Khamis, 8 September 2022

WRITER'S CUT - Ramlee Awang Murshid


Tidak seperti Anding Ayangan III, Hikayat 1 yang hamba peram begitu lama setelah membelinya, Writer's Cut pula hamba baca selepas beberapa hari buku ini tiba ke pangkuan  sebaik menamatkan bacaan buku Perang Anjing Suruhan. Tentunya hamba mengharapkan karya RAM kali ini akan berbeza dan lebih baik daripada karya-karya beliau sebelum ini.

Writer's Cut berpusat kepada seorang penulis bernama Rusdi Salleh. Walaupun nama Rusdi yang dipilih pembaca akan merasakan bahawa RAM seolah bercerita tentang dirinya sendiri lantaran beberapa nama karya yang disebut di dalam naskhah ini adalah karya RAM sendiri khususnya 'Ranggau' yang bukan sahaja salah sebuah novel beliau tetapi turut menjadi pokok perbincangan/persoalan di dalam Writers's Cut.

Dalam berkisah tentang Rusdi, naskhah ini 'diganggu' oleh dua buah cerita yang lansung tidak berkaitan dengan jalan cerita tetapi memberikan perisa tambahan kepada penulisan. Rusdi telah berkisah secara lisan kepada isteri beliau tentang cerita yang beliau mahu tuliskan. Dua kisah berkenaan bertajuk Mahar Rangbulan dan Liverpool Ghost. Walaupun Rusdi hanya 'bercerita' ternyata kedua-dua cerita ini telah memakan mukasurat yang agak banyak sehingga perhatian hamba terhadap kisah Rusdi telah lari buat beberapa ketika.

Tetapi apa yang menarik apabila Rusdi bercerita kepada isterinya adalah beliau akan meminta pandangan tentang cerita tersebut. sewaktu hamba membaca dua kisah ini, seperti biasa otak hamba juga ligat memikirkan segala persoalan yang timbul. Ajaibnya persoalan yang timbul di kepala hamba itu jugalah yang ditanya atau di komentar oleh Jasmine, isteri Rusdi. Hamba percaya sebagai penulis yang mempunyai pengalaman yang bertahun-tahun, RAM telahpun menerima begitu banyak pandangan daripada pembaca beliau. Justeru apabila RAM telah mengetahui persoalan pembaca terhadap kedua cerita tersebut, RAM bolehlah membuat penambahbaikan untuk karya-karya yang akan datang. Kecualilah RAM masih juga mahu mengekalkan gaya sebegini......Justeru setelah ditolak jumlah mukasurat bagi kedua cerita ini, tebal mjuka surat bagi kisah Rusdi ini sebenarnya lebih kurang separuh sahaja. Adakah kedua kisah ini nanti akan muncul sebagai sebuah kisah dalam novel yang berasingan. Tidak mustahil ini adalah promosi awal RAM atau teaser untuk karya yang akan datang!

Rusdi terganggu dengan kehadiran dua orang yang misteri, seorang lelaki dan seorang perempuan. Lelaki yang bernama Pak Ngah telah ditemuinya di hadapan rumah manakala seorang wanita dilihat dua kali menemui anaknya Maya di taskanya. Kemudian hadir pula watak Sayed Razak yang mengumpan Rusdi dengan cek 1/2 juta untuk ke Belantara Tualang Patah bagi menyelesaikan masalah berkaitan Ranggau. 1/2 juta lagi akan dibayar Sayed Razak jika Rusdi berjaya menyelesaikan misinya.

Babak-babak Rusdi di Kampung Madu Tualang dan Belantara Tualang Patah membangkitkan semangat hamba untuk membaca kerana mempunyai nuansa dan rentak seperti karya-karya awal beliau yang penuh dengan persoalan yang membuatkan pembaca berfikir dan berusaha mencari jawapan. Cuma ia hadir agak lewat kerana diganggu oleh dua cerita tadi.  di sinilah nanti pembaca akan mengetahui misteri di sebalik watak Ranggau serta Sayed Razak. RAM juga membuat twist tentang watak Jamilah yang tiba-tiba mempunyai watak langsuir. Entahlah, hamba rasa Jamilah tak perlupun jadi langsuir. Lebih kelakar apabila seseorang menjadi Ranggau selepas meminum air mineral yang sebenarnya diisi dengan muntah seorang ahli sihir.

Pak Ngah dan Ain Nur sebenarnya mempunyai misi yang tersendiri. Mereka datang dari tahun 2032 dan bertemu dengan Rusdi di tahun 2003 bagi menghalang beliau ke Belantara Tualang Patah. Sejak menulis tentang time travel dalam Bagaikan Puteri, dilanjutkan ke siri Anding Ayangan, hamba sebenarnya dah kurang minat dengan premis sebegini. Ya, ia nampak menarik tapi cukuplah sekali dua menggunakan premis pengembaraan masa ini. Tidak hairan akan ada lagi kisah kembara masa ini di karya yang akan datang.

Pak Ngah datang bagi mengubah masa depan. Apa yang bakal dilakukan oleh Rusdi bakal menentukan nasib mereka di masa hadapan. Siapakah Pak Ngah dan Ain Nur ini?


Nota - Terima kasih buat saudari Zalilyani Khadijah yang membantu membelikan novel ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...