Rabu, 28 September 2022

MAJALAH GILA-GILA TAHUN 2020 #825 - #834

 Tahun 2020 adalah tahun wawasan. Namun tahun ini juga adalah tahun yang penuh dugaan, bukan hanya pada Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Siapa sangka satu penyakit yang baharu telah melanda dan melumpuhkan segala-galanya. Walaupun dahulu orang membayangkan di tahun wawasan ini manusia akan menaiki kereta terbang, tetapi usahkan kereta, kapal terbang juga tidak boleh terbang di musim covid-19!

Gila-Gila mempunyai hanya sepuluh keluaran di tahun 2020. Keluaran #828 telah menggabungkan tiga keluaran sekaligus iaitu keluaran bulan April, Mei dan Jun. Walaupun ia adalah keluaran yang menggabungkan bagi 3 bulan, namun tebalnya masih sama dengan keluaran-keluaran yang biasa. Semuanya disebabkan penangan Covid. GG juga tidak terkecuali. Namun yang pastinya GG tetap hebat kerana masih terus bertahan walaupun banyak perusahaan dan bisnes yang lingkup disebabkan pandemik ini.


#825

Hamba suka dengan kemeriahan dan warna cover GG yang membuka tirai tahun 2020 ini. Ia menggambarkan suasana tahun 2020 antara kemajuan dan kemunduran. Patinya pelukisnya tidak dapat menjangka beberapa bulan selepas itu covid akan menyebabkan satu Malaysia menderita.

Walaupun ini GG tahun 2020, hamba merasakan kartun lama lebih banyak daripada biasa. Tidak terasa keluaran ini seperti keluaran yang terbit di tahun baharu.

Jika selalunya bahagian tengah majalah memberikan cenderamata berbentuk poster, Kali ini GG memberikan sebuah diari lipat. Cenderamata seperti ini jika ia diberikan pada zaman sebelum telefon bimbit, tentunya akan jadi kegunaan yang amat baik. tetapi dengan adanya teknologi, hamba sendiri tidak terasa seperti ingin menggunakannya.


#826

Sejak tahun 2019 sehingga ke keluaran ini, GG giat mempromosikan aplikasi GG Komiks. Hamba sendiri memuat turun aplikasi ini semasa ia baru dilancarkan dulu. Ia memberikan peluang untuk kita menatap banyak karya kartun di atas talian termasuk beberapa keluaran majalah lama. Tetapi kini (2022) hamba dapati apps ini tiada lagi di playstore. Harapnya pihak GG mengaktifkannya semula.

Sejak beberapa keluaran sebelum ini juga ruangan tulisan bersiri telah mula meriah di GG termasuk satu ruang pojok baharu bertajuk Sius Nak Story. Tapi ruangan Sisa Nak Story ini tidak berapa power buat hamba. Cukuplah hanya ruangan pojok Mansasau dan Minahleter sahaja.


#827

GG kali ini sudah mula membawa tema covid di cover depannya. Menggambarkan pemakaian pelitup muka yang boleh digunakan jantan miang untuk berselindung melakukan aktiviti nakal mereka. Mansasau juga berbicara tentang penyakit ini di ruang pojoknya.

Long dalam kartunnya bertajuk 'Wanita Mesti serius....'  berkisah mengenai wanita akan datang. Kartun ini adalah sebuah kartuyn lama di mana Long membyangkan tentang beberapa perkara yang mungkjin dilakukan oleh wanita akan datang (di mana ketika itu ia belum terjadi lagi atau amat jarang berlaku). Apa yang dikhayalkan oleh Long itu ternyata ada yang berlaku hari ini seperti wanita menjadi penebar roti canai, wanita bermain sepak takraw, wanita lebih ramai berjogging di lapangan, wanita ramai memenagi award dalam perniagaan, dan lain-lain lagi.


#828

inilah GG yang menggabungkan keluaran April, Mei dan Jun sekaligus. Ini bermakna GG sendiri tidak dapat beroperasi dan keluar seperti biasa disebabkan covid. Ia adalah keluaran ulangtahun GG ke 42 disekalikan dengan keluaran hari raya. Tiada edisi bumper dikeluarkan.

Ada beberapa ruangan istimewa sempena ulangtahun ke 42 ini seperti apa yang berlaku 42 tahun yang lalu sehingga membawa kepada kewujudan GG serta biodata dan karikatur para pengasas GG.

Ada satu rencana oleh Ronasina bertajuk 'Syy... Ini Ceritanya' yang amat menarik minat hamba. Ia berkenaan kisau beliau yang diberikan kepercayaan oleh Jaafar Taib untuk membantu 'membuat' GG. Dalam keadaan orang tidak lagi berminat dengan bahan bacaan berbentuk fizikal, adalah satu cabaran buat Ronasina untuk menarik minat pembaca. Beliau juga gigih mencari dan mengumpulkan kartunis lama dan baharu untuk menjadi penyumbang tanpa dapat menjanjikan bayaran. Beliau dalam masa yang sama turut gigih menjaga anaknya yang sakit.


#829

Cover GG menggambarkan kegembiraan apabila sempadan antara negeri dibuka semula selepas ditutup sekian lama dek PKP. GG dalam mana-mana covernya sering menjadikan isu semasa sebagai bahan tarikan.

Kolum Mansasau dan Minahleter juga membicarakan tentang covid. Bahkan pojok Minahleter menyelar para jantan yang menjadikan negara kucar kacir kerana politik!

GG keluaran ini turut menyiarkan berita Jaafar Taib yang telah dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan mata akibat jangkitan kuman.

Para kartunis juga telah melakukan gotong royong menceriakan Rumah Kartun Dan Komik Malaysia setelah beberapa bahan pamerannya rosak kerana terbiar disebabkan PKP.


#830

Cover GG bulan kemerdekaan memaparkan kegembiraan tiga orang pesakit yang gembira kerana sembuh daripada penyakit Covid-19. Ia dianggap sebagai satu kemerdekaan.

Kolum Dunia Kartun kali ini memfokuskan tentang kartunis Zunar, seorang kartunis yang hari ini dikenali kerana kesinisan karyanya dalam politik dan cenderung kepada parti tertentu. Namun hamba lebih suka kepada kartun lama beliau - Liza dan Kaduk - Cinta Tak Semestinya Bersatu!

Ada tiga orang kartunis GG yang mempunyai kebolehan berjenaka di dalam bahasa Inggeris lewat karya-karya mereka iaitu Nuds, Ramzahurin dan Long. Nik juga pernah menyumbangkan kartun dalam bahasa Inggeris. Melalui kartun-kartun mereka sekurang-kurangnya hamba dapat belajar bahasa Inggeris melalui penyampaian yang cukup santai dan mudah. Hamba rindu karya Long, English 122.


#831

Cover depannya memberikan mesej bahawa Covid-19 telah menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar daripada yang sekcil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya.

Bermula daripada beberapa keluaran sebelum ini, ruangan Tiga Dara Pingitan tidak lagi berada di permulaan majalah. Ia kini berada di pertengahan dan tidak lagi dalam warna.

Siri Hijrah Ke Isketambola memasuki bahagian keempat telah mula menarik minat hamba. Jalan ceritanya umpama satu riddle yang perlu diselesaikan untuk mencari jalan ke Isketambola.



#832

Terasa pembahagian di antara kartun baharu dengan yang lama begitu tidak seimbang. Sepatutnya bilangan kartun baharu melebihi yang lama. Yang hamba lihat adalah sebaliknya. Benar, kartun lama ini baik untuk diperkenalkan kepada generasi baharu. Tetapi perlu juga diketahui bahawa cara lawak orang hari ini dan gaya kartun yang mereka minati berbeza dengan yang lalu. Tetapi hamba juga faham akan kekangan pihak GG ini. Mereka bukannya sengaja. Cubalah kita ramai-ramai beri sokongan semula seperti di era kegemilangannya, pasti bentuk persembahan GG akan berubah.

GG memaklumkan pemergian tiga orang kartunis iaitu Nora Abdullah, Nor Azman bin Mohamad (Jering) dan Ismail Tomat.

Ada satu kartun lama tiga petak oleh Jaafar Taib yang walaupun kelakar tetapi mempunyai mesej yang amat mendalam. Kotak yang pertama memaparkan sepasang suami isteri yang masih muda tertawa kegelian melihat anak kecil mereka, seorang lelaki, mengenakan gincu di bibir. Petak yang kedua, suami isteri yang sama dalam usia pertengahan masih ketawa melihat penampilan anak lelaki mereka yang dalam usia sekolah rendah memakai baju kebaya ibunya yang besar sehingga nampak gedoboh. Pada petak yang ketiga, suami isteri ini yang berada dalam usia tua, tidak lagi ketawa apabila anak lelaki mereka dah jadi pondan!


#833

Mansasau dalam Geromalnya memberikan penghargaan buat para fronlines yang begitu gigih berjuang mempertahankan negara menghadapi covid-19.

Hamba makin rimas membaca kolum Sis Nak Story. Bahasanya bercampur aduk antara Melayu dan English, mengikut gaya anak muda perasan orang pekan. Kalau nak menulis dalam bahasa Inggeris, tulislah sepenuhnya dalam bahasa berkenaan. Jangan sekerat-sekerat, sekerat ular sekerat belut macam kata Tan Sri Rais Yatim. Kalau awak menulis sepenuhnya dalam BI hamba akan lebih puas hati. Usahlah berasa urban sangat. Awak tetap makan nasik!



#834

GG penutup tahun 2020. Tiada persembahan istimewa sempena penutup tahun. Belum ada kartunis baharu yang power dan boleh menjadi fenomena. kartun lama masih bersiaran seperti biasa. Kartun lama Ujang ada beberapa muka dalam keluaran ini dan ia merupakan antara kartun semasa pengelibatan awal Ujang. Dapat kita lihat gaya dan stroke lukisan beliau yang simple. Namun gaya yang biasa itu beberapa tahun kemudiannya berubah menjadi luar biasa.

Ada satu kartun bersiri baharu bertajuk Pelayaran oleh Epie mengenai bekas penagi yang berubah. Nampak penceritaannya agak menarik. Lukisan beliau pun boleh tahan. Kena sambunglah lagi pembacaan GG tahun 2021!






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...