Sabtu, 31 Disember 2022

THE EXTRAORDINARY ADVENTURES OF ARSENE LUPIN, GENTLEMAN BURGLAR - Maurice Leblanc


 

Apa yang extraordinarynya tentang arsene lupin? Kisahnya jika berlaku di zaman ini tidaklah luar biasa sangat. Tetapi latar masa penceritaannya sekitar tahun 1905 dibandingkan dengan aksinya yang melampaui zaman, itu yang membuatkan Arsene Lupin seorang yang extraordinary. Justeru kisah Lupin ini telah melebihi 100 tahun namun masih dibaca hingga ke hari ini. Namun hamba pertama kali mengetahui nama Lupin bukanlah mellaui tulisan Leblanc tetapi melalui ulasan filem-filem anime mengenai Lupin. Orang hari ini lebih mengenali Lupin melalui anime berbanding versi novel!

Digambarkan sebagai seorang pencuri yang budiman kerana hanya merompak harta orang kaya dan bangsawan, mengambil hanya yang perlu baginya dan kadangkala memulangkan semula harta curian apabila ada sebab tertentu. Orang barat kerap memutihkan watak yang sebenarnya hitam. Bukan Lupin sahaja pencuri yang dianggap budiman dan mulia, sebelum itu beratus tahun sebelumnya orang telah mengenali Robin Hood. Mencuri adalah perbuatan buruk dan hina. Tidak ada pencuri yang mulia. Namun melalui tulisan seperti ini mereka cuba memutihkan hal yang hitam, seolah mencuri boleh dilakukan dalam keadaan tertentu. Bahkan barat juga pernah menjadikan perbuatan sihir tidak kelihatan begitu buruk dan jahat melalui siri-siri Harry Potter. Benar dari segi sastera, karya sebegini boleh dianggap baik dan hebat. Namun dari segi moralnya, pembaca tidak matang dengan mudah boleh dipengaruhi. Dan percayalah bahawa pembaca tidak matang ini ramai - walaupun usia mereka bukan lagi di dalam lingkungan kanak-kanak.

Ini adalah himpunan sembilan kisah awal Lipin yang pernah terbit di majalah Je Sais Tout. Walaupun mempunyai sembilan kisah berasingan, tetapi ia berjaya membentuk sebuah cerita yang berkait. Lupin mempunyai teknik penyamaran yang baik, pemikiran yang hebat sehingga berjaya membuat perancangan yang mustahil. Lahir daripada keluarga yang miskin, bakat mencurinya telah dimulai semenjak zaman kanakkanak. Namun dalam buku ini juga penulis cuba menunjukkan bahawa kadangkala Lupin juga mempunyai saingan yang hebat sehingga hampir menggugat akan dirinya. Lupin juga sebagai seorang manusia mempunyai hati dan perasaan. Hanya kerana Cik Nelly, Lupin memulangkan kembali barang-barang yang dicurinya.

Walaupun beliau seorang pencuri, beliau mempunyai prinsip menepati janji dan itulah yang dipaparkan oleh Leblanc pada banyak tempat. Dalam melakukan kegiatan beliau, Lupin ternyata tidak bergerak secara berseorangan. Namun di dalam buku ini nama-nama pengikut beliau tidak ditonjolkan. Hanya Lupin yang menonjol sebagai perancang utama.

Hamba telah membeli empat buah buku Lupin yang dijual secara kombo di Pesta Buku Antarabangsa Selangor baru-baru ini. Satu dah lepas, tiga lagi entah bila!



KENITRA hanya mahu mencuri hati anda!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...