Khamis, 8 Disember 2022

CINTA HARI-HARI RUSUHAN - Faisal Tehrani


 

Secara kebetulan naskhah ini hamba baca di antara hari-hari selepas Pilihanraya Umum ke-15 sehinggalah selepas pembentukan kabinet baharu. Seakan boleh dihubungkaitkan segala peristiwa yang berlaku dalam fatrah ini dengan apa yang dihidangkan oleh Faisal Tehrani. Kerusuhan di dalam novel bagaikan kerusuhan yang melanda hati dan jiwa rakyat negara ini melihat telatah pimpinan parti politik pasca PRU-15.

Mahasiswa tahun 70an dikenali sebagai mahasiswa yang berani memperjuangkan hak rakyat. Mahasiswa bukan sahaja berani bahkan petah berbicara dan berpidato di hadapan khalayak bagi menyampaikan isi hati mereka berkaitan kebobrokan yang melanda. Suara mahasiswa yang lantang sedikit sebanyak menggugah hati pemerintah. Hamba percaya ramai antara kita pernah membaca (bahkan mengalami dan turut serta) mengenai demontrasi mahasiswa membela petani kebuluran di Baling. Demonstrasi ini bukan sahaja kepada penangkapan beberapa pimpinan pelajar tetapi ada yang lari hingga ke luar negara sekaligus menjadi pelarian politik.

Peristiwa di atas menjadi latar cerita dan peristiwa novel ini yang diungkapkan melalui watak utamanya - Basri bersama rakan-rakan beliau yang sehaluan. Akibat penangkapan besar-besaran tersebut, Basri terpaksa melarikan dirinya dari tanah air, melalui perjalanan panjang melalui beberapa buah negara sehingga berhenti di London. Watak Basri seharusnya mengingatkan hamba kepada Hishamuddin Rais, tokoh pelajar yang melarikan diri ke luar negara. Walaupun apabila membacanya hamba yakin ia tidaklah 100% kisah Hisham, namun hamba percaya novel ini mengambil inspirasi daripada kisah pelarian beliau.

Selepas 20 tahun, watak Basariah bertemu dengan Basri yang kemudiannya sedikit demi sedikit penulis membuka rahsia mereka sehinggalah ke akhir cerita apabila Basri mengetahui siapa sebenarnya Basariah. Basri melarikan diri kerana percaya beliau bukannya seorang penjenayah yang harus ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara. Beliau hanya memperjuangkan nasib rakyat. Beliau berkelana ke merata negara. Dalam masa yang sama beliau membawa hatinya yang lara mengenangkan apa yang berlaku terhadap perhubungannya dengan tunangnya yang bernama Tengku Valizah. 

Kembalinya Basri ke Kuala Lumpur (sebagai warga British) memperlihatkan perbezaan negara hari ini dengan masa lalu. Kampung halaman beliau juga sudah berubah kerana kemodenan (dibaca kerakusan politikus yang menggadai harta rakyat). Sahabat yang bersama beliau memperjuangkan nasib rakyat hanya seorang dua sahaja yang masih kekal bersemangat begitu. Yang lainnya sudah berubah sifat dan laku, berperangai sama seperti pemimpin yang pernah mereka kutuk semasa zaman belajar dahulu. 

Pertemuan semula dengan Tengku Valizah telah membongkar banyak perkara. Tidak guna lagi rasa sesal atas apa yang telah berlaku. Namun Basri umpa terus memendam jiwanya yang lara....



KENITRA adalah kisah perjuangan
mahasiswa Malaysia di Maghribi.
Tetap kaya dengan elemen perjuangan dan penderitaan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...