Khamis, 2 Februari 2023

KITAB TAMADUN MONGOL - Amir Asyraf Alwi


 

Tidak banyak yang hamba ketahui tentang perkara berkaitan Mongol ini. Barangkali kalau adapun adalah tentang Genghis Khan yang hamba yakini ramai juga yang tahu mengenai beliau walaupun tidak mendalam. Satu lagi tokoh yang hamba kenali adalah Hulagu Khan yang namanya ada diajar ketika sekolah menengah dahulu - tokoh yang menghancurkan Baghdad sekaligus menamatkan kewujudan Khilafah Abbasiyah.

Buku ini begitu tebal dan hamba mengambiul masa yang agak lama untuk menyudahkannya, sama ketika menyudahkan Kitab Tamadun Rom oleh Hafizul Adnen. Walaubagaimanapun, berbeza dengan cara penulisan Hafizul yang menyingkap sejarah Rom melalui kesemua pemerintahnya, penulisan Amir adalah secara umum menyingkap sejarah Mongol semenjak awal kebangkitannya sehinggalah zaman kemerosotan yang melahirkan kekhananan yang kecil. Kerana itu di banyak tempat kita akan menjumpai beberapa fakta yang sering di ulang-ulang pada bab-bab yang berbeza. Contohnya kisah tentang Genghis Khan yang menjadi pengasas empayar ini bukan hanya ditemui pada permulaan buku bahkan di banyak tempat lagi, disesuaikan dengan kehendak penulisan itu sendiri.

Kaum Mongol ini asalnya hanyalah kaum nomad yang berpindah randah, hidup di dalam khemah dan menjadikan kawasan padang rumput sebagai lokasi bermukim mereka. Di bawah Genghis Khan, dalam masa yang begitu singkat mereka berjaya membina sebuah empayar yang luas, lebih hebat berbanding Rom yang mengambil masa ratusan tahun. 

Namun cara penjarahan Mongol terhadap sesebuah negara atau kawasan amatlah zalim sekali. Kadang-kadang tiada nyawa yang ditinggalkan. Kawasan yang ada walaupun telah bertamadun dengan binaan yang hebat, habis diranapkan mereka. Namun apabila telah memerintah, kita jadi hairan dengan sikap toleransi mereka. Mereka boleh beradaptasi dengan masyarakat kawasan yang mereka takluk, menerima amalan terbaik mereka, sanggup mempelajari perkara baharu dan bertoleransi terhadap amalan agama setempat. Kerana itu Kublai Khan beradaptasi dengan budaya China dan mengekalkan peraturan sedia ada.

Melalui buku ini hamba dapat mengetahui kisah penaklukan Hulagu dengan lebih terperinci lagi. Kota Baghdad habis dijarah tanpa belas kasihan. Jutaan buku di Baitul Hikmah dimusnahkan dengan dijadikan jambatan bagi kuda melintas. Air sungai jernih yang asalnya bertukar kemerahan kerana mayat-mayat yang dihumban ke sana akhirnya bertukar hitam dek dakwat buku-buku ini. Mereka lansung tidak menghargai ilmu pengetahuan tidak seperti sikap beberapa penakluk lain yang tidak memusnahkan sebaliknya membawa pulang buku-buku berkenaan. Bayangkan betapa banyak ilmu yang boleh sampai kepada kita hari ini andainya Baitul Hkmah tidak dimusnahkan.

Walaupun Mongol begitu keras dengan Islam, kemudiannya ada beberapa waris mereka yang memeluk agama ini dan seterusnya menjadikannya agama negara. Bahkan semasa Hulagu menyerang, telah ada waris mereka yang bernama Berke pemerintah Ulus Jochi yang telah memeluk Islam danmarah atas tindakan Hulagu ini terhadap saudara se-Islam. Lantas tercetus pula persengketaan antara mereka berdua. Ada hikmahnya perseteruan ini. Andai kata tiada tindakan daripada Berke, tidak mustahil sekiranya Hulagu meneruskan pacuan kudanya ke aras Makkah dan Madinah!

Empayar Mongol dianggap empayar kedua terbesar yang pernah wujud selepas empayar British. Mereka bahkan pernah datang ke Asia Tenggara sehingga ke Pulau Jawa untuk meluaskan kuasa. Kalaulah tidak kerana mereka telah lemah ketika itu dan mereka bukan pula mahir beraksi di lautan, pastinya sejarah yang kita ketahui hari ini telahpun berubah. Mongol hadir ke Asia Tenggara pada abad ke-13 sebelum zaman Melaka lagi.

Sejarah Mongol penuh dengan kekejaman, penaklukan, penjarahan, sengketa sesama klan dan sebagainya. Namun hari ini negara yang mereka ada kecil sahaja tidak seperti dahulu bahkan ia tidak lagi kedengaran gah. Biarlah mereka begitu kerana jika mereka bangkit lagi, yang akan kita lihat hanyalah kemusnahan dan kebinasaan!


Dapatkan KENITRA di Shopee. Tiada kisah
kekejaman seperti bangsa Mongol. Hanya
pembakar semangat anak bangsa!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...