Isnin, 26 Disember 2022

MAT SOM - Lat


Naskhah yang ada pada hamba ini adalah naskhah lupus perpustakaan daripada Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam yang diberikan kepada pustakawan jabatan sewaktu kami melawat premis tersebut baru-baru ini. Pustakawan pula menghadiahkan kepada hamba menyedari minat hamba kepada komik dan kartun. Hamba menerimanya dengan rasa gembira. Walaupun keadaan fizikalnya mengalami sedikit kerosakan, tetapi ia masih lagi boleh dibaca.

Hamba pernah mengulas mengenai Mat Som pada tahun 2016. Posting berkenaan boleh dilihat di sini. Bezanya, naskhah yang hamba ulkas tersebut adalah naskhah berbahasa Inggeris. Justeru bagi posting ini hamba akan mengulas dari sudut lain, berbeza daripada tulisan yang sebelum ini.

Mat Som adalah kisah seorang pemuda kampung yang tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai penulis sambilan. Beliau tinggal di pinggir bandar bersama sahabatnya So'ud dan berjiran dengan seorang gadis yang jelita yang dikenali sebagai Yam. Walaupun berjiran, mereka tidak bertegur sapa dan hanya menjeling jeling manja.

Sepucuk surat daripada ayahnya, Mat Top yang meminta beliau menghubungi Wan Faridah bagi berkenal-kenal sebelum dilamar menjadi isteri mendatangkan dilema kepada Mat Som. Wan Faridah adalah teman sekampung beliau yang sudah lama tidak ditemui. Dalam memori Mat Som, Wan Faridah hanya muncul dalam zaman kanak-kanak mereka, seorang anak kecil yang tembam dan berhingus tetapi rapat dengan Mat Som serta abangnya Mat Bo. 

Kisah Mat Som berlatarkan tahun 80an. Kuala Lumpur tetap sibuk seperti sekarang dengan bas masih lagi menjadi pengangkutan pilihan. Bas mini adalah raja dengan penumpang disumbat sepenuhnya seperti sardin di dalam tin. Lima ringgit masih dikira jumlah yang besar dan kadangkala berat untuk diberi pinjam. Telefon awam di tepi jalan adalah wasilah utama untuk bergayut dengan orang tercinta. Penjual ubat gah bersyarah menjaja dagangan di jalanan. KL pula apabila hujan lebat mudah terjadi banjir kilat. Namun begitu, walaupun berada pada era 80an, gaya trade mark Lat adalah gaya kartun era 60an. Ini boleh dilihat pada gaya pakaian Mat Som dengan seluarnya yang besar serta rambutnya yang berjambul. Begitu juga dengan gaya pemakaian watak-watak lain yang hampir serupa.

Gaya imbas kembali sering digunakan oleh Lat untuk mengimbau masa lalu Mat Som di kampung. Anak-anak bebas bermain dan berkejaran tanpa rasa takut. Bahkan Mat Som dan rakan-rakannya berperahu mencari biji teratai tanpa pengawasan orang dewasa.Nilai-nilai keluarga di kampung yang menghormati orang tua serta solat berjemaah ditonjolkan sebagai satu nilai murni. Selain itu ada juga amalan khurafat seperti meminta izin penunggu sebelum membuang air kecil di pinggir hutan.

Ayah Mat Som amat bangga dengan pencapaian anaknya. Walaupun Mat Som hanyalah penulis sambilan, tulisan Mat Som yang tersiar di akhbar akan digunting dan disimpan. Beliau juga bangga menceritakan tentang Mat Som kepada rakan-rakannya. Mat Top bekerja di sebuah kapal korek. Mat Som tidak pernah tahu tentang tugas ayahnya di kapal korek berkenaan sehinggalah pada suatu hari apabila beliau terpaksa bertemu ayahnya di kapal korek untuk memohon izin pulang semula ke bandar kerana mendapat tawaran bekerja tetap.

Naskhah ini juga 'mempromosikan' kelompok sasterawan dan penyair melalui tugasan M,at Som di majlis deklamasi sajak. Beliau menampilkan sajak-sajak A. Ghafar Ibrahim (Tak Tun), Saleh ben Joned (Aku), T. Alias Talib (Status Symbol) dan A. Latif Mohidin (Songsang). Beberapa lakaran wajah kelompok penyair ini juga dilukis oleh Lat. Paling istimewa adalah penampilan Pyanhabib yang menjadi teman sementara Mat Som. 

Babak akhir amat istimewa apabila Mat Som tampil di konsert rock (Ramli Sarip) dengan memakai baju Melayu lengkap bersamping bersama Yam, di tengah-tengah kelompok rockers yang berambut panjang dan berseluar ketat!


Nota - Buku ini dihadiahkan oleh Puan Zuraida Ashaari.








 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...