Jumaat, 16 Disember 2022

MAO ZEDONG, CHINA DALAM DUNIA ABAD KE-20 - Rebecca E. Karl


 

Buku ini selalu hamba lihat berada di rak pameran oleh IBDE. Berasa kurang berminat untuk membelinya sebab diri sendiri kurang berminat dengan tokoh komunis mahupun ideologinya. Secara kebetulan perpustakaan jabatan mendapat buku ini melalui pinjaman kelompok dari Perpustakaan Negara. Maka hamba pinjam ia dan cuba melihat apa keistimewaan buku ini sehingga IBDE menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.

Sepertimana kebanyakan tokoh-tokoh revolusi yang lain, kehidupan mereka semasa kecil adalah susah dan penuh dengan penderitaan. Mereka melihat ketidakadilan berlaku di mana-mana termasuklah di kalangan keluarga sendiri. Begitulah juga dengan Mao Zedong, yang berasaskan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem semasa, berazam untuk mengubahnya.

Walaupun berkiblatkan sosialis dan komunis yang bermula di Soviet Union, tetapi amalan di China sebenarnya agak berbeza dengan tanah kelahiran ideologi ini. Tetapi semangat mereka tetap sama. Hamba melihat kesungguhan Mao untuk mewujudkan ideologi baharu kerana merasakan kezaliman yang berlaku oleh pemerintah semasa, menyebabkan beliau mewujudkan kezaliman beliau sendiri demi untuk mencapai hasratnya. 

Berapa ratus ribu orang telah terbunuh, baik dari kalangan penentang mahupun dari pihak mereka sendiri. Lebih kurang Korea Utara juga - kalau ada pemimpin dalaman yang dirasakan khianat, maka aka ada cara khusus yang digunakan untuk melenyapkan mereka.

Bahkan Mao sendiri apabila telah berundur dari puncak kuasa dan merasa tidak puas hati dengan cara penggantinya, melakukan pelbagai cara untuk menjatuhkan mereka. Bukan sesuatu yang pelik apabila ketidak tentuan dan huru hara yang berlaku itu bukanlah datang daripada rakyat, tetapi dirancang dengan sebaiknya oleh pemimpin tertentu demi kuasa. Walaupun mereka sedar banyak nyawa yang melayang akibat sesuatu tindakan, tetapi itu sama sekali tidak menghalang mereka untuk berlaku zalim. Dalam hal ini walaupun telah berundur, Mao sebenarnya masih lagi memerintah!

Ideologi sosialis mahupun komunis bukanlah satu pilihan yang membawa kebaikan. Walaupun hasrat hatinya adalah untuk keadilan masyarakat khususnya golongan rendah, tetapi mereka kadangkala lebih teruk daripada kapitalis. Bukan bermakna pemimpin komunis ini bila di puncak kuasa akan duduk makan bersila juga seperti rakyat biasa, rakyat yang makan bersila akan tetap sedemikian, mereka akan mengecapi status kemewahan dengan bayang-bayang seolah masih terus memperjuangkan nasib bangsa.

Satu perkataan yang pernah digunakan oleh PM-10 dan kerap ditemui dalam buku ini - kesenjangan!


Nota - Buku ini dipinjam daripada Perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...