Jumaat, 18 November 2022

SHERLOCK HOLMES, A STUDY IN SCARLET & THE SIGN OF FOUR - Sir Arthur Conan Doyle


Buku ini menghimpunkan dua buah karya awal Sir Arthur Conan Doyle dalam siri Sherlock Holmes (SH) iaitu A Study In Scarlet dan The Sign Of Four. Bagi peminat kisah Shelock Holmes sama ada melalui buku mahupun filem, pastinya terpesona dengan gaya penyiasatan yang dijalankan oleh SH yang bijak menghidu maklumat melalui clue yang ada di sekitar tempat kejadian. Segala clue yang mungkin tidak dihiraukan oleh orang lain ataupun tidak memberikan sebarang makna kepada mereka, SH boleh membuat kesimpulan yang hampir tepat serta menuju kepada penyelesaian.

Watak SH dinspirasikan daripada seorang guru Sir Arthur di universiti. Manakala watak Watson pula hamba percaya adalah diri beliau sendiri yang juga seorang doktor. Walaupun Sir Arthur adalah seorang doktor, beliau juga mahir dalam ilmu lain seperti botani. Ia sekaligus menjawab pertanyaan hamba bagaimana SH boleh menjadi begitu bijak. Sir Arthur menggunakan pengetahuannya di dalam bidang perubatan, botani dan kimia untuk menjadikan watak SH kelihatan begitu hebat.

A Study In Scarlet.

Seperti yang telah dimaklumkan, ini adalah buku pertama dalam siri SH. Ia memperkenalkan watak Dr Watson terlebih dahulu, seorang doktor yang menjadi veteran perang dunia dan pernah berkhidmat di Afghanistan. Pencariannya terhadap sebuah rumah yang murah sewanya membawa kepada perkenalan beliau dengan SH yang juga sedang mencari teman penyewa. Pada peringkat awal ini juga diperlihatkan kegilaan SH dalam melakukan eksperimen melibatkan bahan kimia.

SH hidup sebagai penyiasat bebas yang memberikan perkhidmatan kepada sesiapa yang berhajat kepada kepakarannya termasuklah para polis yang menghadapi masalah menyelesaikan kes yang mereka sedang siasat. Kadang-kadang SH dilihat seperti kesal kerana penat lelah beliau hanya menyebabkan orang lain yang mendapat pujian dan anugerah.

Satu pembunuhan misteri telah berlaku di sebuah rumah kosong dan kemudiannya diikuti dengan satu lagi pembunuhan. SH memperlihatkan kehebatannya 'membaca' masalah melalui clue sedia ada. Melalui satu clue yang dilihat agak kuat, sebentuk cincin perkahwinan, kes berkenaan dapat diselesaikan. 

Separuh bahagian buku ini kemudiannya mmebawa pembaca ke Amerika, berkisah tentang puak Mormon. Pada mulanya hamba menyangkakan ia adalah sebuah kes baharu. Rupanya Sir Arthur bercerita tentang panjang lebar tentang kisah lampau yang membawa kepada pembunuhan dua orang lelaki tadi. Penceritaan panjang lebar ini menjawab segala persoalan di minda pembaca dan memberikan logika kepada setiap perkara misteri yang timbul.


The Sign Of Four

Hamba agak terperanjat dalam permulaan kisah ini apabila melihat SH digambarkan sebagai seorang penagih dadah! SH berbuat demikian kerana merasakan minda beliau tidak diransang lantaran tiada kes untuk disiasat! Memang tak semenggah juga SH ini walaupun beliau menyedari akibat buruk penagihan dadah.

Seorang gadis bernama Mary Morstan hadir membawa misteri tentang kehilangan bapanya serta penerimaan sebutir mutiara setiap tahun selepas pemergian bapanya. Satu nota yang membawa hajat seseorang untuk bertemu Mary telah menyebabkan beliau melibatkan SH dan Dr Watson dalam hal ini.

Seperti biasa SH dengan jayanya menyiasat hal ini dan pasti ada kematian yang berlaku. Dalam babak akhir sebelum tertangkapnya penjenayah, ada adegan kejar mengejar bot laju berkuasa wap di Sungai Thames. Nampaknya pemikiran tentang adegan lasak ini telah lama ada dalam penulisan orang barat sejak sekian lama lagi. 

Seperti mana dalam buku pertama, buku kedua ini seolah mempunyai bahagian kedua yang membawakan kisah yang berasingan yang akan merungkai misteri kehilangan bapa Mary Morstan serta misteri tinggalan harta karun. Kali ini pembaca dibawa ke India, sebuah wilayah jajahan British. Dalam pengkisahan ini juga penulis ada memasukkan tentang kapal yang membawa jemaah haji Melayu dari Singapura menuju ke Mekah. Ini menunjukkan kepada pengetahuan menjdalam penulis tentang tanah jajahan British serta bangsa yang ada walaupun rasanya beliau sendiri tidak pernah ke Tanah Melayu mahupun Singapura.

Pujian boleh diberikan kepada mutu terjemahan buku ini yang amat baik sekali dan tidak terasa bagaikan ada yang tak kena apabila membacanya. Terpesona membaca kisah SH ini, hamba mungkin akan membeli boxset SH yang menghimpunkan semua kisah lengkap beliau.

Pasti muntah membacanya nanti!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...