Rabu, 2 November 2022

SEJARAH NANING "TANAH BERKERAMAT PENGHULU BERDAULAT" - Luqman Nulhakim Harzamar


 

Hamba sememangnya giat mengumpulkan buku yang berkaitan dengan adat perpatih atau sejarah Negeri Sembilan. Lebih-lebih lagi sekiranya buku berkenaan adalah terbitan lama. Itupun tidak semua buku dapat hamba beli, lebih-lebih lagi apabila harganya berada di luar kemampuan poket semasa. 

Jadi buku ini hamba beli berdasarkan alasan di atas juga. Ini kerana walaupun Naning kini berada di dalam wilayah negeri Melaka, ia merupakan sebuah kawasan yang penduduknya mengamalkan adat perpatih di luar Negeri Sembilan. Apabila disebut Adat Perpatih, ia bukan hanya sebuah ritual biasa di dalam majlis perkahwinan dan sebagainya, tetapi ia merupakan sebuah sistem yang teratur lengkap dengan para pembesar adatnya seperti Undang, Penghulu, Buapak, Dato' Tiang Balai serta unsur lain seperti persukuan, perut, istiadat kerjan dan sebagainya.

Melalui buku ini, penduduk Naning mendakwa bahawa wilayah mereka diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, pendiri Adat Perpatih itu sendiri. Kelompok Minangkabau datang sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah atas permintaan bagindayang meminta mereka untuk membantu mengislamkan masyarakat orang asli di hulu Melaka.

Mereka diberikan sebuah kawasan untuk dibuat negeri dan Datuk Perpatih dilantik sebagai sultan. Namun kerana menghormati Sultan Melaka dan tidak mahu ada dua nakhoda dalam satu bahtera, maka Datuk Perpatih hanya menggunakan gelaran Penghulu sahaja. Gelaran penghulu berasal daripada perkataan Pemegang Hulu, yang juga bermaksud yang memegang kekuasaan atau hulu parang yang bermaksud mereka yang mempunyai kekuasaan.

Agak banyak kisah berkenaan Datuk Perpatih di dalam buku ini yang memberikan banyak maklumat baharu kepada hamba. Hamba tidak pernah tahu bahawa Datuk Perpatih ini telah berhijrah ke Tanah Melayu. Ini kerana tidak ada jejak seperti kubur beliau di sini. Justeru mereka yang memegang kekuasaan penghulu Naning sejak zaman dahulu adalah merupakan waris daripada Datuk Perpatih sendiri.

Daripada kisah Datuk Perpatih buku ini berlanjutan kepada penerangan berkenaan sejarah Naning, adat perpatih yang diamalkan di Naning, kedudukan dan kuasa penghulu Naning, sejarah Naning merentas zaman - dari zaman Melaka membawa kepada Portugis, Belanda dan Inggeris. Ia berakhir dengan sejarah perjuangan Datuk Dol said yang masyhur itu.

Dalam kisah perang Naning ini ada satu maklumat baharu yang hamba dapati iaitu tentang pengkhianatan Syed Shaaban, menantu Undang Rembau, sehingga membawa kepada kekalahan Naning. Sebagai balasan Syed Shaaban telah dikurniakan kawasan Tampin untuk memerintah dan digelar Tunku Besar Tampin. Bagi hamba ini adalah satu perkara yang besar yang mesti diperjelaskan dengan betul dari segi kesahihannya. Ini kerana institusi Tunku Besar Tampin masih lagi wujud hingga ke hari ini. (Kisah ini juga menjawab persoalan hamba bagaimana seorang berketurunan Arab boleh menjadi pemerintah di Negeri Sembilan, sedangkan para Yam Tuan, Undang dan Datuk Adat yang lain adalah Melayu Minangkabau).

Datuk Perpatih adalah adik beradik tiri dengan Datuk Ketemenggungan yang mengasaskan Adat Temenggung. Mereka berselisih dalam beberapa perkara yang melibatkan adat. Hinggalah tiba satu peristiwa yang dinamakan peristiwa digigit anjing yang membawa persetiaan di antara mereka tentang kawasan pengamalan adat masing-masing. Adat Temenggung banyak di amalkan di kawasan pantai manakala Adat Perpatih di kawasan darat dan hulu. 

Cerita ini membawa sedikit tanda tanya kepada diri hamba. Ini kerana selepas peristiwa inilah adik beradik ini berpisah dan Datuk Perpatih datang ke Melaka seperti kisah di atas tadi. Jadi, Datuk Perpatih datang sewaktu era Sultan Muzaffar Shah dan negeri Melaka sememangnya mengamalkan Adat Temenggung. Mustahillah Adat Temenggung ini baru diamalkan di Melaka semasa zaman Sultan Muzaffar (masa kedua beradik adat ini berpisah). Kedua adat ini mungkin telah wujud ratusan tahun sebelum itu lagi. Adakah berkemungkinan bukan Datuk Perpatih yang membuka Naning, ataupun Datuk Naning ketika itu telah ratusan tahun umurnya?

Ada sehelai baju yang mejadi pakaian kebesaran Naning yang dipanggil suindusen wa is tobrakin. Baju ini dikatakan mempunyai kesaktian dan telah hilang dari simpanan. Penulis mendakwa baju ini pernah dimiliki oleh Nabi Syisy (ejaan penulis sendiri). Hanya keturunan baginda yang memiliki baju ini. Pertamanya cara tulisan suindusen wa is tobrakin itu sendiri kalau mereka yang belajar bahasa Arab tentu akan tersengih membaca cara penulisannya. Kedua jangan mudah mensabitkan sesuatu benda seperti pakaian ini dengan seseorang Nabi kalau tidak ada nas yang sorih untuk menguatkannya. Orang Melayu ini kalau ada perkara yang dikaitkan dengan Nabi cepat benar percaya tanpa perlu usul periksa. Banyak kisah yang mengaitkan sesuatu perkara besar dengan bangsawan Melayu hanya untuk menunjukkan mereka itu hebat, walaupun tiada pembuktian.

Bercakap tentang pembuktian ini, penulis buku ini sendiri tidak berapa suka dengan cara ini kerana mendakwa ia adalah teknik pengkajian oleh pihak barat. Kerana itu dalam buku ini banyak perkara yang diambil daripada penceritaan lisan, daripada generasi yang terpisah jauh beratus tahun dengan kisah penceritaaan asal. Hingga kadang-kadang penulis macam nampak meremehkan para pengkaji lain, walaupun nama mereka tidak disebut. Tetapi ia seolah menunjukkan kajian orang lain tidaklah hebat ataupun mungkin tidak mencapai tahap yang diinginkan hanya kerana berbeza cara pengkajian dengan penulis.

Ada di antara amalan adat ini yang hamba lihat boleh membawa kepada syirik. Walaupun penulis memngatakan kesemua Penghulu adalah orang alim, bagi hamba kalau benar alim, mereka tidak akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Antaranya pada muka surat 184, 'Di samping itu, dalam pemilihan datuk Naning terdapat konsep mendapat restu daripada alam ghaib atau makhluk halus. Ahli lembaga adat akan membuat kesepakatan untuk meminta Datuk Pawang Seri Naning menilik dan bertanyakan kepada makhluk alam ghaib merestui bakal penyandang Datk Naning kelak.' Makhluk ghaib ini mereka panggil Datu Serban Kuning dan Datuk Lebai Seklan!

Salah satu 'rukun' dalam Adat Berkerjan adalah bermunajat di Bukit Penyalang. Bermunajat itu baguslah, apabila ada dilakukan solat sunat dan zikir. Tetapi lepas itu bila ada pacak bendera pada setiap arah mata angin, bakar kemeyan dan sebagainya, ia dah mula dimasuki unsur khurafat. Bak kata penulis di muka surat 191, '......Selepas bacaan doa, wirid-wirid tertentu dibacakan dan ketika ini dipercayai makhluk-makhluk halus yang mendiami puncak Bukit Penyalang ini akan merestui Datuk Naning yang baru.'

Penulis mengkiaskan perbuatan seperti ini samalah dengan amalan berdoa di makam RasululLah di mana kita memohon kepada Allah dengan keberkatan Nabi. Janganlah kita samakan makhluk halus yang tak tentu siapa dengan Nabi. Jauh benar martabat mereka antara langit dengan bumi. Bahkan martabat manusia dengan jin itu amat jauh bezanya. Sudahlah begitu digunakan pula satu hadith untuk menghalalkan perbuatan ini. Penulis memetik satu hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, (Hanya segala amal dengan niat, dan bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan....)

Pertamanya, penulis menterjemahkan hadith inipun kurang tepat. Dan yang keduanya pelajarilah betul-betul akan pentafsiran hadith ini melalui ulama yang mursyid. Ketiganya hadith ini tidak berkait lansung dengan perbuatan khurafat. Jikalau diterima pandangan penulis ini maka kita khuatir satu hari nanti akan ada orang makan khinzir tetapi diniatkan ayam!

Baik kita tinggalkan bab adat ini. Dari segi cara penulisan, penulis kerap mengulang-ulang ceritanya pada tempat yang berbeza. Contohnya kisah kedatangan Datuk Perpatih yang boleh dijumpai di beberapa tempat yang berbeza. Banyaknya beliau mengulang cerita inilah yang menjadikan buku ini tebal (bila tebal, tinggilah kos mencetaknya dan tinggilah harga yang dijual kepada kami pembaca). 

Pembaca akan menjumpai perkataan pentakbiran di banyak tempat. Perkataan ini sepatutnya ditulis pentadbiran. Mulanya hamba ingat ia satu kesilapan, tetapi apabila menemuinya di banyak tempat dan tidak ada lansung perkataan pentadbiran, maka hamba rasa penulis sengaja menggunakannya. Perkataan Pentakbiran dan Pentadbiran, keduanya berasal daripada bahasa Arab dan keduanya membawa maksud yang berbeza. Penulis tidak menjelaskan kenapa beliau menggunakan perkataan sedemikian.

Kadangkala ada kesilapan penggunaan penjodoh bilangan yang begitu ketara dan hamba rasakan tidak sepatutnya berlaku seperti 'sebuah' baju (m.s. 180) dan 'sebuah' tiang (m.s. 189). Kesilapan kecil yang lain adalah penggunaan kata sendi 'di' sama ada perlu dijarakkan atau dirapatkan, juga perkataan sure name di muka 50 yang sepatutnya ditulis surname.

Apapun, secara keseluruhan buku ini memberikan banyak maklumat mengenai Naning dan adat yang diamalkan oleh mereka. Namun ia masih membuka banyak ruang perbincangan untuk para pengkaji.


Kenitra ditulis oleh penulisnya sendiri sekaligus mengelakkan
penyelewengan fajta di masa akan datang!



2 ulasan:

  1. Terlebih dahulu setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas ulasan dan kritikan terhadap buku ini. Sejujurnya, kritikan dan komentar adalah penting untuk proses penyebaran serta menjadikan kita lebih kritis dalam membicarakan sesebuah perkara. Hampir empat tahun akhirnya sebuah ulasan yang kritis terhadap buku ini telah ditulis. Hal ini penting untuk mengetahui sejauh mana impak dan penerimaan masyarakat terhadap maklumat yang disajikan.

    Di awal buku ini telah dideklarasikan pendekatan yang digunakan untuk menuntun pembacaan adalah 'Historical Particularism' atau Partikularisme Sejarah yang secara ideologinya hampir bertentangan dengan konsep 'Common History' yang diguna pakai oleh aliran kemanusiaan cabang Eropah. Hal ini demikian kerana, pendekatan partikularisme sejarah merupakan sebuah keilmuan sejarah yang berasal daripada Amerika Syarikat yang dipelopori Franz Boas yang menolak gaya penulisan etnosentik dalam pemahaman terhadap sejarah. Justeru, penulisan ini cuba meminimalkan pandangan etik dan lebih menggunakan pemahaman etik tempatan untuk mendapatkan sebuah citra dalam kaca mata penduduk tempatan. Mengenai masalah tatabahasa merupakan dari kelemahan penulis sendiri kerana kurang memberikan perhatian terhadap beberapa perkataan penting dan kesalahan penjodoh bilangan.

    Namun demikian, kritikan yang dibuat terhadap pengkaji-pengkaji lain bukan bersifat merendahkan tetapi lontaran kritis yang berdasarkan basis akademis. Jarak kajian Naning sebelum penulisan ini ditulis hampir 30 tahun. Secara logiknya, perkembangan ilmu sejarah di Malaysia semakin pesat dan banyak konsep serta teori baharu yang diguna pakai bagi mencitrakan sedekat mungkin peristiwa sejarah dalam citra minda kita. Untuk makluman, pendekatan Partikularisme Sejarah merupakan sebuah pendekatan yang kurang popular dalam kalangan pengkaji sejarah di Malaysia. Hal ini kerana, para pengkaji sejarah secara sedar atau tidak, terserap dengan ilmu intelektual kolonial sehingga menyebabkan matlamat sesebuah peristiwa sejarah itu akhirnya menjadi etnosentrik. Pandangan ini telah lama dilontarkan oleh Prof Ulung Shamsul Amri Baharudin (2011) dalam sebuah kertas kajian bertajuk Ilmu Kolonial dalam Sejarah Pembentukan Malaysia.

    Umumnya, penulisan ini menggunakan kaedah etnografi untuk mendapatkan sisi citra pemahaman penjajah terhadap kebudayaan Naning dan pemahaman masyarakat tempatan itu sendiri. Sebenarnya kaedah ini membantu untuk penulis bersifat adil terhadap pandangan daripada dua pihak yang secara biologisnya pernah bertembung dalam realiti pencanggahan pemahaman antara dua budaya (Eropah-Melayu).

    Dari sudut teologinya, penulis hanya menulis kembali pemahaman masyarakat tempatan terhadap konsep yang difahami secara basis dan penerangan daripada penduduk tempatan. Secara etika, adalah salah jika seseorang pengkaji membahaskan perkara-perkara yang bukan menjadi kepakarannya terutama sekali penafsiran Al-Quran dan Hadis. Pandangan dan konsep yang dibawa adalah murni daripada pemikiran masyarakat tempatan tanpa menokok-nambah citra akal-budaya mereka.

    Akhir kalam, ucapan terima kasih dan taniah kerana berjaya membuat sebuah ulasan buku yang bersifat kritis serta sarat dengan ilmu pengetahuan. Ini menujukkan pengulasnya benar-benar meneliti dan menghalusi setiap maklumat yang dikupas dengan baik. Untuk membantu pengulas memahami dengan lebih teliti mengenai penulisan ini, disarankan untuk membaca sebuah tesis yang ditulis penulis bertajuk Struktur Sistem Kebudayaan Naning dari Aspek Sejarah Kebudayaan (2019), Universiti Malaya.

    Semoga terus maju dan salam minda cerdas. sekian.

    Luqman NulHakim Bin Harzamar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. satu penghargaan mendapat ulasan pengarangnya sendiri.

      Padam

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...