Isnin, 13 Februari 2023

THE HOLLOW NEEDLE - Maurice LeBlanc


 

Walaupun novel ini masih lagi bertada dalam siri Arsene Lupin, namun hamba melihat watak yang menonjol di dalam The Hollow Needle adalah Isidore Beautrelet, seorang pelajar pintar berusia 18 tahun. Perjalanan novel ini seolah berjalan daripada aktiviti Beautrelet dan Lupin kelihatan seperti antagonis. Dalam erti kata lain, Beautrelet adalah hero dan Lupin adalah crooknya! Hamba berpandangan watak Beautrelet ini mungkin diwujudkan kerana LeBlanc tidak dibenarkan menggunakan watak Sherlock Holmes. Walaupun watak ini telah ditukarkan namanya kepada Herlock Sholmes, LeBlanc mungkin ingin lari terus daripada watak berkenaan. Melihat kepada cara penyiasatan Beautrelet, anda tetap akan merasakan bahawa gaya beliau adalah mirip dengan watak Holmes.

Satu pencerobohan telah berlaku di kediaman Count de Gesvres di Ambrumesy dan seorang daripada penceroboh telah berjaya ditembak oleh Raymonde. Namun tiada mayat yang dijumpai. Dalam pihak berkenaan sibuk menyiasat kejadian tersebut, Beautrelet yang pada asalnya menyamar sebagai wartawan, secara tidak lansung telah terlibat di dalam penyiasatan. Pandangannya yang kelihatan genius dihargai oleh pihak polis dan beliau tanpa sedar dibenarkan untuk terus menyiasat.

Satu teori Beautrelet adalah lelaki yang tertembak itu adalah Lupin dan mayat beliau telah berjaya dilarikan oleh pengikutnya. Sebagai pembaca hamba secara automatik berpandangan tidak mungkin Lupin terbunuh kerana jika beliau terbunuh novel ini akan terus berhenti di situ sahaja.

Dalam perjalanan penyiasatan ini, beberapa orang telah diculik iaitu Raymonde serta musuh Lupin - Ganimard dan Herlock Sholmes. Seperti yang hamba sebut di awal tadi, perjalan penyiasatan ini dijalankan oleh Beautrelet. Banyak penceritaan adalah melibatkan beliau dan watak Lupin hanya muncul apabila ada pertembungan dengan Beautrelet. Daripada kisah pencerobohan dan anggapan kecurian di Ambrumesy ia berkembang kepada misteri pada secebis kerta yang mengandungi angka dan tanda-tanda pelik yang akhirnya membawa kepada rahsia dan harta berusia ribuan tahun melibatkan raja-raja Peranchis zaman dahulu. Terus terang untuk installasi Lupin kali ini hamba juga kadangkala menjadi keliru (kadangkala menjadi bosan juga). 

Lupin yang dalam novel-novelnya sebelum ini digambarkan sebagai pencuri budiman, kali ini hamba melihatnya sebagai pencuri yang samseng. Beliau menculik, menikam (hampir membunuh), membuat ugutan dan sebagainya. Kelihatan beliau kali ini agak berbeza. Bahkan dalam banyak hal hamba melihat Beautrelet itu sendiri lebih budiman dan jujur.

Namun disebabkan ini franchise Lupin, beliau pastinya tidak akan kalah atau ditangkap. Cuma dalam babak-babak akhir, watak Raymonde, yang ketika itu sudahpun menjadi isteri Lupin telah terbunuh. Lupin tetap bebas. Tidak pasti adakah watak Beautrelet akan muncul lagi selepas ini. Pertembungan mereka nanti pastinya lebih hebat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...