninggal dunia pada 8 November 2019. Almarhum yang lukisannya banyak menghiasi majalah-majalah keluaran Al-Arqam sudah mula aktif melukis sejak muda di dalam beberapa majalah seperti Bambino. Sekiranya kita melihat ilustrasi beliau di majalah-majalah Al-Arqam, kita akan dapat melihat sentuhannya yang cukup cantik dan mempesona.

Tiga dara Pingitan membuat kejutan dengan kisah perkahwinan Esah. Tetapi hamba sejak awal cerita dapat menangkap bahawa perkahwinan ini tidak akan terjadi. Mana mungkin setelah puluhan tahun siri ini berjalan maka ada salah seorang dara ini akan bernikah. Ia tidak nakan jadi tiga dara pingitan lagi! Yup, dugaan hamba betul, ia tidak lebih daripada sekadar mimpi!

Ada satu ruangan pojok baharu bertajuk Sis Nak Story. Tidaklah hamba tahu siapa gerangan Sis ini. Tetapi yang nyata Sis tidak sepower Minahleter. 

Inilah serba sikit ulasan tentang GG tahun 2019. Tidak larat nak menghurai panjang mengikut setiap keluaran. Cukuplah hanya ringkasan yang serba ringkas sahaja. Apa yang penting GG perlu menyusun semula majalah ini untuk tampil dengan lebih menarik. Tidak kisahlah jika ia bercampur dengan kartun lama sekalipun. GG di zaman kegemilangannya harus dijadikan benchmark. Hamba rasa pihak GG sendiri bersetuju bahawa keluaran sekarang ini tidak sehebat keluarannya sekitar 80 dan 90an. Kartunis yang baharu harus mempunyai watak atau kisah yang kuat sehingga sinonim dengan mereka. Mereka bukannya tidak berbakat, tetapi masih belum ada killer character lagi. Oh yang bagi penyiaran semula kartun lama, seeloknya diletakkan ia diambil daripada keluaran GG yang ke berapa serta tahunnya sekali. Dan kepada penyusun halaman, harap pastikan kartun yang telah keluar, tidak akan disiarkan lagi. Ini kerana terdapat beberapa kartun yang keluar dua kali dalam keluaran 2019 ini.

Berhenti sekejap, nanti hamba godek GG tahun 2020 pula.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...