Isnin, 13 Februari 2023

UJANG & APO? BUMPER NEW STALGIA MISTERI 2022


Biasanya hamba membeli majalah ini sebaik sahaja ia berada di pasaran. Tetapi untuk yang ini, hamba buat tak tahu sahaja apabila ia terbit. Hinggalah apabila telah keluar terbitan yang baharu, barulah hamba membelinya bersekali. Tetapi majalah kartun ini sebenarnya tiada tarikh luput. Ia tidak seperti akhbar yang akan basi selepas 24 jam. Cerita kartun dan komik ini boleh dinikmati pada bila-bila masa. Kerana itu di dalam majalah ini, walaupun dipaparkan juga beberapa kartun lama (ada yang dah berusia 23 tahun), hiburannya tidak terasa ketinggalan zaman, lawaknya masih relevan dan menghiburkan.

Kali ini mereka menampilkan tema misteri. Karya berbentuk misteri inipun sebenarnya telah banyak muncul dalam banyak keluaran majalah Ujang dan Apo?. Jadi dengan menjadikannya satu keluaran khas, rasanya tidak ada masalah untuk para kartunis dan penulis untuk mendapatkan idea dan bahan. 

Hamba puas hati dengan keluaran ini. Terasa banyak idea baharu dan yang tidak terjangka (walaupun mengarut). Contohnya karya Asteroid Puaka oleh Rambai mengisahkan tentang kejatuhan sebuah asteroid di sebuah planet asing. Usaha untuk mengalihkan asteroid ini bertukar sebaliknya apabila saintis mereka mengatakan ada bahagian tertentu asteriod ini yang lembut dan boleh di makan. Mereka menganggap bala asteroid ini sebagai blessing in disguise. Namun apa yang dianggap asteroid itu sebenarnya adalah sebatang berus jamban yang kotor yang dicampak daripada kapal angkasa manusia!

Lambok tampil dengan Gerbang Dunia Lain yang membawa mesej manusia ini dengan orang kaki fit pun boleh terpedaya. Misteri Tepung Bungkus Nek Salmah oleh Lepat umpama kisah misteri yang biasa hamba baca di mana-mana tetapi dipersembahkan dengan penuh jenaka oleh pelukisnya. Begitu juga dengan Hantu Game oleh Shah, kisahnya juga seperti pernah dibaca, namun lukisan Shah dan persembahannya amat memukau.

Hamba agak suka dengan karya Aliow bertajuk Kerana Sepucuk Sampul Merah menampilkan kisah misteri berkait dengan budaya Cina iaitu perkahwinan dengan orang yang telah mati. Kisah Aliow begitu menepati tajuk kompilasi ini. Karya Sorok-Sorok oleh Uchot hamba rasa biasa sahaja tetapi menarinya gaya lukisan Uchot kali ini agak berbeza dengan yang lalu. Karya beliau lebih kepada gaya komik. 

Selain itu banyak artikel-artikel yang menarik antaranya The Jusco Phantom, Ancient Mysteries, Extinct Mysteries dan banyak lagi. Beberapa kartun pilihan daripada Ujang dan Apo? keluaran 133 dan 209 turut dipaparkan. Keluaran kali ini memberikan cenderamata sebuah kalendar 2023.






Kartunis Gayour yang kerap melukis di majalah
Ujang juga adalah pelukis buku KENITRA.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...