Jumaat, 2 September 2022

PERANG ANJING SURUHAN : DARURAT DAN KEKALAHAN KOMUNIS DI MALAYA 1948-60 - Noel Barber


Sejarah kita banyak yang ditulis oleh penjajah. Kerana orang kita tidak menulis sejarah, maka tidak banyak rekod yang kita perolehi pada hari ini datangnya daripada bangsa kita. Kadang-kadang apabila kita cuba menafikan sesuati perkara, yang ada pada kita hanyalah kata-kata lisan atau 'atok aku kata....' dan tidak ada sesuatu yang disimpan secara bertulis apatah lagi berekod. Maka jadilah dalam buku-buku sejarah ini, walaupun menceritakan tentang negara kita, heronya masih orang putih dan kita masih menjadi watak-watak sampingan.

Sepertimana tajuknya, buku ini adalah tentang peperangan Malaya menentang pengganas komunis (PK) yang mula bermaharajalela selepas pendudukan Jepun. Jika di negara jiran, pemimpin mereka dengan segera mengisyhtiharkan kemerdekaan sebaik sahaja Jepun keluar sehingga Belanda tidak berupaya untuk berkuasa semula, di sini tidak ada pemikiran yang sedemikian bahkan ada yang tertunggu-tunggu kepulangan semula orang putih untuk kembali mentadbir. Jika tidak mungkin seawal 1948 atau 1949 kita sudahpun memerintah negara sendiri. Walau bagaimanapun buku oleh Noel Barber ini, walaupun dari kaca mata orang putih, masih memaparkan tentang keadaan tanah air yang bergelut dengan ancaman komunis. Banyak fakta baharu yang hamba dapat. Tulisan Noel juga tidak membosankan (terima kasih juga kepada penterjemah yang dapat menterjemahkan karya ini dengan baik dan tidak kaku). 

Apa yang berlaku di antara Malaya dengan PK sebenarnya adalah satu peperangan. Tetapi orang putih tidak menamakannya 'perang' sebaliknya menggunakan istilah darurat atau emergency. Ia berkait rapat dengan urusan tuntutan insuran di mana urusan tuntutan yang berkait dengan kemusnahan atau kecelakaan semasa perang tentunya akan membebankan syarikat insuran. lebih-lebih lagi peperangan ini tidak akan diketahui beilakan kesudahannya. Jadi untuk mengelakkan berlakunya hal seperti yang dinyatakan, maka istilah darurat digunakan. Bijak kan. Hanya dengan penggunaan satu istilah, ia boleh merubah banyak perkara.

Banyak perkara-perkara yang menarik diceritakan oleh Noel sepanjang tempoh ini. Akan hamba perturunkan beberapa perkara di sini. Selebihnya adalah lebih baik para pembaca sendiri mendapatkan buku ini yang penuh dramatik dan debar.

Walaupun kita kenal PK sebagai manusia yang ganas, tetapi jangan kita merasakan bahawa mereka tidak mempunyai peraturan di kalangan mereka sendiri. PK mempunyai senarai 10 perkara yang perlu dipatuhiketika berada di dalam kem iaitu ;- Bercakap perlahan-lahan; mematuhi adat kebiasaan; memulangkan barang yanhg dipinjam; membayar sebarang kerosakan yang anda lakukan; bersikap jujur ketika menjual dan membeli; melayan tahanan dengan baik; memastikan asrama tempat tinggal bersih; memastikan barangan peribadi dalam keadaan baik; setiap hari pergi ke tandas dan mengelak kaum wanita ketika mandi. 

Kita maklum bahawa kerajaan banyak menggunakan perkhidmatan kaum asli dalam usaha menjejak penjajah. Salah seorang yang pernah digunakan ialah pengesan jejak bangsa Dayak dari Borneo yang bernama sardin. Sardin mempunyai satu set gigi palsu emas yang cantik yang dibeli menggunakan wang simpanannya. Beliau telah kehilangan set berkenaan ketika memanjat pokok kelapa untuk memetih buahnya. Sejak itu beliau kemurungan sehingga menjejaskan prestasi kerjanya. 'Demi kepentingan negara' pihak tentera menggantikan set gigi yang hilang tersebut!

Antara usaha British untuk mengekang pengaruh PK ialah mengumpulkan orang-orang cina yang hidup secara setinggan di pinggir-pinggir hutan ke sebuah penempatan baharu yang dipanhggil Kampung Baharu. Henry Gurney telah mengambil masa selama 18 bulan untuk memujuk para Sultan bagi memberikan kepada para setinggan surat ikatan hak milik atau geran untuk tanah pertanian dan kawasan penempatan!

Gerald Templer pernah dengan selambanya mengambil tanpa izin beberapa helai kain samping seragam polis berwarna biru yang cukup dipakai dalam majlis rasmi di depoh. beliau telah menyuruh seorang pembantu peribadi mengambil beberapa helai untuk dipakai oleh pembantu rumahnya di King's House supaya mereka kelihatan lebih menarik. Ketua Polis, Arthur Young telah mengarahkan pembantunya untuk menyampaikan 'salam' kepada Templer dan mengarahkan agar pakaian tersebut dipulangkan semula! Perghhh orang putih pun ada yang cilok harta kerajaan. Tetapi dalam masa yang sama ada orang putih yang benar-benar menjaga harta tersebut!

Kakitangan kerajaan hari ini apabila menerima sesuatu hadiah daripada orang luar adalah diminta untuk melaporkannya kepada ketua jabatan mereka. Ketua jabatan akan menentukan sama ada hadiah berkenaan wajar diterima atau tidak berdasarkan nilai, bertentangan dengan kepentingan kerajaan, mempunyai unsur rasuah atau tidak atau lain-lain faktor yang difikirkan munasabah. Amalan tersebut telah ada sejak dahulu lagi apabila seorang komunis yang telah menyerah diri bernama Osman Cina ingin menghadiahkan kepada Storrier sebatang pen berwarna emas tetapi telah ditolak oleh ketua jabatan Storrier.

Ada satu keadaan yang melucukan apabila orang-orang asli yang menerima ganjaranwang tunai daripada kerajaan atas maklumat yang mereka salurkan, turun ke pekan Lipis untuk membeli peti sejuk, gramofon dan radio yang menggunakan kuasa elektrik, dan kemudian dengan bangga mengangkut barangan itu balik ke kampung di hutan yang tidak pernah mendapat bekalan tenaga elektrik!

Antara yang kerap diserang oleh PK ialah ladang-ladang getah yang diuruskan oleh Inggeris. Ada sepasang suami isteri bernama Peter Lucy dan isterinya Tommy yang menjadi pengurus Ladang Amherst dikenali sebagai pasangan yang suka dengan Tanah Melayu. Kedua mereka cekap bermian dengan senjata, amat mengambil berat akan pekerja mereka dan berani mempertahankan ladang. Peter telah membuat persediaan dengan meletakkan guni-guni pasir di sekeliling rumah serta meletakkan plat besi di kereta Fordnya sehingga menjadi sebuah kereta berperisai. Kereta itu digelar monster. Sewaktu menghantar Tommy yang ingin bersalin ke Hospital Kuala Lumpur, kereta mereka telah diserang dan ternyata plat besi berkenaan berjaya melindungi mereka. Memandangkan kereta yang telah menjadi berat, mereka hanya mampu bergerak selaju 30km/j sahaja. Dan yang paling hebat sewaktu dihujani peluru komunis ini, Peter dan Tommy yang sedang sarat masih lagi mampu menembak dari kereta mereka. Kereta berperisai dan kegagahan mereka ini membuatkan hamba seperti sedang menonton filem Batman!

Ada seorang wanita, anggota polis Cawangan Khas bernama Irene Lee yang sering disebut di dalam buku ini. Irene adalah cina tempatan yang mana suaminya juga adalah merupakan anggota polis yang telah ditembak mati oleh PK. Di dalam buku ini diceritakan kecekapan dan keberanian Irene menjalankan tugas penyamaran serta menyusup masuk ke kawasan PK. Irene juga dikenali dengan kecekapan dan kepantasannya bermain pistol lebih hebat daripada orang lelaki!

Sebenarnya banyak lagi kisah menarik yang tercatat di dalam buku ini yang mana hamba rasa tidak patut dilepaskan oleh rakyat Malaysia untuk membacanya. Kisah ini berlarutan sehinggalah berlakunya Rundingan Baling dan kemerosotan pengaruh komunis selepas itu.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...