Jumaat, 21 Oktober 2022

PENERBANGAN TERAKHIR MH 370 & MH 17 - Dato' Sri Azharuddin Abdul Rahman


Apabila membaca buku ini, saya bagaikan tidak percaya bahawa tragedi kehilangan pesawat MH 370 dan kemusnahan MH 17 telahpun berlalu lebih lapan tahun yang lalu. Saya merasakan kedua-dua tragedi berkenaan umpama baru sahaja terjadi. Mungkin kerana ketika itu saya seperti ramai rakyat Malaysia yang lain mengikuti perkembangan kedua-dua tragedi ini dengan dekat melalui laporan media massa tempatan.

Pelbagai spekulasi, teori dan cerita timbul akibat kedua-dua tragedi ini. Media sosial menjadi medan bagi para 'wartawan jadian' yang tidak bertauliah menjaja cerita mereka. Walaupun kisah-kisah mereka tidak berlandaskan fakta bahkan mereka jelas bukan sama sekali seorang pakar penerbangan, kisah yang mereka jual dengan begitu mudah dipercayai oleh segelintir masyarakat, lebih-lebih lagi buat golongan yang tidak ambil peduli untuk menyemak akan kesahihan sebarang berita.

Kehadiran buku ini amat bertepatan sekali. Dan tiadalah orang yang lebih layak untuk menceritakannya selain daripada mereka yang benar-benar dekat dengan pengurusan tragedi ini. Penulis buku ini merupakan mantan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), satu sosok penting di sebalik pengurusan krisis tragedi MH 370 dan MH 17.

Secara ringkasnya buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu yang pertama adalah mengenai diri penulis secara ringkas - dari seorang budak kampung yang kemudiannya menjadi Ketua Pengarah DCA. Bahagian kedua adalah mengenai kehilangan pesawat MH 370 dan bahagian yang terakhir mengenai kemalangan yang melibatkan MH 17.

Kehilangan pesawat MH 370 sememangnya menjadi misteri sehingga ke hari ini. Ia bahkan masih menghantui diri penulis. Sehingga ke hari ini beliau masih berharap untuk mengetahui kesudahan perjalanan MH 370. Kejadian kehilangan pesawat adalah yang pertama kali berlaku dalam dunia. Justeru pada peringkat awal, pihak berkuasa di Malaysia tidak mempunyai satu prosedur operasi yang standard. Namun kesungguhan setiap pihak yang terlibat telah menjadikan operasi pencarian berjalan dengan cara yang tersusun dan berkordinasi. 

Sebagai pembaca kita boleh melihat betapa hebatnya pegawai-pegawai kita menyelaras operasi ini yang turut melibatkan banyak negara lain. Sebanyak 26 negara telah melibatkan diri di dalam operasi pencarian yang melibatkan 82 buah pesawat udara dan 84 buah kapal laut. Penulis telah mencatatkan dengan baik perjalanan operasi ini semenjak dari hari pertama lagi. Melaluinya pembaca boleh memahami akan keadaan perjalan pesawat berkenaan, bagaimana ia berpatah balik sehingga menghilang di Lautan Hindi, laluan udara yang dilaluinya serta pihak berkuasa yang mengawalnya serta banyak istilah penerbangan yang disampaikan dengan bahasa yang mudah. Disebabkan kes ini penulis telah tidak pulang ke rumah selama tiga bulan dan tidak berpeluang menjejakkan kakinya di pejabat beliau di Putrajaya selama enam bulan!

Sewaktu MH 17 ditembak jatuh, penulis berada dalam penerbangan ke Beijing bagi menguruskan hal melibatkan kes MH 370. Tetapi sebaik sampai beliau telah diberikan boarding pass untuk menaiki semula pesawat yang beliau datang tadi untuk kembali semula ke Malaysia. Beliau yang kaget dengan situasi itu terperanjat apabila mengetahui sebuah lagi pesawat negara mengalami tragedi. Alangkan hal melibatkan MH 370 masih belum berakhir, kini masalah yang baharu pula timbul.

Berbeza dengan MH 370 yang hilang secara misteri, MH 17 pula telah ditembak dengan peluru berpandu dan musnah di udara! Gugurnya pula di sebuah kawasan bergolak di Ukraine yang dikuasai oleh pemberontak. Melalui pengkisahan penulis, pembaca dapat mengetahui akan kesukaran menguruskan kes ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan Ukraine seperti tidak bersungguh untuk membantu serta menyusahkan Malaysia dengan pelbagai prosedur yang tidak sesuai dengan keadaan yang berlaku.

Namun kita dihidangkan dengan kisah keberanian komando kita yang berani memasuki kawasan bergolak untuk mendapatkan kotak hitam serta menguruskan mayat-mayat mangsa tragedi. Perkara ini dilakukan secara senyap-senyap sahaja oleh pasukan keselamatan kita dan kejayaan operasi ini amatlah dipuji.

Penghasilan buku ini adalah satu catatan sejarah daripada sumber yang boleh kita katakan bertaraf primer. Ini kerana penulisnya adalah individu yang menguruskan kedua-dua tragedi ini secara lansung. Penghasilannya sekaligus menjawab beberapa prasangka atau persoalan yang berlegar di minda sebahagian kita. Adalah amat penting untuk kita memahami perjalanan kedua-dua tragedi ini berdasarkan maklumat yang benar dan sahih dan bukannya dari sumber entah mana.




Nota - Ulasan ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, Jumaat, 21 Oktober 2022.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...