Rabu, 11 Januari 2023

ODYSSEY BRAVING THE STORM, SUNGAI BULOH HOSPITAL COVID-19 JOURNEY


 

Jabatan hamba telah menerima naskhah buku ini daripada Hospital Sungai Buloh (HSB) pada pertengahan Disember 2022 yang lalu. Ia adalah kisah perjalanan dan perjuangan warga HSB melawan Covid-19. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama buku berbentuk coffee table book ini dihasilkan oleh HSB. Sebelum ini mereka pernah menghasilkan buku dalam format yang sama bertajuk Emersion: Transcending The Tide pada tahun 2021. Buku berkenaan juga menceritakan tentang pengalaman mereka berhadapan dengan Covid-19 bermula daripada jangkitan awal di Malaysia, kemasukan pesakit yang pertama sehinggalah apabila kes telah mula mereda. Namun mereka berharap bahawa buku ini tidak akan ada lanjutannya - bermaksud mereka tidak mahu lagi penyakit ini terus melanda!

Tidak mereka mahupun kita menyangka bahawa kes akan lebih memuncak pada tahun 2021. Justeru buku ini membawakan beberapa tulisan warga HSB yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai perubatan, mewakili unit mereka bertugas menceritakan sedikit sebanyak pengalaman masing-masing. Perkara yang paling mahla tentunya adalah gambar-gambar yang dipaparkan memandangkan apa yang berlaku di dalam wad tidak diketahui oleh kita semua.

Gambar-gambar merangkumi persediaan HSB dari segi perancangan dan peralatan, gambaran di wad, kaunseling keluarga pesakit, urusan di bilik mayat, pemberian vaksin, rehabilitasi pesakit dan sehinggalah kepada gambar-gambar yang memberikan kecerian di akhir buku yang memberikan gambaran bahawa keadaan semakin pulih.

Pictures speaks louder than words kata orang kampung hamba. Kita boleh merasai betapa bersungguhnya warga KKM bekerja, kepenatan yang mereka rasa dan masa yang mereka hilang. Gambaran penuh di wad amat meruntun hati apatah lagi apabila melihat kanak-kanak tanpa ibu bapa di sisi. Ketidakselesaan memakai PPE dalam waktu yang panjang hanya mereka sahaja yang tahu azabnya. Gambar-gambar pengurusan jenazah juga menunjukkan rasa hormat mereka kepada jenazah. Jenazah diperlakukan sebaiknya, dimandi, dikafan dan disolatkan. Jenazah ditempatkan di ruang jenazah yang sempurna dan tiada yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya seperti yang kita lihat berlaku di negara luar. Tidak ketinggalan gambar penghargaan daripada orang ramai dan bekas pesakit yang mengirimkan kad ucapan serta kek bagi menghargai perawat mereka.

Hamba mengenali Pengarah HSB ketika peperangan ini berlaku, yang telah hamba kenali semenjak 2014 lagi. Dr Kuldip Kaur telah memainkan peranan yang besar dan penting menerajui HSB dan warganya melawan Covid-19. Mepunyai pasukan yang kuat dan berkaliber, beliau telah berjaya membawa pasukannya berjuang bermati-matian. Sepatah kata beliau di akhir buku ini menarik minat hamba. Kata beliau, 'Every champion was once a contender who refused to give up!'

Kudos Dr Kuldip and bravo zulu!


Nota - Buku ini akan diletakkan di Perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh bagi tujuan rujukan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...