Selasa, 18 Oktober 2022

PULANG - Abdul Rahim Awang


 

Hamba kurang gemar membaca kisah berkaitan hidup tidak bermoral, pergaulan bebas, wanita-wanita jalang/GRO dan yang seangkatan dengannya. Semasa membeli buku ini, hamba memang tidak merujuk lansung kepada ulasan sesiapa. Hamba membeli novel ini kerana 'jenama' Abdul Rahim Awang (ARA).

Hasil tangan ARA sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Tulisan beliau memang mantap dalam semua novel-novelnya. Dan walaupun pengkisahan dalam naskhah ini ada yang kurang hamba gemari, tulisan ARA masih lagi hebat seperti biasa. Novel ini terbitan tahun 2007 dan baru hamba beli beberapa bulan yang lalu. Masih lagi cantik di dalam balutan plastik, bukannya sebuah buku terpakai.

Novel ini seolah dibahagikan kepada empat buah fragmen. Dalam fragmen yang pertama kita akan tertumpu kepada watak Norazlin, seorang wanita muda berusia 23 tahun yang mempunyai impian menjadi Cleopatra zaman moden. Walaupun mempunyai kerjaya, beliau menjalani kehidupan malam dengan menjadi teman kepada lelaki. Tidak mengistilahkan dirinya sebagai pelacur kerana menganggap pelacur adalah mereka yang menetapkan bayaran. Walaupun beliau tidak menetapkan sebarang bayaran, tetapi beliau menerima wang yang diberikan oleh 'pelanggannya'.

Konflik terjadi apabila beliau merasakan mahu berubah dan mahu meninggalkan dunia gelapnya. Ia bukanlah suatu yang sukar memandangkan para lelaki yang 'membelanya' telah membelanjakan ratusan ribu ringgit. Kebanyakan mereka sukar melepaskan Norazlin dengan begitu sahaja kerana memikirkan pelaburan yang telah dibuat. Norazlin menghadapi situasi yang sukar. Ancaman berbaur ugutan mula diterima.

Namun dalam beliau mempunyai niat untuk berubah itupun Norazlin masih kekal dengan aktiviti maksiatnya. Paling kurang beliau berzina dengan dua orang lelaki beberapa kali. Salah seorangnya bernama Farouk yang kisahnya akan menjadi tumpuan utama dalam tiga fragmen selanjutnya. Maafkan hamba kerana menggunakan istilah berzina walaupun ARA lansung tidak menggunakan istilah ini di dalam Pulang. Tetapi itulah hakikatnya yang berlaku. Terlalu banyak perzinaan di dalam novel ini sehingga membuatkan hamba mual dan tidak selesa. Novel ini nyata untuk bacaan dewasa sahaja dan hamba malu nak mengesyorkannya kepada sesiapa apatah lagi kepada anak-anak hamba.

Walaupun berniat baik, Norazlin pada hamba tidak melakukan sebarang usaha untuk berubah. Secara mendadak fragmen awal ini ditamatkan dengan kematian Norazlin! Siapa yang membunuh beliau?

Fragmen kedua menumpukan kepada usaha pihak polis untuk mengesan pembunuh Norazlin serta menyelesaikan misteri pembunuhan beliau. Beberapa suspek telah ditahan termasuk Farouk. Namun kesemua mereka dibebaskan kecuali Farouk yang kemudiannya dituduh di mahkamah. Farouk mempunyai alibi yang kuat menyebabkan para pembaca terus berteka teki tentang apa yang terjadi serta siapa yang sebenarnya menjadi pembunuh.

Fragmen ketiga tertumpu kepada diri Farouk sendiri, tentang apa yang beliau rasa dan fikir. ARA mengulangi semula beberapa babak penceritaan seperti yang ada di fragmen satu dan dua, namun kali ini daripada sudut pandangan Farouk sendiri. Farouk ini juga seorang kaki maksiat. Waktu orang lelaki pergi ke masjid pada hari Jumaat pun beliau sempat buat maksiat. Tetapi dalam masa yang sama amat sayang kepada isteri dan anaknya. Nampak macam lelaki yang bertanggungjawab kan. Tetapi yang keji tetaplah keji. Dalam fragmen ini pembaca akan dapat melihat sendiri koflik yang melibatkan Farouk dengan Norazlin, konflik dengan isterinya Suhaila dan konflik dengan dirinya sendiri.

Penahanannya di lokap telah membuatkan beliau mengenali semula tikar sembahyang!

Penceritaan dalam fragmen yang melibatkan Farouk lansung tidak memberikan jawapan tentang siapakah pembunuh Norazlin. Fragmen terakhir bertumpu kepada Suhaila, isteri Farouk. Hamba pada mulanya tertanya-tanya juga kenapa Suhaila kini menjadi antara watak utama. Adakah Suhaila terlibat dalam kes pembunuhan kerana cemburu? Namun seperti dalam fragmen yang melibatkan Farouk, Fragmen yang melibatkan Suhaila juga adalah tentang beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam penceritaan sebelum ini tetapi berada daripada sudut pandangan Suhaila sendiri. Pembaca akan dapat menyelami rintihan hati Suhaila sebagai seorang isteri yang baik dan sayang kepada suaminya. Tetapi Suhaila pun jenis tak solat juga!

Membaca fragmen yang melibatkan Suhaila juga kita tidak akan menemui atau mengetahui siapa sebenarnya pembunuh Norazlin. Teka teki yang turut melibatkan beberapa nama lelaki berpangkat yang berhidung belang yang pernah bersama Norazlin lansung tidak mengena. Bahkan nama-nama mereka seakan hilang sebaik memasuki fragmen kedua.

ARA tidak memberikan jawapan kepada siapa pembunuh Norazlin. Hanya ada satu perenggan pendek yang menunjukkan babak seorang lelaki berkulit hitam yang sedang makan di sebuah restoran yang terletak di utara. Tetapi itupun masih kabur.

Yup, ARA mungkin bukan mahu menjadikan isu pembunuhan ini sebagai matlamat penceritaannya. Apa yang mahu beliau sampikan atau tekankan mungkin berada di sebalik peneritaan watak Farouk dan Suhaila. 

Sebenarnya setelah letih melihat banyak adegan sumbang di dalam fragmen pertama, semangat untuk mebaca mulai melinjak apabila memasuki fragmen yang kedua kerana hamba merasakan kisa selanjutnya mempunyai elemen thriller yang sememangnya hamba gemari. Tetapi itu hanya berlaku di dalam fragmen yang kedua itu sahaja. Fragmen selepas itu ia mula kembali menjadi kisah masyarakat.

Apapun seperti yang dijangka, Farouk didapati tidak bersalah. Namun Suhaila seolah bakal menghadapi hari-hari yang meresahkan!


Kenitra sama sekali tidak menghidangkan kisah tak bermoral.
Kenitra adalah pembakar semangat anak-anak yang sedang belajar.
Tak percaya? Sila baca sendiri!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...