Selasa, 21 Februari 2023

ADA APA DALAM ISLAM - Sabaruddin Hussein, Mohd Fakhruddin Tajuddin


 

Buku ini hamba perolehi selepas 3 hari keluar dari kilang dan lebih istimewa dihantar sendiri oleh penulisnya Ustaz Sabaruddin Hussein. Inilah kali pertama hamba mengenali dan bertemu empat mata dengan Ustaz Saba. Ustaz yang asalnya memaklumkan akan penjualan buku baharunya di kumpulan Whatsapp yang hamba sertai telah menarik minat hamba untuk menyokong dan memiliki buku ini. Memang tidak hamba sangka bahawa beliau akan membawa sendiri bukunya ke pejabat hamba. Kami berbual panjang mengenai industri buku, pengalaman beliau di Maghribi serta projeknya yang akan datang.

Buku Apa Ada Dalam Islam ditulis untuk memberikan kefahaman masyarakat kepada Islam. Ia tidak terhad kepada orang Islam sahaja bahkan kepada segenap lapisan masyarakat. Penulis mahu memperbetulkan kesilap fahaman sesetengah pihak terhadap Islam. Salah faham ini tidak terhad kepada orang bukan Islam sahaja tetapi juga kepada segelintir umat Islam sendiri yang ada kalanya bertindak lebih jauh lagi sehingga bertindak keluar dari agama.

Memulakan bukunya dengan penerangan tentang kesejagatanh Islam, penulis kemudiannya masuk dengan lebih mendalam terhadap beberapa perkara yang melibatkan tentang konsep ketuhanan, Nabi dan Rasul, perbandingan antara agama, kehidupan dan kematian diikuti tentang penjelasan mengenai alam akhirat.

JIka hal-hal di atas adalah lebih kepada perkara beragama, dalam bahagian selanjutnya penulis melanjutkan lagi tentang Islam dan kaitannya dengan lain-lain perkara yang melibatkan ketamadunan seperti pendidikan, ekonomi, undang-undang dan politik.

Penerangan yang diberikan adalah menggunakan bahasa yang mudah difahami serta diberikan beberapa contoh mudah untuk kefahaman yang lebih mendalam. Membaca buku ini akan memberikan kefahaman serta membetulkan prasangka yang sering dikaitkan dengan Islam sekaligus mengelakkan Islamofobia. Hamba menyeru semua pihak khususnya rakan-rakan bukan Islam untuk membaca buku ini.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...